Tuesday, October 18, 2011
Berbahagialah Wahai Wanita
Siapa kata jadi perempuan itu senang?
Perlu tutup sana, tutup sini,
Cuba lihat budak lelaki, pakai baju pagoda pun orang tidak bising.
Perempuan. Stoking perlu pakai.
Cuba suruh budak lelaki jadi perempuan satu hari.
Pasti menangis air mata darah, kerana tidak tahan bertutup semua.
Tetapi, perempuan sentiasa sabar. Tengah panas masih boleh lagi memakai jubah.
Hebatkan perempuan?
Siapa kata jadi perempuan itu senang?
Tiap-tiap bulan, mesti ada penyakit. Hendak pergi kelas pun susah.
Kalau boleh, masa tengah jalan merasakan hendak meraung kerana kesakitan.
Cuba lihat budak lelaki , mereka nampak gembira. Kadang-kadang setahun sekali pun susah dapat sakit, tetapi sekali sakit, merungut bagai tidak ingat dunia.
Tetapi, perempuan hidup berpuluh-puluh tahun dengan penyakit tiap-tiap bulan, masih boleh tersenyum menyimpan kesakitan yang dialaminya.
Hebatkan perempuan?
Siapa kata jadi perempuan itu senang?
Hati ini Allah S.W.T jadikan sangat lembut.
Hati cepat sensitif.
Cuba lihat orang putus cinta. Kebiasaannya perempuan yang paling susah hendak lupa.
Lelaki selepas putus cinta cepat mencari pasangan baru.
Cuba pergi wayang tengok cerita Hindustan, siapa yang paling teruk menangis?
Perempuan bukan? Lelaki masih boleh ketawa.
Sungguh lembut hati perempuan. Tetapi dengan hati yang lembut itu perempuan dapat mengkagumkan lelaki. Hebat tidak perempuan?
Siapa kata jadi perempuan itu senang?
Apabila hendak keluar ke mana-mana, sentiasa ketakutan. Kerana berita asyik-asyik keluar cerita orang kena rogol, kena culik.
Lelaki pukul dua pagi masih boleh keluar minum kopi tengok bola.
Siapa kata jadi perempuan itu senang?
Jika dirogol, perempuan disalahkan kata tidak jaga pakaian,
Apabila buang anak, perempuan disalahkan cakap berhati binatang,
Apabila buat salah sikit, kena marah dengan suami,
Apabila bising terlebih, kena label perempuan tidak sopan
Betapa susah hendak jadi perempuankan?
Disebabkan susahnya hendak jadi perempuan inilah, ramai perempuan yang merajuk dengan Allah.
Mereka berkata, Allah S.W.T tidak adil.
Mengapa AllahS.W.T lebihkan lelaki?
Mengapa perempuan perlu dengar cakap suami?
Mengapa syurga perempuan terletak di bawah kaki suami?
Walhal jadi perempuan itu sangatlah susah. Bak kata orang, hendak jaga sepuluh anak lelaki, tidak susah seperti menjaga seorang anak perempuan.
Disebabkan perasaan negatif pada Allah S.W.T ini, ramai perempuan di luar sana yang ditolak.
Mereka pakai pakaian yang tidak menutup aurat dengan alasan, 'lelaki tak payah tutup pun!'
Mereka berani bertepuk tampar dengan lelaki. Mereka sanggup gadaikan diri mereka kerana percaya dengan janji manis kekasih yang busuk hati.
Kasihan pada mereka bukan?
Disebabkan fikiran yang negatif terhadap Allah S.W.T, mereka sanggup rosakkan diri mereka.
Mereka berkata mereka lakukan seperti itu kerana Allah S.W.T tidak adil.
Persoalannya sekarang,adakah benar Allah S.W.T tidak adil pada perempuan?
Betul, syurga perempuan terletak di bawah kaki suami.
Tetapi, cuba ingat kembali, syurga seorang anak lelaki terletak di bawah kaki siapa jika bukan pada kaki ibunya?
Betul, isteri kena ikut cakap suami.
Tetapi, seorang anak lelaki perlu taat pada ibunya tiga kali lebih utama daripada ayahnya.
Tidak adil lagikah Allah S.W.T pada perempuan?
Allah bukan setakat adil, tetapi Allah itu sangat sayang pada perempuan.
Untuk lelaki, syurga isterinya terletak di bawah kakinya.
Jika paling banyak lelaki ada empat orang isteri.
Cuma ada empat orang yang syurganya bergantung pada seorang lelaki itu.
Tetapi perempuan, ditakdirkan ada lima belas orang anak lelaki.
Bermakna ada lima belas orang yang syurganya terletak pada seorang perempuan itu.
Masya-Allah, hebatnya perempuan bukan?
Mengapa perempuan hebat?
Kerana kasih sayang Allah S.W.T yang menjadikan kita hebat!
Cuba didengari pula lagu-lagu yang berkumandang pada radio.
Banyak lagu berkaitan perempuan bukan?
Jarang kita dengar lagu berkaitan lelaki.
Sayang sungguh Allah S.W.T itu pada perempuan, hingga perempuan dikasihi seperti itu sekali di dunia ini.
Lihat pula apabila seorang lelaki berjaya.
Orang akan berkata, 'Disebalik kejayaan seorang lelaki terdapat seorang perempuan di belakangnya.'
Kita tidak pernah dengar orang berkata, 'Disebalik kejayaan seorang perempuan terdapat seorang lelaki di belakangnya.'
Sungguh hebat Allah S.W.T jadikan perempuan itu.
Masih tidak adil lagikah Allah S.W.T pada perempuan?
Hakikatnya, Allah S.W.T terlampau adil pada perempuan.
Disebabkan susahnya hendak menjadi perempuan ini, perempuan senang hendak masuk syurga. Berdasarkan satu hadis :
"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)
Tidak adil lagikah Allah S.W.T pada perempuan?
Oh perempuan, sedarlah.
Betapa sayangnya Allah S.W.T pada kita. Betapa cintanya Allah S.W.T pada kita.
Tetapi, mengapa kita rosakkan diri kita kerana fikiran-fikiran negatif yang tidak berasas pada Allah S.W.T?
Allah S.W.T jadikan perempuan itu sebagai hiasan dunia.
Bayangkan, dunia yang besar ini, dunia yang cantik ini, kita jadi hiasannya.
Seindah-indah hiasan itu adalah wanita solehah.
Betapa ruginya kita sekiranya ditolak menjadi seindah-indah perhiasan dunia bukan?
-Artikel iluvislam.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment