Tuesday, April 29, 2008

BANYAKKAN PROGRAM UNTUK REMAJA SEKOLAH

(Forum, Utusan Malaysia, 29 April 2008)

Saya terpanggil untuk memberi respons berkaitan masalah merokok di kalangan pelajar perempuan yang semakin berleluasa. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Saudari Munirah Bahari, Naib Presiden Hal Ehwal Siswi, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia kerana berani membongkar kegiatan para remaja perempuan yang saya kira amatlah membimbangkan. Melihat polemik bilangan wanita yang semakin ramai berbanding lelaki, para remaja perempuan yang sedang meningkat dewasa perlulah diberi perhatian khusus terutama di kalangan pelajar sekolah tidak kira samada di dalam mahupun di luar bandar.

Perkembangan tidak sihat ini sebenarnya bakal mengundang pelbagai penyakit sosial di masa akan datang. Jika kita membuat penilaian berdasarkan statistik yang telah dikeluarkan, saya yakin pasti ramai di antara para guru dan ibu bapa yang sedikit terkesan barangkali kerana khuatir pelajar dan anak mereka turut terlibat sama. Di sini, saya juga ingin menyokong seratus peratus cadangan Saudari Munirah yang berharap supaya Kelab Nafas Baru dapat ditubuhkan di peringkat sekolah. Kelab-kelab berorientasikan seperti Pembimbing Rakan Sebaya ini sebenarnya mampu membantu pelajar-pelajar bermasalah yang sekaligus dapat berfungsi sebagai mata dan telinga pihak sekolah. Persatuan Ibu Bapa dan Guru, PIBG juga haruslah membanyakkan perbincangan yang menyentuh aspek pembangunan insan di kalangan pelajar dan memikirkan penganjuran program-program yang mampu memberi kesedaran kepada golongan remaja khususnya remaja perempuan, bukannya tertumpu kepada pembangunan lahiriah sekolah sahaja.

Justeru, usaha murni pihak Majlis HEWI PKPIM menawarkan khidmat masyarakat mereka untuk turun padang membantu pihak sekolah dan ibu bapa dalam menangani masalah ini haruslah dipuji dan pihak Kementerian Pelajaran sebagai pihak bertanggungjawab perlulah lebih peka mengenai isu ini. Semoga, remaja perempuan yang bakal dibentuk melalui usaha ini nanti akan berjaya menjadi insan yang lebih berkualiti dan berbudi pekerti.


(Nurul Syahirah bt Mohd Jamel)

PRS Sekolah

Jalan Gombak

Wednesday, April 23, 2008

PELAJAR PEREMPUAN MEROKOK KIAN RAMAI


SURAT PEMBACA , BERITA HARIAN (23 APRIL 2008 )

TABIAT merokok di kalangan pelajar perempuan berumur di bawah 18 tahun amat membimbangkan. Kini, sesetengah mereka tanpa segan silu melepak sambil merokok di pusat beli-belah dan tempat strategik. Perkara ini bukanlah asing bagi pelajar apabila rokok boleh diperoleh tanpa ada pengawasan. Keadaan kini sudah berubah kerana wanita merokok boleh ditemui di mana-mana, berbanding suatu ketika dulu agak sukar untuk kita melihat wanita merokok, lebih-lebih lagi pelajar. Perangkaan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan menunjukkan jumlah perokok wanita di bawah 18 tahun semakin meningkat daripada lima peratus pada 1996 kepada lapan peratus daripada 3.6 juta perokok di negara ini pada 2000. Lebih membimbangkan ialah perokok wanita dewasa diunjurkan akan meliputi 10 peratus daripada jumlah perokok di Malaysia menjelang 2025.

Peningkatan tabiat merokok di kalangan pelajar perempuan, berpunca daripada kepercayaan bahawa merokok boleh menenangkan fikiran dan menunjukkan bahawa mereka yang merokok adalah seorang yang matang. Selain itu juga, terdapat tanggapan bahawa merokok dapat membantu mengekalkan bentuk badan yang ideal di samping menghalang daripada penambahan berat badan. Tidak dinafikan bahawa pengaruh daripada rakan sebaya dan media elektronik memberi kesan yang besar kepada pelajar ini. Di Barat, gejala merokok di kalangan pelajar perempuan bukanlah asing bagi mereka dan tabiat ini seolah-olah, satu keperluan dalam kehidupan seharian mereka.





Antara punca utama gejala ini berlaku ialah faktor adab dan ilmu. Mereka ini kehilangan adab dalam diri dan masyarakat kerana merokok di mana-mana saja tanpa memikirkan akan memberi kesan kepada orang di sekitarnya. Faktor ilmu pula lemah dalam penguasaan, pemilikan, dan penghayatan ilmu sehingga menyebabkan mereka terjebak dengan gejala ini. Jika mereka menghayati dan memahami kesan merokok ini mereka akan sedar dan insaf akan penyakit yang sedia menanti mereka kelak. Kesan merokok ini boleh membawa maut di samping sangat berbahaya kepada wanita terutama ibu yang sedang hamil kerana akan memberi kesan kepada anak yang dikandungnya. Merokok boleh menyebabkan penyakit kanser paru-paru, sakit jantung, setiap batang rokok yang dinyalakan mengeluarkan lebih 4,000 bahan kimia beracun yang berbahaya dan boleh membawa maut. Antara bahan beracun termasuk bahan radioaktif (polonium-201), bahan yang digunakan dalam cat (aseton), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naftalena), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenik), gas beracun (hidrogen sianida).


Gejala merokok perlu ditangani bukan saja di kalangan pelajar perempuan, malah merangkumi semua peringkat umur. Dalam membanteras tabiat merokok ini, pendidikan perlu diberi perhatian serius ketika di rumah dan sekolah. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memantau setiap pergerakan dan aktiviti anak mereka supaya tidak terjebak di dalam aktiviti yang tidak sihat ini. Begitu juga di sekolah, guru perlu menerapkan nilai murni di dalam kurikulum yang diajar dan memberi kesedaran bahaya merokok. Usaha ini tidak akan berjaya jika tiada sokongan padu daripada Kementerian Pelajaran, guru, ibu bapa dan masyarakat dalam melahirkan pelajar yang bersahsiah tinggi dan cemerlang pada masa akan datang. Majlis Hal Ehwal Siswi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan agar diwujudkan Kelab Nafas Baru di sekolah dalam usaha memberi kesedaran kepada pelajar di samping membuat program kerjasama dengan Jabatan Kesihatan setiap negeri. Majlis HEWI PKPIM juga menawarkan diri kepada sekolah yang ingin bekerjasama dengan PKPIM dalam memberi kesedaran mengenai isu ini. Kerajaan perlu lebih tegas dalam menangani isu ini seperti mengharamkan aktiviti penajaan oleh syarikat rokok di dalam program besar, pengawasan aliran penjualan rokok di tempat awam dan tindakan yang lebih tegas kepada mereka yang menjual rokok kepada golongan di bawah umur. Semoga dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini dapat mengurangkan sedikit sebanyak statistik jumlah perokok di Malaysia.

MUNIRAH BAHARI,

Naib Presiden Hal Ehwal Siswi,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Tuesday, April 22, 2008

Siswi Muslim : Menghayun Buaian , Menggoncang Dunia

Oleh : Fatih Afzan
Sumber : Laman Blog PenaFATIH



Alhamdulillah 9 Mac 2008, merupakan tarikh yang dapat saya bersama dengan pelajar-pelajar Muslimah dari Maahad Muhammadi Lilbanat yang mengadakan perkhemahan Kepimpinan Briged Bakti atau nama komersial nya Briged Bakti Qiadah Camp. Saya berkongsi ilmu dihadapan lebih kurang 100 muslimah MMP Briged Bakti di tepi Jeram Linang di Pasir Putih dalam sesi slot saya yang bermula 9.00 malam. Kesempatan yang ada, saya membicarakan dalam slot saya berkenaan dengan Muslimah Identity : Gadis + jatidiri .

Budaya 7 Siswi Briged Bakti

Bila disebut siswi @ gadis, tentu ada bayangan lemah dalam minda kita. Maka ramailah dikalangan siswi-siswi terkapai-kapai mencari identiti. Ada sebahagian dari siswi yang jahil terleka sehingga terjerumus ke lembah hina. Namun hakikatnya, tidak dapat tidak untuk kita nafikan bahawa sebenarnya kehadiran mereka sebenranya memberi kesan di setiap situasi lebih-lebih lagi bila mereka tahu peranan dan sumbangan yang boleh diberikan. Mengisi slot yang bertemakan Siswi Muslim : Menghayun Buaian, Menggoncang Dunia ! , saya cuba menghuraikan 7 budaya yang perlu ada dalam diri siswi muslim yang melibatkan idealisme, tertib, citra diri, dan wawasan sebagaimana berikut :

7 IDEALISME SISWI
SISWI Bertaqwa
SISWI Berilmu
SISWI Berakhlak
SISWI Berketrampilan
SISWI Berjuang
SISWI Berkeyakinan
SISWI Beristiqamah

7 TERTIB SISWI
Bersungguh dalam semua tugasan
Amanah dalam pengurusan
Disiplin dalam kerja
Sistematik dalam persatuan
Setiakawan dalam kumpulan
Kasih sayang dalam berbakti
Siap sedia dalam menghadapi cabaran

7 CITRA DIRI SISWI
BERSEMANGAT
BERSUNGGUH
CEKAL
MENJAGA MARUAH & ADAB
TRAMPIL
AKTIF
TEKUN

7 WAWASAN SISWI
DIRI SOLEHAH
KELUARGA BAHAGIA
RAKAN SEBAYA MURNI
MASYARAKAT HARMONIS
ORGANISASI CEMERLANG
NEGARA SEJAHTERA
UMAT CONTOH

Inilah budaya yang perlu digagaskan oleh Siswi hari ini untuk mendepani cabaran!! Siswi yang berjaya perlu ada gagasan budaya dan wawasan yang jelas. Wawasan Dunia dan gagasan selepas mati perlu sentiasa diterokai dan diimbangi. Bagi saya , seorang siswi muslim wajib kenal dirinya dan memahami realiti suasana masyarakatnya. Barulah wawasan yang dijana bersifat realistik dan praktikal.





Saya ingin mengambil contoh dari budaya yang cuba saya gagaskan iaitu Citra Diri. Kenapa Citra diri itu penting bagi seorang gadis atau siswi? Bagi saya , siswi muslim yang berwawasan seharusnya mempunyai peribadi dan citra diri yang baik sebagaimana terangkum dalam 7 Citra diri siswi di atas. kenapa? Kerana Citra diri siswi itu akhirnya menjadi benteng dan didikan untuk menjadikan diri siswi itu :

  • Terlatih dengan sifat malu untuk melakukan perkara yang tidak baik.
  • Bersederhana dalam kehidupan.
  • Menghargai diri sendiri.
  • Ikhlas dalam perbuatan
  • dan bijak bergaul.

Akhirnya hati yang terdidik akan patuh pada hukuman Allah, akan timbul rasa bersalah apabila ingkar dari hukum-Nya.

Rasa bersalah bila tak memakai stokin di depan umum, rasa kecik kepala apabila telekung tersingkap ke atas, dan rasa berdosa bila terumpat kawan....apatah lagi membuat fitnah...

Menghayun Buaian, Menggoncang Dunia

Berikan aku seorang wanita yang sekadar menghayun buaian, insya Allah aku tak akan meletakkan mereka di ceruk-ceruk dapur, kerana tangan kananya yang menghayun buaian, tangan kirinya mampu menggoncangkan dunia
- Presiden Sukarno (Indonesia).


Inilah kata-kata hikmat yang saya lontarkan kepada siswi Briged Bakti semasa berceramah, saya tak menghuraikan lebih detail tentang apa maksud kata hikmah ini semasa di sesi ceramah itu. Namun dalam artikel ini saya nak pembaca cuba bayangkan realitinya, bagaimanakah sebenarnya ciri-ciri kekuatan wanita yang hanya menggunakan tangan kirinya untuk menggoncangkan dunia?? Bagi Si siswa, Sering menggambarkan bahawa si siswi ini selalu dikaitkan dengan "insan lemah" dan kurang upaya bila menyerlahkan daya juang. Bagi si siswi jangan jadikan alasan-alasan tradisional si siswa itu sebagai halangan untuk terus maju dan bermanfaat.




Ibarat kata hikmah Presiden Sukarno tadi, tidak pernahkah kita terfikir bahawa ketika tangan kiri si siswi lincah memetik komputer, menyelesaikan segala tugasan kemasyarakatan, dalam masa yang sama, tangan kanannya begitu sibuk memenuhi kehendak keluarga dan tanggungjawab.


Ketika tangan kanan berhempas pulas memutar skru dan menyambung komponen, tangan kiri masih berkesempatan membelai dan menggosok arnab-arnab dan merpati yang jinak dengan manja dan kasih-sayang.

Siswi Muslim Abad ke-21
Siswi muslim harus sedar bahawa tanggungjawab pada hari depan terlalu besar. Kalaupun siswi tidak menjadi pemimpin masyarakat, boleh jadi dia mungkin seorang ibu kepada seorang Presiden Negara, atau isteri seorang perdana menteri pada masa akan datang jika ditakdirkan itu tanggungjawabnya. Jadi siswi muslim mempunyai wawasan yang jelas untuk masa depannya, jadi dia telah mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan.



Ada banyak lagi yang nak diperkatakan tentang jatidiri siswi muslim , siswi muslim yang cemerlang akan menjadi idaman lelaki beriman serta berpotensi besar untuk pengubahan minda dan konsep masyarakat terhadap sesuatu perkara. Personalitinya umpama memegang sebatang pena hikmat yang cukup berkuasa. Hujung pena itu bisa mencoret apa sahaja impian untuk direalitikan.

Yang pasti, dengan lahirnya siswi muslim berwawasan di abad ke 21 ini, maka inilah model remaja masa depan yang bakal menggoncang dunia serta menjadi tonggak kebangkitan semula Islam di akhir zaman.
*Penulis merupakan Mantan Exco Portal & Dokumentasi PKPIM

Monday, April 21, 2008

HIJAB


PENGENALAN


Kehidupan wanita Islam dari hari ke hari semakin baik dalam bidang politik, sosial, ekonomi, pekerjaan, hak asasi dan sebagainya. Wanita semakin berjaya, berani dan mampu bersuara demi memperjuang dan mempertahankan haknya. Antara isu yang sering menarik perhatian dan menjadi salah faham serta serangan golongan anti Islam adalah berhubung dengan isu wanita. Isunya pelbagai tetapi temanya sering sama iaitu berkaitan dengan penindasan, diskriminasi, keganasan, ketidakadilan dan tiada kebebasan yang diberikan kepada wanita Islam dalam menjalankan kehidupan mereka. Skop isu yang akan dibincangkan ialah berkaitan dengan isu hijab, kerana isu ini masih relevan untuk diperkatakan. Islam menjaga kehormatan wanita dengan mewujudkan satu sistem hijab yang merangkumi antara lain garis panduan pakaian menutup aurat dan menjaga pandangan dan batas-batas pergaulan untuk mengatur interaksi antara lelaki dan perempuan dalam masyarakat.


Perihal kewajiban menutup aurat telah dijelaskan secara terperinci oleh Allah dalam surah An Nur ayat 31 bermaksud:

“ Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, supaya menyekat pandangan mereka ( daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka…..”


Dalam ayat yang terkandung dalam Surah An-Nur ini, diperintahkan kepada wanita Islam untuk menutup aurat. Di dalam ayat di atas juga terkandung tatasusila pemakaian hijab bagi muslimah iaitu hendaklah menutup kepala dengan tudung. Perintah hijab juga terkandung di dalam Surah al-Ahzab ayat 53. Berhijab merupakan tuntutan Islam yang wajib disempurnakan oleh setiap umat islam sebagai tanda kepatuhan kita kepada segala arahan Allah S.W.T. Selain ditakrifkan sebagai tudung, hijab ialah berpakaian menutup tubuh sepenuhnya kecuali muka dan tangan dengan pakaian yang longgar, tidak jarang atau nipis. Hijab juga merupakan peringatan terhadap perhambaan diri kepada Allah yang Maha Esa serta memakai pakaian secara sopan sebagai perisai bagi menjaga kehormatan diri.

Selepas kedatangan Islam, kedudukan dan martabat wanita dipelihara dengan mengambil hikmah kewajipan berhijab iaitu menjaga kesucian, maruah dan memelihara moral masyarakat.Pakaian merupakan lambang maruah dan kehormatan wanita. Namun apa yang terjadi sekarang kita boleh lihat berlakunya penindasan terhadap golongan wanita Islam dari segi sudut etika pakaian, lebih-lebih lagi mereka yang merupakan kelompok minoriti di sesebuah negara. Di dunia ini kita boleh lihat senario yang berlaku kepada wanita Islam yang berhijab. Iaitu ada di antara mereka yang ditindas, dipuji, dilabel sebagai pengganas dan sebagainya. Ada setengah pendapat menyatakan bahawa wanita yang berhijab ini sangat kesian, bukan wanita Islam sahaja malah golongan sister di dalam gereja juga digolongkan sebagai manusia yang kasihan dengan memakai kerudung di kepala!


Artikel Nasim Ahmad (2004) yang bertajuk “Hijab and The West” banyak menyentuh tentang larangan hijab yang dilakukan ke atas wanita Muslim di negara minoriti iaitu di sekitar Eropah. Beliau turut menyentuh tentang isu larangan memakai hijab di Perancis yang mana telah mencetuskan demonstrasi besar-besaran oleh umat Islam di seluruh negara. Banyak negara Islam yang bangkit, membantah usul yang dikemukakan oleh kerajaan Perancis termasuklah Ikhwan Muslimin Mesir, Iran, Pakistan, Algeria dan banyak lagi negara-negara Islam.Nasim Ahmad menyatakan bahawa Barat amat membenci kepada golongan yang berhijab ini terutamanya wanita Muslimah. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Barat bagi menghalang usaha wanita Islam memakai tudung, contoh yang jelas berlaku di negara Perancis.

Harun Yahya (2004) di dalam makalahnya “ Why is France Affraid of Religion?” menyatakan bahawa Perancis bukan sahaja takut kepada Islam dan Yahudi tetapi juga Kristian kerana kejadian yang berlaku semasa Revolusi Perancis.


Kita boleh lihat Barat banyak melakukan penindasan terhadap golongan wanita Islam yang berhijab ini. Memang tidak dinafikan, kaum Kafir sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan Islam. Sejarah telah menunjukkan bahawa sejak zaman Rasulullah S.A.W, musuh Islam sentiasa mencari peluang menghancurkan Islam dalam apa jua keadaan. Semangat yang berkobar-kobar ini kian memuncak sejak kekalahan mereka di dalam perang salib. Dendam perang salib ini menjadi suatu yang mengakar di masyarakat Eropah. Itulah sebabnya kita boleh lihat sehingga ke hari ini, orang bukan Islam sentiasa mencari jalan untuk menhancurkan Islam. Tetapi apa yang menyedihkan ialah masih ramai di kalangan orang Islam yang masih ‘tidur’ dan tidak menyedari akan tindakan orang bukan Islam yang menyerang Islam terutama melalui ‘qazwatul fikr’.


PENINDASAN KEPADA WANITA BERHIJAB


Tahukah wanita Islam, bahawa di Barat, tudung atau hijab dianggap sebagai simbol penindasan dan merendahkan martabat wanita? Wanita Islam dilihat sebagai tertindas dan tidak bebas dengan mengenakan pakaian yang sopan dan menutup aurat. Tetapi, Barat tidak tahu bahawa Islam tidak pernah menindas mana-mana gender, baik lelaki mahupun wanita. Wanita Islam sebenarnya tidak ditindas oleh agama dan masyarakat Islam tetapi tertindas dan dipinggirkan oleh masyarakat Barat sendiri. Kenyataan ini jelas menerusi beberapa peristiwa penindasan terhadap wanita Islam yang menetap di kelompok minoriti Islam.


Penindasan ke atas wanita hijab ini sering berlaku di negara-negara Eropah seperti Perancis, Jerman, Sweden, Norway, Belgium dan Turki. Kita boleh lihat contoh yang berlaku kepada dua orang pelajar wanita Islam di Perancis pada tahun 1989, di mana mereka telah dibuang sekolah disebabkan hanya memakai hijab ( Safia: 2004). Selain pengharaman pemakaian hijab di sekolah, pengharaman turut berlaku di pejabat, dalam gambar passport, dan di tempat-tempat awam.

Rijai Al-Jehani (2004) dalam artikelnya “A Thinly Veiled Attack on Islam” menyebut bahawa kerajaan Perancis ingin menghapuskan simbol-simbol agama ini di sekolah, pejabat dan di tempat-tempat awam sehingga memaksa golongan Muslimah memilih samaada untuk kekal di negeri atau agama mereka. Muslimah ini terpaksa mencari sekolah swasta atau belajar di rumah untuk meneruskan pembelajaran mereka. Berdasarkan keadaan ini, kita boleh lihat kerajaan Perancis mengamalkan dasar sekular iaitu ingin memisahkan agama di dalam kehidupan mereka. Keadaan ini berlaku di kebanyakkan negara-negara Eropah. Mereka ini terpaksa menempuh pelbagai cabaran daripada pihak yang menindas.


Selepas kejadian 1989, masyarakat digemparkan juga dengan pengharaman pemakaian tudung kepada pelajar siswi Islam di sekolah dan institusi pendidikan tinggi pada tahun 2004 di Perancis. Tindakan Perancis itu telah menggemparkan dunia, terutamanya melanggar hak asasi manusia lebih-lebih lagi wanita apabila mengharamkan penuntut wanita Islam untuk berhijab atau menutup aurat ke sekolah dan institusi pengajian. Jika kita amati secara terperinci, jelaslah bahawa Barat sebenarnya takut dengan Islam itu sendiri dan sebenarnya mereka menyatakan semua agama bebas beragama, namun pada sudut lain mereka melarang pemakaian hijab yang merupakan kewajipan ke atas muslimah. Di manakah hak asasi mereka?


Penindasan ke atas golongan wanita bertudung ini bukan sahaja berlaku di Perancis, malah turut berlaku di Jerman di mana kerajaan Jerman juga mengharamkan pemakaian tudung kepada wanita Islam . Penindasan ini berterusan dan berlaku kepada Shabina Begum pada tahun 2005. Shabina Begum merupakan pelajar Denbigh, London yang dilarang ke sekolah setelah mempertahankan jilbabnya. Namun apa yang kita boleh contohi ialah kegigihannya mempertahankan Islam dengan membawa isu ini ke mahkamah dan akhirnya kemenangan berpihak kepadanya. Sejak itu bermulalah episod baru kepada wanita Islam di United Kingdom, di mana pengharaman tudung ditarik balik di sekolah-sekolah.


Negara Turki juga tidak terlepas dalam melaksanakan dasar sekularisme ini di negaranya. Sejarah menyaksikan kejatuhan empayar Turki Islamiyah pada tahun 1924 menyebabkan Islam ditindas dan mengalami kejatuhan yang teruk.

Menurut Adi Ngah Putra (Aniqah, Mar 2008), “ Pemerintahan Mustafa Kamal Attartuk yang mengubah corak Islamiyah kepada sistem sekular menyebabkan berlakunya perubahan kepada negara tersebut. Kamal Attartuk menafikan hak majoriti Islam malah melindungi pula hak kaum minoriti yang beragama Kristian dan Yahudi menerusi perjanjian antarabangsa. Pemimpin sekular itu telah mengharamkan pakaian kebangsaan bagi wanita Turki ‘sharshaf’ (seperti abayah hitam), tulisan arab ditukar ke bahasa Latin, azan ditukar kepada bahasa Turki dan pengharaman pemakaian hijab di kalangan anak-anak gadis yang pergi ke sekolah agama. Pada tahun 1980, mahasiswa yang belajar di universiti diharamkan memakai hijab dan bagi siswa berjanggut tidak diberi tempat untuk belajar”.


Turki adalah negara yang didiami 99 peratus rakyat beragama Islam, namun terikat kepada sistem sekular diasaskan Mustapha Kamal Attartuk yang masih lagi menebal. Bahkan, jelas dalam Perlembagaan Turki menyatakan ciri sekular negaranya.Akhirnya sinaran cahaya baru kembali setelah lebih kurang 83 tahun rohani wanita Islam di Turki terseksa oleh peraturan zalim manusia yang berpegang pada sekularisme. Pada bulan Februari 2008, sejarah permulaan pemulihan semula Islam di Turki telah tercatat apabila media massa melaporkan bahawa parlimen negara itu telah meluluskan pindaan perlembagaan yang menarik balik perintah pengharaman ke atas pemakaian hijab di universiti. Dengan penarikan pengharaman itu, maka gadis-gadis siswi kini akan dapat balik ke pusat pengajian tinggi dan menyambung pelajaran mereka. Sesungguhnya ini adalah disebabkan kesabaran mereka di samping tidak jemu memohon pertolongan daripada Allah S.W.T. Sesungguhnya apabila melihat situasi ini, kita sangat bersyukur kerana akhirnya Islam itu mulai bersinar di sana. Mungkin kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengambil ikhtibar daripada isu ini.

REALITI DI MALAYSIA


Negara Malaysia tidak terlepas daripada penindasan terhadap golongan wanita berhijab ini. Realiti yang berlaku ialah golongan ini didiskriminasikan di dalam sektor pekerjaan. Kita boleh lihat apabila wanita bertudung memohon kerja di bidang perhotelan, penyiaran dan di sektor-sektor swasta seringkali ditolak permohonannya dengan alasan mereka bertudung. Situasi ini berlaku apabila seorang guru di sebuah sekolah agama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang di Pahang yang telah menggunting tudung labuh pelajarnya seramai 65 orang kerana tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh mereka (Utusan Malaysia, 25 Februari 2006).

Begitu juga nasib seorang wanita, Habsah Jaafar yang telah dibuang kerja oleh majikannya, Hotel Renaissance. Alasannya kerana wanita itu tidak dibenarkan bertudung semasa bekerja (Utusan Malaysia 27 Februari 2006).


Kita boleh lihat dalam konteks Malaysia, sesetengah masyarakat kita lebih mementingkan wanita yang berpakaian seksi berbanding mereka yang menutup aurat seperti yang berlaku kepada pramugari dan lain-lain lagi. Namun yang musykilnya ialah mengapa mereka meletakkan kaum lelaki (pramugara) dengan pakaian menutup aurat. Mengapa tidak sahaja diwajibkan dengan memakai seluar pendek?! Jelaslah bahawa manusia sudah tidak tahu erti batasan aurat yang perlu diperjuangkan. Hal ini perlu dikaji dan diteliti, pihak-pihak bukan kerajaan pula perlu menggesa pihak berkuasa untuk merubah etika pemakaian di samping menghapuskan diskriminasi terhadap wanita di dalam sektor pekerjaan. Hal ini bertepatan dengan apa yang diperkatakan oleh Exco Peguam Syarie Malaysia, Nur Hidayah Muhd Hashim di dalam rencananya di Berita Harian bulan Februari 2008. Beliau menyatakan bahawa Malaysia berdepan dengan beberapa permasalahan membabitkan kod berpakaian tidak membenarkan wanita Islam memakai pakaian sopan menutup aurat seperti dilaksanakan beberapa syarikat besar di negara ini. Contohnya, syarikat penerbangan tambang murah yang terkenal mensyaratkan pakaian yang sopan untuk pekerja lelaki, tetapi sangat terdedah, sendat dengan skirt pendek yang tidak bersesuaian nilai ketimuran bagi pekerja wanitanya.


MASALAH DAN CABARAN TERHADAP WANITA BERHIJAB


Apabila melihat isu wanita berhijab ini, mereka seringkali dikaitkan dengan keganasan. Adakah perkara ini benar? Barat seringkali dengan sewenang-wenangnya melabelkan seseorang itu tanpa hujah dan hanya berlandaskan emosi dan hawa nafsu. Kita boleh lihat juga contoh yang lain di mana Barat menggelarkan Islam sebagai terroris sedangkan Islam menganjurkan umatnya keamanan dan kasih sayang. Bagaimanakah dengan berhijab boleh melakukan keganasan? Tudung bukan simbol penindasan kepada wanita. Walaupun dari segi rasionalnya, pemakaian tudung melambangkan nilai kemuliaan dan kehormatan, Islam memandang dan meletakkan nilai tudung lebih daripada yang disarankan oleh agama lain.


Ini kerana tudung dalam konteks Islam telah terkandung di dalam al-Quran dan pemakaiannya bukan sekadar sebagai hiasan kepala.Apa yang boleh kita perhatikan ialah mereka yang memakai hijab ini dikurniakan hidayah Allah dan bagaimana mungkin mereka boleh bertindak di luat batasan. Namun tidak dinafikan bahawa wanita berhijab ini juga seringkali memaparkan akhlak yang kurang menyenangkan. Ini adalah cabaran kepada mereka yang berhijab.


Situasi di Malaysia menyaksikan berlaku kekeliruan makna di dalam konsep hijab. Mereka menyangka dengan berhijab mereka sudah menutup aurat sedangkan pakaian mereka masih ketat dan pendek, seluar singkat dan sebagainya. Mereka harus sedar akan konsep menutup aurat bukan sahaja terletak hanya menutup kepala sahaja malah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Kesedaran ini perlu diberikan kepada wanita – wanita Islam di luar sana supaya mereka jelas tentang konsep menutup aurat di dalam Islam. Seharusnya mereka tidak patut memalukan golongan yang bertudung dengan melakukan perkara sebegini! Bak kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.


Masyarakat hari ini kebanyakkannya melihat wanita yang berhijab ini tidak mampu ke hadapan dan tidak boleh menempatkan diri di dalam perkara-perkara tertentu. Contohnya masyarakat memandang wanita berhijab tidak boleh aktif bersukan. Andaian ini adalah tidak benar sama sekali kerana wanita Islam mampu bersaing di persada antarabangsa. Ruqaya al-Ghasara, pemenang Pingat Emas 200m Sukan Asia Doha 2006 menyatakan bahawa memakai hijab tidak menghalang beliau di dalam bidang sukan malah ia telah menggalakkannya. Oleh itu, kita perlu mengubah persepsi masyarakat yang melihat bahawa wanita berhijab tidak mampu menceburi dan menguasai bidang sukan.


Penghayatan pemakaian tudung mengikut syarak oleh wanita Islam di Malaysia amat kurang. Sudah menjadi trend di Malaysia bahawa mereka melihat pemakaian hijab sebagai satu fesyen, bukan lagi satu tuntutan.Teliti dan hayati suruhan Allah dalam surah An-Nur, ayat 31:
“....dan hendaklah mereka (wanita beriman) menutup kain tudung mereka ke paras dada..”


KESIMPULAN


Umat Islam perlu mengubah mentalitinya yang memandang bahawa Islam tidak mampu mencapai kemajuan dengan berhijab. Menurut Khalif Muammar (2007) di dalam artikelnya “ Pembangunan Semula Tamadun Islam: Halangan dan Cabarannya Dalam Konteks Alam Melayu” menyatakan bahawa mentaliti hamba adalah halangan yang besar dalam usaha memajukan suatu bangsa. Adalah suatu yang lumrah suatu bangsa yang terjajah memiliki kepercayaan terhadap diri yang rendah.


Pembangunan semula tamadun Islam menuntut wanita Islam yang berhijab supaya merubah watak mereka, daripada watak yang pasrah, takut dan berjiwa hamba kepada watak yang kritis, bebas dan berani melakukan perubahan.


Kita perlu menghalang ilmuan diabolik ( perwatakan ala iblis/ jahat) ini daripada melakukan penindasan terhadap golongan wanita Islam. Cadangan Khalif Muammar (2007) agar projek pencerahan dan pemerkasaan minda dan jiwa umat Islam perlu dilakukan secara besar-besaran. Bermula dengan ilmu dan diiukuti dengan amal, semua pihak perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing; tanggungjawab ilmuawan yang tercerahkan ( enlightened scholars ) untuk menyedarkan dan membimbing masyarakat ; tanggungjawab masyarakat untuk mengikuti dan mendukung; dan tanggungjawab pemerintah untuk pemerintah untuk mendengar dan melaksakan. Besarlah harapan semoga wanita Islam terus terbela daripada penindasan.


Justeru, usaha yang berterusan diperlukan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Islam yang kurang pengetahuan tentang konsep hijab dan pemakaian menurut Islam. Dalam kes sebegini, kita mendesak pihak kerajaan dapat memberi teguran dan NGO yang mengetengahkan isu hak asasi manusia wajib berlaku adil dengan memberi bantuan serta sokongan kepada isu beramal dengan ajaran Islam termasuk memberi sokongan moral terhadap isu wanita mualaf, juga isu tudung di negara Turki.
Disediakan oleh:
Munirah Bahari
Nai Presiden HEWI

Globalisasi vs Rahmatan Lil 'alamin


Penaklukan : Wajah Globalisasi

Globalisasi bukanlah suatu fenomena baru. Ianya bermula sejak 500 tahun lalu apabila Christopher Columbus memulakan pelayarannya dengan tujuan “ menemu dan menakluk (discovery and conquest) . Melalui penjelajahan Columbus ini, keganasan yang tidak berperikemanusiaan berlaku dalam bentuk penjajahan, eksploitasi sumber-sumber dan penaklukan keatas Amerika, Asia, Afrika dan Oceania. Penaklukan itu menelan sejumlah besar nyawa penduduk asli negara yang ditakluk. Kini, penaklukan itu masih berterusan meskipun dengan wajah yang berbeza. Noam Chomsky, dalam bukunya “ Year 501, The Conquest Continues ” menyimpulkan:

“….tatacara bentuk penaklukan berubah, dasar dan tema asas penaklukan terus kekal dan segar serta mampu diulang kembali…”

Penaklukan dunia kini datang dengan dasar dan tema penaklukan yang sama namun dengan nama dan wajah yang berbeza, Globalisasi. Disini, globalisasi perlu dilihat secara teliti. Ianya bukanlah sesuatu yang boleh ditanggapi secara subjektif kerana ianya merupakan sebuah projek khusus yang direncanakan, dicetuskan dan seterusnya ditaja oleh negara-negara kaya yang maju dan canggih kononnya. Seorang sarjana pernah menafsirkan globalisasi sebagai :

"simply an alternative name for Western and particularly American political, cultural and economic dominance,...”

Globalisasi yang dimainkan oleh barat tidak lain ialah kaedah westernisasi dunia atau Amerikanisasi dunia yang mengandungi motif hegemoni dan dominasi. Dengan kata lain dunia bukan Barat harus tunduk kepada barat dalam semua bidang: politik, ekonomi dan budaya. Disini Globalisasi hadir dengan penyataan bahawa kepelbagaian merupakan sebuah ketidaksempurnaan dan kita dikelirukan diatas nama kebersamaan, monopoli kekayaan atas nama pertumbuhan ekonomi, dominasi budaya diatas nama liberalisasi, penindasan diatas nama demokrasi, hedonisme diatas nama kebebasan individu, peminggiran diatas nama urbanisasi dan penjajahan di atas nama pasaran bebas. Namun hakikatnya, kini kita sedang berhadapan dengan rempuhan eksploitasi barat yang dipelopori oleh Amerika.


Kekeliruan Globalisasi dan Universalisme Islam.

Siddiq Fadhil didalam sebuah kertas kerjanya menyebut bahawa masyarakat Islam terkeliru diantara ciri universalisme Islam (‘alamiyyah) dengan globalisasi (‘awlamah). Dengan kekeliruan ini, kita cenderung untuk meletakkan keselarian di dalam konsep Islam dan globalisasi. Merujuk dan menyemak sejarah politik umat, kita menyaksikan tahap terulung kesatuan Islam yang disebut sebagai dar al-Islam yang meliputi seluruh wilayah Islam di Asia, Eropah dan Afrika. Kesatuan ini dicirikan dengan persamaan pandangan sarwa, keseragaman budaya, perkongsian set nilai dan seterusnya. Kesatuan dari dar al-Islam tidak dijelmakan dari motif hegemoni atau dominasi tetapi hakikatnya ianya ialah manifestasi universalisme Islam itu sendiri. Sedangkan Globalisasi memperkenalkan kepada dunia doktrin individualisme, materialisme, hedonisme, dan lain-lain yang bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam. Ternyata, globalisasi sama sekali tidak bersetuju dengan pandangan Islam. Eksploitasi, persaingan dan penggunaan secara maksima seluruh sumber bumi untuk memenuhi tuntutan dan kepuasan manusia menjadi tabiat dan ciri globalisasi itu sendiri. Oleh itu, umat Islam harus menghadami dengan jelas bahawa tiada keselarian sama sekali antara sifat globalisasi dan universalisme Islam.


Korban Globalisasi

S.M Idris menyebut bahawa, sekiranya diperhatikan secara teliti, globalisai merupakan jelmaan dari sistem ekonomi kapitalis yang bertunjangkan kebendaan semata yang menghilangkan nilai kerohanian dan kudus (sakral). Ekonomi kebanyakan Negara membangun terus menerus bergantung kepada eksport bahan mentah ke utara dengan harga yang rendah. Manakala Negara membangun terpaksa untuk mengimport barangan pengeluaran dan jentera dengan harga yang tinggi dari Negara Utara. Oleh itu, Negara-negara Selatan terpaksa untuk meminta bantuan dan pelaburan asing dan pinjaman dari institusi kewangan asing untuk pembiayaan pembangunan mereka. Syarikat-Syarikat Transnational (TNCs) dari negara maju yang mempunyai pelaburan dari negara membangun pula akan menghantar keuntungan dan dividen yang diterima kembali kepada negara maju. Faedah ke atas wang yang dipinjam dari bank-bank utara untuk melakukan pembangunan di Negara Selatan juga akan dikirim semula kepada Negara Utara. Oleh itu, hakikatnya, Negara-negara membangun ini masih lagi bergantung kepada Negara maju, Negara kaya akan terus menjadi kaya dan Negara miskin akan kekal miskin di dalam system ekonomi yang cukup eksploitatif ini.

Dasar sistem ini sudah ternyata melawan secara langsung kepentingan dunia umat Islam khususnya. Tidak dinafikan, dunia Islam menerima faedah dari sistem ekonomi ini tetapi, keuntungan yang diterima hanya bersifat marginal ( pinggiran ) berbanding dengan keuntungan yang diterima oleh pencetus dan pengawal globalisasi ini (Negara-negara kaya). Lebih malang lagi apabila, ekonomi Islam telah terkait dan terperangkap dengan system ekonomi kapitalis dunia yang cukup dominan dan eksploitatif. Akibat dari aplikasi sistem ekonomi neo-kolonial ini, banyak negara Islam telah terperangkap dalam kemiskinan dan menjadi negara termundur di dunia.

Namun, seringkali globalisasi itu dipandang dari dimensi ekonomi sehingga membuatkan kita terlupa akan dimensi budayanya. Lambakan barangan di pasar, mall, hypermarket dan sebagainya bukan sekadar barangan luar, tetapi yang turut tersebar ialah budaya konsumerisme yang menciptakan gaya hidup mewah, pemborosan melampau, serta nafsu yang rakus. Umat kita sedang ditranformasikan dari insan pengabdi Tuhan menjadi penyembah dunia dan makhluk konsumeris yang lahap. Lebih membimbangkan, kehadiran pasaraya yang tumbuh umpama cendawan tumbuh mewujudkan fenomena mosque vs malls. Akibatnya banyak masjid sunyi setelah jemaahnya ‘disedut’ kedalam pasaraya. Kedamaian rohaniah yang dijamin oleh masjid seperti tidak relevan lagi kerana yang diperlukan bukanlah rahmat, pengampunan dan perlindungan Allah tetapi kemewahan kebendaan dan jaminan ekonomi dari institusi-institusi seperti bank dan syarikat-syarikat kewangan. Maka kesanalah mereka berpusu-pusu mencari jaminan hidup.

Oleh itu, tidak dapat tidak, kita perlu mengakui bahawa globalisasi merupakan mara bahaya yang cukup serius ke atas umat Islam. Kedatangannya bukan hanya dalam bentuk eksploitasi ekonomi dan lain-lain , malah ianya juga mampu menghakis kepercayaan umat Islam kepada keterasan pegangan, nilai, budaya dan tradisi hidup Islam.


Islam itu solusi

Ketika globalisasi tidak dapat membawa kemaslahatan kepada dunia, apakah ada lagi konsep yang mampu secara serius membawa manfaat bagi semesta alam? Selepas kejatuhan komunisme, satu-satunya kuasa yang cukup kuat yang masih ada untuk memainkan peranan mengimbangi atau melawan arus dari luar proses globalisasi adalah dari dunia Islam. Tiada jalan keluar terbaik untuk menghadapi arus ganas globalisasi melainkan dengan kembali kepada sistem Islam yang beretika dan bersifat manusiawi yang memberikan barakah dari langit dan bumi.

Oleh itu, adalah menjadi sesatu yang amat wajar sekiranya konsep Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin itu diangkat ke permukaan. Islam itu harus ditonjolkan dengan sifat Islam versi Al-Quran (islam al’ Qurani) bukan Islam versi media yang seringkali mendiskreditkan Islam sebagaimana yang berlaku kini. Jaminan kesejahteraan umat oleh Allah swt melalui agama Islam merupakan sebuah kepastian yang akan berlaku sepertimana firman Allah swt di dalam surah Al-A’raaf ayat 96 : “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya”.

Namun, sehingga kini sifat rahmatan lil ‘alamin itu seolah-olah hanya teori dan menjadi retorik dalam agama Islam. Ini kerana masih belum sampai masanya Allah memberikan barakah dari langit dan bumi kerana terlalu banyak di lapangan kita Islam yang dipisah-pisahkan oleh manusia, Islam yang diambil dan dibuang, Islam yang dicegah masuk dalam perlaksanaan Negara, Islam yang dijauhkan dari zaman dan Islam yang asyik untuk didebatkan tetapi tidak diamalkan. Namun, pasti masanya akan tiba untuk Islam mengatur dunia sepertimana yang dijanjikan Allah, dan pastinya globalisasi barat akan mundur teratur untuk mempersilakan Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin menabur manfaat di serata dunia.

Sehingga itu, umat Islam seharusnya mempersiapkan diri dengan segera kembali kepada ajaran islam yang sebenarnya dan bersikap tegas di dalam menyatakan pendirian terhadap gagasan asing yang merosakkan. Umat Islam perlu mengelakkan sikap apologetik ke atas serangan-serangan ini sehingga akhirnya membuatkan kita tunduk kepada tekanan kuasa asing. Ambillah iktibar dari ingatan Rasulullah saw supaya tidak terjatuh ke dalam lubang yang sama untuk kali kedua. Kegagalan dunia Islam yang jatuh ketika era penjajahan ganas harus diambil iktibar sebaiknya supaya kita tidak terjatuh sekali lagi kedalam gelombamg penjajahan neo-kolonial yang lebih memikat dan menarik.

Wallahu’alam!

Nadiah bt Yusof

Timb Pengerusi Hewi 1 PKPIM

Wednesday, April 16, 2008

ZIARAH PANTAI TIMUR


Pada 6-9 April lalu, saya berkesempatan bersama Exco PKPIM menziarahi negeri-negeri di Zon Pantai Timur. Ziarah ini merupakan ziarah siri pertama sebelum siri ziarah ke negeri-negeri di Zon Selatan dan Zon Utara nanti. Ziarah Pantai Timur ini merangkumi negeri Kelantan, Terengganu, dan Pahang. Program ini bertujuan untuk teman-teman yang berada di Pantai Timur.

Perjalanan kami ke destinasi pertama iaitu Kelantan memakan masa hampir 8 jam. Setibanya di Kota Bharu, kami disambut baik oleh Ustaz Farid dan saudara Shahidan (wakil Briged Bakti) di bangunan Sekretariat ABIM Kelantan. Selepas bersarapan, kami dibawa oleh Shahidan ke Islamic Outreach ABIM (IOA) Kelantan di Ketereh. Kedatangan kami di IOA Kelantan disambut mesra oleh saudara Abdullah bin Muhd Nawi (Exco Penataran ABIM Kelantan) dan ahli jawatankuasa IOAnya. Pertemuan kami bersama mereka selama dua jam itu banyak menyentuh kepada pengenalan dan perkembangan IOA dalam misi penyebaran da'wah di perkampungan orang asli yang terletak di Gua Musang. Selain membantu orang asli di kampung, mereka juga menyediakan kelas bimbingan fardhu 'ain bagi anak-anak orang asli di pusat IOA. Rata-rata yang menjadi ahli jawatankuasa IOA merupakan sukarelawan yang datang dari seluruh Kelantan dan pelusuk negara. Menurut saudara Abdullah Muhd Nawi atau lebih dikenali sebagai Pok Lah, seramai lebih kurang 2000 orang asli telah diislamkan semenjak penubuhan IOA Kelantan pada tahun 1988.

Selepas makan tengahari di IOA, kami kembali ke Sekretariat ABIM Kelantan untuk bertemu dengan ahli Briged Bakti dan wakil Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK). Briged Bakti merupakan sebuah persatuan badan unit beruniform sekolah yang ditubuhkan oleh ABIM di Kelantan. Persatuan beruniform mirip persatuan pengakap dan kadet remaja ini mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya daripada pelajar sekolah menengah kerana persatuan ini lebih mengetengahkan aspek islamik dan rohani dalam berpasukan berbanding yang lain. Pertemuan yang dipengerusikan oleh saudara Mohd Faizul Afzan memberi peluang kepada PKPIM dan PPIK untuk merapatkan ukhwah dan menceritakan perkembangan masing-masing. Selain itu, pertemuan ini memberi peluang untuk kami berkongsi pengalaman bersama ahli-ahli briged mengenai kehidupan dunia kampus. Tambahan pula, pendedahan mereka terhadap dunia kampus di peringkat awal adalah wajar supaya mereka lebih bersedia untuk menghadapi cabaran di kampus kelak. Seperti kata saudara Afzan, "hendak berdakwah bukan dalam konteks sempit, tetapi perlu dalam konteks yang luas".

Petang itu, kami menunaikan solat 'Asar di Ma'had Darul Anuar, Pulau Melaka dan kemudian ke rumah Ustaz Muhamad Mustafa, mantan Timbalan ABIM Pusat. Dalam pertemuan singkat itu, kami sempat membincangkan perihal mahasiswa dan kampus pada era ini. Beliau berharap agar mahasiswa dapat merancang sebuah badan induk untuk menerbitkan suara mahasiswa. Selain itu, beliau berharap agar kerajaan lebih berlaku adil kepada rakyat pada masa akan datang.

Pada malamnya pula, kami telah ke Rumah Putera Harapan. Untuk pengetahuan semua, ABIM Kelantan memiliki dua buah rumah anak yatim. Rumah Putera Harapan untuk kanak-kanak lelaki manakala Rumah Puteri Harapan untuk kanak-kanak perempuan dan kedua-dua bangunan ini terletak berasingan. Kami sempat beramah mesra bersama-sama 31 orang anak-anak yatim dengan aktiviti-aktiviti bermodul.

Hari kedua ziarah, kami ke negeri Terengganu Darul Iman. Destinasi pertama kami di Terengganu merupakan rumah saudari Akmariah, Exco PKPIM yang terletak di Batu Rakit, Tok Jiring. Kami disambut mesra oleh kedua ibu bapa Akmariah meskipun beliau tiada kerana beliau berada di kampus ketika itu. Kami dipelawa untuk makan tengahari bersama.

Selepas itu, kami menziarahi teman-teman di Universiti Darul Iman (UDM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Dalam sesi ziarah ini, kami telah berjumpa dengan ahli ABIM Terengganu iaitu Sdri. Norsalimah dan Sdr. Zulkifri dan KEPITAR. Sebelum beranjak, Sdri. Norsalimah menyeru agar semua ahli PKPIM membaca dan menghadam buku-buku gerakan dan mempraktikkan solat sunat istikharah sebelum membuat sebarang keputusan. Realitinya ahli-ahli sedia ada amat tenang dan tabah menghadapi dugaan.

Selepas pertemuan itu, kami ke Kuala Terengganu melawat Taman Tamadun Islam. Kami sempat singgah ke Kampung Losong untuk membeli keropok lekor atau 'keropok losong' sebagai buah tangan. Kemudian kami ke Masjid Kristal untuk menunaikan solat Maghrib. Selepas makan malam di Restoran Terapung, kami bertolak ke Pahang dan bermalam di Kuantan.

Di Kuantan, kami bertemu dengan teman-teman di kampus Universiti Islam Antarabangsa kampus Kuantan yang terletak di bandar Indera Mahkota. Di sana, kami bertemu dengan saudara Abu Qassim bin Nor Azmi , saudara Ahmad Safwan bin Mohammad dan beberapa orang muslimat. Antara perkara yang dibincangkan ialah untuk mengadakan Kem Kepimpinan pada bulan Mei ini.

Tengahari itu, kami bersama menikmati makan tengahari di tebing Sungai Pahang di bandar Kuantan. Selepas makan, kami ke Sekretariat ABIM Pahang untuk bertemu dengan saudara Amidi. Pertemuan terakhir ini menamatkan ziarah kami ke tiga negeri selama tiga hari. Terima kasih kepada Abang Hilmi, Abang Naim, Abang Saifullah, Abang Mk, Abang Akmal, Kak Munirah dan Kak Mar yang sudi mengajak saya bersama menjelajah pantai timur.

HAWA MAS AZMAR BT AHMAD

UIA KUANTAN

APRIL 2008

KULIAH RUHANIYYAH

KITAB AL-HIKAM
Karangan:
IBNU ATAILLAH AS-SAKANDARI

Disampaikan oleh:
Al-Fadhil Ustaz Ahmad Fahmi ZamZam
Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki

Tarikh : 18 April 2008
Hari : Jumaat
Waktu : Selepas Solat Maghrib
Tempat: Surau Kompleks, Anjung Rahmat, Tingkat 3, Bt. 6, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur

Saturday, April 05, 2008

RESPON ISU

Sokong Kempen Selamatkan Sufiah

Bagai terhantuk ditimpa tangga, begitulah keadaan yang boleh digambarkan terhadap pelajar genius Sufiah Yusof yang suatu masa dulu pernah menggemparkan arena pendidikan dunia kerana berjaya memasuki Universiti Oxford pada usia semuda 13 tahun. Setelah beberapa pihak tampil memberi reaksi dan pendapat, saya bersependapat bahawa gadis muda ini perlu diberi perlindungan dan bimbingan semula. Tindakan kerajaan dan beberapa NGO dalam melancarkan kempen Selamatkan Sufiah dilihat sebagai tindakan yang amat wajar.

Merujuk kepada rentetan peristiwa hitam yang melanda kehidupan Sufiah, dapatlah disimpulkan bahawa Sufiah sememangnya menjadi mangsa keadaaan kerapuhan institusi keluarganya sendiri. Namun, berbekalkan keupayaan IQ yang tinggi, Sufiah sebenarnya dilihat mampu untuk menyelesaikan kemelut yang melanda dirinya, tetapi beliau cenderung untuk memilih jalan mudah yang pasti sedang memakan dirinya. Gadis hebat ini juga dipercayai telah dibesarkan dalam suasana penuh kelam dan suram sehingga Sufiah akhirnya memberontak dan melarikan diri dari universiti tersohor itu. Beliau yang juga pernah berkahwin dengan Jonathan Marshal yang kemudiannya memeluk Islam bagaimanapun mengambil keputusan untuk bercerai yang dikatakan berpunca daripada masalah kendiri Sufiah yang dilihat semakin serius.

Saya melihat masalah yang menimpa diri Sufiah ini seharusnya menjadi masalah seluruh umat Islam di Malaysia, bukan hanya melibatkan pihak tertentu sahaja. Sudah pasti, kita perlu memanjatkan doa ke hadrat Illahi agar mengembalikan hati Sufiah kepada ajaran Islam yang sebenar-benarnya. Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk kita turut sama membantu dalam memastikan kehidupan Sufiah tidak lagi dibelenggu dosa dan kekeliruan.

Saya juga mencadangkan agar pihak berwajib mengambil tindakan segera dengan membawa pulang Sufiah ke Malaysia dan memberinya bimbingan di sini ataupun meminta kerjasama beberapa persatuan (NGO) Islam di London supaya memantau keadaan Sufiah dari semasa ke semasa serta membantu meringankan beban yang dialaminya. Renung-renungkan juga hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud; “seseorang itu tidak akan bergelar Muslim selagi dia tidak mengambil berat akan keadaan saudara Muslimnya yang lain,”

Justeru, umat Islam kini seharusnya mengambil iktibar daripada tragedi yang menimpa Sufiah dengan cara mempersiap diri dengan benteng iman dan taqwa agar rasa kehambaan dan takutkan Allah terus menyubur di dalam jiwa. Penderitaan yang dialami Sufiah dan kemelut yang melanda keluarganya sekaligus membuktikan bahawa ilmu duniawi bukanlah kayu ukur sebenar kejayaan seseorang insan, tetapi asas aqidah yang jitu itulah yang mampu melahirkan mukmin dan muttaqin yang alim (berilmu) lagi berjiwa rabbani!

NURUL SYAHIRAH BT MOHD JAMEL

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

RESPON ISU

Tindakan Anuar Zain Mahu Membenarkan Dirinya Dicium Peminat Memalukan

Adalah tidak menjadi kesalahan andai insan bergelar penghibur mahu menghiburkan hati peminat yang selama ini telah lama menyokong kerjaya seni mereka. Namun untuk membenarkan para peminat mencium pipi dan duduk di atas paha bukanlah budaya orang Melayu malah melanggar batasan syara’ yang telah ditetapkan oleh Islam.

Mengulas kenyataan penyanyi terkenal, Anuar Zain dalam kenyataannya pada pihak media minggu lalu, penyanyi itu telah memberi lampu hijau kepada para peminatnya tidak kira samada lelaki ataupun perempuan untuk mencium pipi beliau mahupun untuk duduk di atas paha milik penyanyi lelaki itu pada persembahan istimewanya nanti. Kekeliruan berlaku kerana mengapa persembahan yang bakal dilakukan oleh Anuar Zain diluluskan oleh pihak berwajib? Mungkin para peminat Anuar Zain saat membaca artikel ini berasa panas hati, namun atas dasar tanggungjawab saudara sesama Islam dan ke arah pembangunan modal insan berkualiti, saya berpendapat persembahan Anuar Zain haruslah disekat jika penyanyi itu berkeras mahu meneruskan agendanya yang sungguh memalukan itu.

Jika suatu masa dulu, arena hiburan tanah air dikejutkan dengan adegan berani penyanyi Faizal Tahir membuka bajunya di khalayak ramai sehingga membawa kepada tindakan-tindakan yang hampir membunuh kerjaya seni beliau, mengapa tindakan Anuar Zain yang dilihat lebih berani dengan menyatakan pengakuan secara terbuka itu dipandang enteng oleh sesetengah pihak? Adakah kerana populariti dan kedudukan beliau yang tinggi dalam dunia hiburan ini memberi kelonggaran untuk beliau bertindak sesuka hati tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat sekeliling? Negara kita terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama. Justeru, Anuar Zain seharusnya menilai adab dan budaya masyarakat Melayu yang secara umumnya beragama Islam dan adalah tidak wajar adab dan budaya ini dieksploitasikan dengan cara sedemikian berupa.

Barangkali ramai peminat Anuar Zain di luar sana yang melabel saya sebagi seorang yang jumud dan berfikiran sempit. Namun saya yakin tidak kurang ramainya yang menyokong pendapat saya ini. Masyarakat kini ternyata telah diracuni falsafah pemikiran Machiavelli yang memperjuang prinsip ‘niat menghalalkan cara’. Sesungguhnya, Allah s.w.t menjadikan agama Islam itu cukup indah. Islam itu juga ialah cara hidup bagi manusia yang mahu berfikir. Islam dibatasi oleh halal dan haram dan sebagai seorang Islam, Anuar Zain seharusnya berfikir secara rasional sebelum melakukan sebarang tindakan.

Umat Islam di Malaysia bangkit membantah dan mengutuk tindakan paderi Belanda menerbitkan filem Fitna yang secara terang-terangan menghina Rasulullah s.a.w dan kitab suci Al- Quran. Tidak hairanlah paderi itu menerbitkan filem sedemikian rupa kerana dirinya sendiri seorang kafir yang mana Allah s.w.t sendiri telah melaknat mereka di dalam Al-Quran. Tetapi mengapa tidak kita bangkit membantah dan mengutuk tindakan Anuar Zain yang sungguh memalukan ini? Walhal beliau sendiri seorang Melayu dan beragama Islam? Pernahkah Islam menghalalkan ciuman di pipi dan duduk atas paha walau hanya untuk membalas jasa peminat? Sesungguhnya niat tidak menghalalkan cara!

Justeru, saya berpendapat adalah lebih baik jika Anuar Zain membatalkan saja niat ‘murninya’ itu dan memikirkan alternatif lain untuk meraikan para peminat yang menyayanginya. Pemberian beberapa koleksi peribadi ataupun barangan eksklusif kepada para peminat bertuah mungkin lebih wajar dan akan lebih dikenangi. Selain kepuasan hati peminat yang perlu dititik beratkan, keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t juga perlulah diraih terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pekerjaan.

NURUL SYAHIRAH BT MOHD JAMEL

Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa

Tuesday, April 01, 2008

‘Fitna’ : Semua Pihak Perlu Main Peranan

Sekali lagi dunia dikejutkan dengan penghasilan klip video berjudul ‘fitna’ oleh Ahli Politik Belanda, Geert Wilders yang secara terang-terangan bertujuan memburukkan nama Islam serta mencemarkan kesucian Al Quran sebagai panduan utama umat Islam. Klip video yang mengambil masa 15 minit itu mengetengahkan 4 ayat suci yang dipetik dari beberapa surah di dalam Al quran iaitu al-Anfal ayat 60, surah an-Nisa’ ayat 56, 74 dan 89. Kesemua ayat yang berbentuk jihad ini telah ditafsir secara tidak tepat untuk membenarkan perspektif sebenar Wilders yang negatif terhadap Islam. Tindakan tidak bertanggungjawab Wilders ini dikhuatirkan akan menimbulkan ketegangan serta pertelingkahan diantara masyarakat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia sepertimana yang berlaku pasca penghasilan karikatur Nabi Muhammad saw beberapa tahun lalu.

Majlis Hal Ehwal Siswi, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (Hewi PKPIM) menyeru agar semua pihak termasuklah orang perseorangan, badan kerajaan serta bukan kerajaan tampil bagi mengambil tindakan yang sewajarnya serta menyuarakan bantahan terhadap penghasilan klip video tersebut. Tindakan tegas ini perlu diambil bagi menghentikan semua hasutan serta tohmahan yang dilemparkan ke atas agama Islam serta penganutnya dengan segera.

Namun, dalam masa yang sama, Hewi juga menyeru agar seluruh umat Islam bertindak secara matang dan rasional di dalam menyikapi isu ini. Tuduhan yang mengatakan agama Islam merupakan agama yang menganjurkan keganasan perlu diberikan penjernihan dengan menonjolkan sifat berkasih sayang serta persaudaraan sebagai nilai asas di dalam ajaran islam. Sebarang tindak balas agresif yang berbentuk keganasan hanya akan memburukkan lagi keadaan serta seolah-olah membenarkan tohmahan negatif yang dilemparkan ke atas agama Islam serta penganutnya. Di dalam menyikapi isu ini, Prof. Dr Yusuf Qardhawi menyediakan beberapa panduan bertindak yang boleh diambil oleh semua umat islam.

  1. Memberikan hujah-hujah ilmiah dan akademik untuk menyangkal tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap Islam. Hujah-hujah ini perlu diterbitkan di dalam pelbagai bahasa agar masyarakat di seluruh dunia dapat memahami Islam dengan sebenarnya.
  1. Meminta dan mendesak pihak kerajaan di negara masing-masing agar membuat pendirian tegas dan menyatakan bantahan secara rasmi bagi membuktikan bahawa dunia Islam tidak redha dengan tohmahan yang dilemparkan.
  1. Memberikan respon di dalam bentuk siaran media serta kesenian seperti penghasilan filem-filem dan rancangan televisyen untuk memberikan kefahaamn yang sebenar tentang Islam.
  1. Memboikot produk-produk yang dihasilkan oleh negara-negara yang membenarkan rakyatnya menghina dan memfitnah Islam secara terang-terangan.
  1. Umat islam perlu mendalami ilmu pengetahuan berkenaan agama Islam agar mendapat gambaran yang sebenarnya mengenai Islam. Umat Islam juga dituntut untuk mengamalkan akhlaq mulia sepertimana yang diajarkan di dalam Islam serta yang ditunjukkan oleh baginda Rasullah saw.

Hewi PKPIM amat berharap agar umat Islam di negara ini terutamanya pihak yang berwajib untuk tampil menyuarakan pendirian tegas serta bantahan di atas penghasilan klip video ‘fitna’ ini. Hewi PKPIM juga berharap agar tidak akan ada lagi usaha-usaha yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama Islam demi memastikan keharmonian serta kesejahteraan hubungan di antara masyarakat berlainan agama.

NADIAH BINTI YUSOF

Timbalan Pengerusi HEWI 1,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia ( PKPIM)