Saturday, April 05, 2008

RESPON ISU

Sokong Kempen Selamatkan Sufiah

Bagai terhantuk ditimpa tangga, begitulah keadaan yang boleh digambarkan terhadap pelajar genius Sufiah Yusof yang suatu masa dulu pernah menggemparkan arena pendidikan dunia kerana berjaya memasuki Universiti Oxford pada usia semuda 13 tahun. Setelah beberapa pihak tampil memberi reaksi dan pendapat, saya bersependapat bahawa gadis muda ini perlu diberi perlindungan dan bimbingan semula. Tindakan kerajaan dan beberapa NGO dalam melancarkan kempen Selamatkan Sufiah dilihat sebagai tindakan yang amat wajar.

Merujuk kepada rentetan peristiwa hitam yang melanda kehidupan Sufiah, dapatlah disimpulkan bahawa Sufiah sememangnya menjadi mangsa keadaaan kerapuhan institusi keluarganya sendiri. Namun, berbekalkan keupayaan IQ yang tinggi, Sufiah sebenarnya dilihat mampu untuk menyelesaikan kemelut yang melanda dirinya, tetapi beliau cenderung untuk memilih jalan mudah yang pasti sedang memakan dirinya. Gadis hebat ini juga dipercayai telah dibesarkan dalam suasana penuh kelam dan suram sehingga Sufiah akhirnya memberontak dan melarikan diri dari universiti tersohor itu. Beliau yang juga pernah berkahwin dengan Jonathan Marshal yang kemudiannya memeluk Islam bagaimanapun mengambil keputusan untuk bercerai yang dikatakan berpunca daripada masalah kendiri Sufiah yang dilihat semakin serius.

Saya melihat masalah yang menimpa diri Sufiah ini seharusnya menjadi masalah seluruh umat Islam di Malaysia, bukan hanya melibatkan pihak tertentu sahaja. Sudah pasti, kita perlu memanjatkan doa ke hadrat Illahi agar mengembalikan hati Sufiah kepada ajaran Islam yang sebenar-benarnya. Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk kita turut sama membantu dalam memastikan kehidupan Sufiah tidak lagi dibelenggu dosa dan kekeliruan.

Saya juga mencadangkan agar pihak berwajib mengambil tindakan segera dengan membawa pulang Sufiah ke Malaysia dan memberinya bimbingan di sini ataupun meminta kerjasama beberapa persatuan (NGO) Islam di London supaya memantau keadaan Sufiah dari semasa ke semasa serta membantu meringankan beban yang dialaminya. Renung-renungkan juga hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud; “seseorang itu tidak akan bergelar Muslim selagi dia tidak mengambil berat akan keadaan saudara Muslimnya yang lain,”

Justeru, umat Islam kini seharusnya mengambil iktibar daripada tragedi yang menimpa Sufiah dengan cara mempersiap diri dengan benteng iman dan taqwa agar rasa kehambaan dan takutkan Allah terus menyubur di dalam jiwa. Penderitaan yang dialami Sufiah dan kemelut yang melanda keluarganya sekaligus membuktikan bahawa ilmu duniawi bukanlah kayu ukur sebenar kejayaan seseorang insan, tetapi asas aqidah yang jitu itulah yang mampu melahirkan mukmin dan muttaqin yang alim (berilmu) lagi berjiwa rabbani!

NURUL SYAHIRAH BT MOHD JAMEL

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

No comments: