Monday, August 23, 2010

Sekolah Harapan bakal cetus epidemik hamil luar nikah pelajar - NGO

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita bimbang penubuhan Sekolah Harapan oleh kerajaan Melaka bakal mencetuskan epidemik hamil luar nikah di kalangan pelajar di negara ini.

Sehubungan itu, NGO berkenaan mahu kerajaan negeri memastikan pelajar dan pasangan terbabit tidak akan terlepas daripada sebarang tindakan di atas kesalahan yang mereka dilakukan.

Presiden Kelab Wanita Perak Wilayah Persekutuan dan Selangor , Siti Hendon Chik berkata, jika tiada sebarang tindakan diambil maka hamil luar nikah mula menjadi epidemik di dalam masyarakat kerana sudah ada Sekolah Harapan sebagai jalan penyelesaiannya.

''Tambahan pula dikatakan ramai di kalangan ibu bapa bukan sekadar Melaka malah luar negeri ini telah membuat permohonan untuk memasukkan anak masing-masing ke sekolah itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam bahawa sekolah menengah untuk remaja hamil luar nikah yang dijadual dibuka oleh kerajaan negeri pada 1 September ini akan dikenali sebagai Sekolah Harapan.

Dalam pada itu Siti Hendon berkata, kerajaan Melaka perlu memastikan Sekolah Harapan ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka yang terbabit untuk meneruskan pelajaran tetapi memastikan kesalahan yang telah dilakukan tetap ada hukumannya.

Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (Hewi) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Sharifah Sumayyah Syed Malick berkata, jika Sekolah Harapan ditubuhkan untuk pelajar hamil luar nikah maka selepas ini akan muncul pula sekolah untuk mat rempit dan najis dadah yang disifatkan lebih kepada penyelesaian masalah jangka pendek.

''Walau berapa banyak sekolah hendak ditubuhkan tetapi apa yang penting melaksanakan pendekatan di peringkat akar umbi sebagai usaha jangka panjang,'' katanya.

Sharifah Sumayyah menambah, kerajaan negeri perlu memastikan Sekolah Harapan ini bukan sekolah biasa supaya ia tidak akan dijadikan tempat untuk menutup malu perbuatan yang dilakukan oleh pelajar.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah berkata, pihaknya memang menyokong penubuhan Sekolah Harapan kerana akan membantu pelajar hamil luar nikah supaya tidak terkandas dalam pelajaran.

''Dalam masa sama memang kita boleh menyekat gejala membuang bayi. Bagaimanapun, wajarkah ia ditubuhkan jika tidak dikaji dahulu daripada jumlah kes yang kemungkinan tidak sebanyak yang dijangkakan,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, tidak perlu disediakan sekolah khas jika ibu bapa, sekolah dan masyarakat bersama-sama menyedari bahawa itu adalah tanggungjawab bersama untuk menyelesaikannya.

Ivy berkata, tanggungjawab bersama lebih penting supaya hamil luar nikah tidak akan menjadi satu epidemik di kalangan pelajar sekolah di masa akan datang.

Utusan Malaysia
Isnin 23 Ogos 2010

No comments: