Monday, August 23, 2010

Masalah buang bayi perlukan penyelesaian jangka panjang

2010/08/20 (Jumaat)

LANGKAH kerajaan memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati adalah wajar. Jenayah itu juga boleh disiasat sebagai kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Keputusan itu adalah wajar kerana gejala pembuangan bayi semakin meruncing. Malah, hukuman berkenaan juga adalah satu bentuk pendidikan kepada pesalah dan masyarakat secara keseluruhannya berkaitan jenayah ini.

Namun, usaha ini hanya untuk jangka pendek sekadar mencantas ranting permasalahan sedangkan akarnya masih kuat. Oleh itu, satu usaha jangka panjang harus dilaksanakan segera.

Akar kepada segala permasalahan sosial ini ialah kurang rasa bertuhan yang harus dibendung. Kurang rasa bertuhan menyebabkan manusia bertindak mengikut hawa nafsu serta tidak memikirkan akibatnya di masa hadapan yang bukan hanya menempah derita di dunia bahkan di akhirat.

Golongan ini tidak takut melakukan perkara dilarang agama seperti berzina dan membuang bayi. Oleh itu, kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi harus ditekankan ke seluruh negara melalui pendidikan dan media massa.

Selain itu, penghalang kepada usaha murni ini seperti kebanjiran bahan lucah berbentuk elektronik mahupun cetak, rancangan hiburan melalaikan dan konsert yang menggalakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan juga harus disekat. Jika tidak usaha ini hanya menjadi sia-sia.

Harus diingat hasil usaha jangka panjang ini tidak dapat dinikmati segera dan memerlukan gerak kerja konsisten serta komitmen semua pihak terutama kerajaan dan ibu bapa. Semoga Ramadan membawa hidayah dan keampunan buat kita semua.

SHARIFAH SUMAYYAH SYED MALICK,
Naib Presiden HEWI,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

p/s: Artikel dikeluarkan dalam Berita Harian ruangan surat pembaca.

No comments: