Monday, July 26, 2010

HALA TUJU PENDIDIKAN SEKS HARUS JELAS





Dr. Haslinda Abdullah

DI Malaysia, pendidikan seks di sekolah bukanlah satu isu baru. Ia sudah mula diperkatakan, malah didebatkan seawal 1980-an lagi. Mutakhir ini, khususnya seminggu lalu, isu pendidikan seks di sekolah mula diperkatakan kembali.Ia mula menarik perhatian umum apabila Menteri Pelajaran ketika itu mengumumkan mulai 2006, Malaysia akan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah-sekolah. Kenyataan ini dibuat pada Disember 2005.

Dewasa ini kenyataan media berkaitan isu sosial sering memaparkan insiden yang kadang kala tidak pernah terbayang oleh akal yang waras. Dari sinilah timbul saranan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah. Namun, melihatkan rumitnya permasalahan ini, isu pendidikan seks dicadangkan untuk diperkenalkan di sekolah kelihatan masih kabur.
Namun apa yang pasti, pelbagai maklum balas atau reaksi masyarakat sudah diperoleh. Dalam konteks ini, penyelesaian yang perlu diambil tidak boleh bersifat ‘ad-hoc’ kerana asas kepada permasalahan ini perlu dikenal pasti terlebih dulu bagi menjamin satu penyelesaian yang mantap sifatnya.

Hakikatnya, pendekatannya memerlukan kebijaksanaan dan kandungannya perlu diperhalusi. Kajian mengenai salah laku seks menunjukkan bahawa pendidikan seks di sekolah sebenarnya boleh membantu meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai perkembangan seks, tetapi tidak merubah tingkah laku seks mereka. Hasil ini jelas menunjukkan bahawa kawalan mutu serta maklumat mengenai pendidikan seks yang hendak disampaikan di sekolah perlu dilakukan dengan berhemah bagi menjamin kesan yang positif. Maklumat yang tidak jelas, bercelaru serta tidak mempunyai paksi yang kukuh hanya akan mengeruhkan persekitaran pembelajaran.

Oleh demikian, kita harus jelas mengenai asas atau pokok usaha ini. Apakah matlamat pendidikan seks itu sendiri? Jika matlamatnya hanya sekadar memberikan panduan ‘safe sex’ atau seks selamat dan mengelakkan penyebaran penyakit berjangkit seperti HIV, sifilis dan penyakit yang berkaitan dengan seks rambang, maka kita akan melahirkan generasi yang tahu mengelak daripada dijangkiti penyakit.

Pendidikan seks dalam konteks masyarakat kita, khususnya umat Islam wajib bertunjangkan sistem nilai, moral dan akhlak Islam. Ini meliputi kandungan, kaedah pengajaran dan matlamat pendidikan itu. Yang pasti teknik pengajaran serta inti pati pembelajaran untuk memberi panduan ‘seks selamat’ adalah berbeza dengan matlamat untuk melahirkan insan yang salih dan seimbang.

Dalam Islam misalnya, segala hal berkaitan dengan seks terangkum dalam perbahasan yang lebih luas mengenai peraturan dan hukum hakam serta perkara yang berkaitan dengan hubungan lelaki dan wanita yang semua terangkum dalam perbincangan ‘munakahat.’ Di sesetengah tempat seperti di Johor, pendidikan mengenai munakahat ini sudah pun diajarkan kepada pelajar peringkat rendah.

Antara kandungan yang ada dalam mata pelajaran ini selain mengenai hubungan seksual suami isteri ialah mengenai kebersihan (toharah) dan juga kesihatan. Maklumat kesihatan dan kebersihan ini sebenarnya amat berkait rapat dengan masalah sosial yang berkaitan dengan seks rambang seperti jangkitan HIV dan Aids.

Dalam konteks masyarakat kita, dengan mengambil kira kepelbagaian kaum dan agama, adalah lebih baik dan munasabah sekiranya pendidikan munakahat itu diperkemaskan dengan memasukkan elemen baru yang berkait dengan masalah yang berlaku hari ini serta disesuaikan dengan kepelbagaian berkenaan. Kajian yang lebih mendalam serta menyeluruh mengenai pelbagai aspek mengenai munakahat untuk disesuaikan dalam pembelajaran pendidikan seks menerusi di sekolah mungkin dapat membantu pihak berkenaan dalam merangka strategi dan hala tuju yang lebih jelas dalam membentuk pendidikan seks yang benar-benar bermutu.

Tarbiyah al-Awlad fi al-Islam (Pendidikan Anak Menurut Islam), tulisan Abdullah Nashih Ulwan, jelas menunjukkan wawasan mengenai pendidikan anak dalam konteks memberi mereka kemahiran untuk bersosial. Menurut Ulwan, setiap anak memiliki aspek sosial, biologi, intelektual, psikik, dan seks. Ulwan turut menekankan interaksi dengan pelbagai peringkat masyarakat, seperti orang tua, guru, rakan sebaya, tetangga, dan orang dewasa yang memerlukan bimbingan dan nasihat serta berasaskan peringkat umur agar mereka sentiasa dipandu.

Pada pandangan penulis, gabungan inti pati subjek munakahat serta apa yang diperkatakan oleh Ulwan mampu menjernihkan suasana kandungan pendidikan seks itu sendiri untuk diguna pakai dalam sistem pendidikan di Malaysia. Penulis juga berpendapat beberapa faktor penting dalam pendidikan seks di sekolah seperti iklim persekolahan yang positif serta pendidik yang benar-benar berteraskan konsep ‘mendidik’ amat diperlukan supaya murid-murid dapat menerima pembelajaran mengenai pendidikan seks dengan perspektif yang betul dan positif.

Kesimpulannya, pendidikan seks di sekolah harus disantuni dengan penuh hikmah dan mesti mempunyai tujuan dan matlamat yang jelas. Kesilapan dalam pembuatan dasar serta menentukan matlamat yang hendak dicapai sudah tentu akan mengganggu usaha untuk mencapai matlamat berkenaan. Bagi memastikan ia berjaya dilaksanakan, pembabitan semua pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa, guru-guru, sekolah, dan kerajaan amat diperlukan. Hala tuju dan falsafah yang melandasi atau menjadi asasnya juga perlu jelas.

(Penulis ialah Ketua Laboratori Pendidikan Komuniti dan Pembangunan Belia Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Ketua Biro Pendidikan Abim Pusat.)

No comments: