Monday, July 13, 2009

REMAJA : KAHWIN EKSPRESS DAN IMPLIKASINYA


Dewasa ini, kahwin ekspress merupakan suatu isu yang cukup hangat diperkatakan sehingga membawa kepada implikasi yang cukup besar dalam komuniti masyarakat di Negara ini. Institusi perkahwinan yang telah dibina bukan lagi didasari dengan perasaan kasih-sayang seperti yang telah dianjurkan dalam islam tetapi menjadi ‘platform’ untuk melepaskan hawa nafsu semata-mata sehingga mampu meranapkan peradaban manusia sejagat.Suatu usaha yang konsisten dan sistematik perlu dilaksanakan bagi membendung gejala ini agar tidak menjadi adat budaya remaja di Negara.

Fenomena ini bakal mengundang pelbagai implikasi yang negatif dalam masyarakat di Malaysia khususnya golongan remaja yang merupakan bakal mewarisi kepemimpinan Negara.Biasanya pasangan yang terbabit dengan kahwin ekspres ini bertujuan untuk melepaskan tanggung jawab terhadap anak yang dikandung. Lebih malang lagi apabila anak yang dilahirkan tidak dapat didaftarkan secara sah status kewarganegaraan kerana butiran lengkap tentang pernikahan ibu bapa berkenaan tidak diperoleh. Akhirnya, si anak tidak dapat melalui kehidupan yang baik seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya. Selain itu, kadi yang menjadi juru nikah juga tidak mendapat pentauliahan dari mana-mana pejabat agama islam yang membolehkan kadi tersebut mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan sekaligus kredibiliti kadi berkenaan juga amat diragui.

Di Malaysia, dokumen pengenalan diri sangat penting untuk menjamin masa depan seseorang individu. Jelasnya, hal ini secara tidak langsung telah merosakkan peranan institusi kekeluargaan yang berfungsi melahirkan sebuah masyarakat madani. Harian metro baru-baru ini ada memaparkan tentang sepasang remaja yang mengadakan perkahwinan mereka secara ekspres hingga menyebabkan anak yang dilahirkan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri walaupun anak tersebut telah berusia dua tahun.

Dalam hal ini siapa yang perlu dipersalah?Sedih apabila melihat insiden ini berlaku apatah lagi penyakit kronik ini melibatkan kebejatan sosial dalam kalangan remaja seolah-olah mereka lupa dengan azab Allah swt. Keadaan ini juga telah melanggar adat sosiobudaya kita yang terkenal dengan sifat sopan santun.Lebih mengecewakan lagi,gejala ini juga sangat bertentangan dengan maksud perkahwinan itu sendiri dalam islam.

Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah ijab dan qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan Allah s.w.t. menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina.

Di Barat, kegilaan untuk memilih cara hidup ‘hidonistik’ iaitu mementingkan keseronokan dan tidak terikat dengan tanggungjawab menyebabkan amalan seks rambang dan bebas berleluasa dan mempengaruhi masyarakat dari benua lain untuk bersama mereka mengejar keseronokan duniawi tanpa mempedulikan dunia selepas mati. Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan Singapura(MOH) sebanyak 18.7% daripada 13,753 kes pengguguran kandungan dilakukan di Singapura pada tahun 1999 melibatkan wanita Melayu atau Islam. Menurut MOH lagi, hampir 41% pengguguran dilakukan oleh wanita dari semua kaum dan agama yang belum berkahwin, janda dan berpisah dengan suami.

Justeru,persediaan yang mantap terutamanya daripada aspek mental dan fizikal adalah penting bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. Mereka perlu jelas tentang peranan dan tanggungjawab mereka sebagai bakal ibu bapa setelah berkahwin kelak.Baru-baru ini Negara digemparkan dengan laporan harian metro yang melaporkan sepasang remaja yang telah berkahwin ekspress memilih ikut haluan masing-masing setelah bercerai.

Namun begitu,malang bagi anak yang bakal dilahirkan apabila tidak memiliki dokumen pengenalan diri untuk menjamin masa depan sedangkan di Negara ini dokumen pengenalan diri sangat penting untuk kehidupan yang lebih baik.

Oleh yang demikian, langkah yang efisyen perlu diambil bagi menangani fenomena ini agar tidak menjadi barah dalam masyarakat. Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat perlu mengadakan beberapa program kesedaran mengenai bahaya kahwin ekspress.Ibu bapa juga perlu mengawasi pergaulan anak-anak agar tidak terjebak ke kancah negatif.Selain itu,Golongan remaja juga perlu melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat seperti program yang telah dianjurkan Kelab Rakan Muda bagi mengisi masa lapang sekaligus membentuk keperibadian yang unggul.

Kesimpulannya, gejala ini mampu meranap peranan institusi kekeluargaan yang sedia ada.Oleh itu, pihak kerajaan,badan NGO dan ibu bapa perlu berganding bahu bagi membanteras gejala ini sehingga ke akar umbi.

NORAINI MOHD. TAIB
HEWI UNISEL

1 comment:

Anonymous said...

Genial dispatch and this enter helped me alot in my college assignement. Thank you seeking your information.