Wednesday, July 22, 2009

PTPTN : BERINGAT SEBELUM BERBELANJA

Dalam kesibukan setiap institusi pendidikan IPTA/IPTS menguruskan pembukaan semester baru bagi pendaftaran pelajar baru mahupun lama, ibu bapa pula sibuk mengira perbelanjaan bagi membiayai keperluan pendidikan anak-anak. Ini berikutan, ibu bapa sentiasa ingin memberikan yang terbaik untuk pendidikan anak-anak mereka dan sentiasa menginginkan anak-anak berasa cukup di atas apa yang dianugerahkan. Namun begitu sejauhmanakah anak-anak memikirkan beban yang ditanggung oleh ibu bapa? Kemana perginya wang pinjaman PTPTN yang diberikan oleh kerajaan bagi perbelanjaan pendidikan?

Mahasiswa kini seakan di serang 'penyakit boros' apabila wang pinjaman PTPTN berada di dalam tangan. Lebih parah lagi apabila timbul isu tidak cukup wang untuk membayar yuran pendidikan kepada pihak Universiti sedangkan peruntukan wang yang diberikan lebih daripada jumlah yuran yang sepatutnya dibayar. Jika dilihat dari suatu sudut yang kecil, sepatutnya isu sebegini tidak timbul dan ada penyelesaiannya. Adakah permintaan pihak universiti supaya melangsaikan hutang yang tertunggak sesuatu tindakan yang tidak wajar sedangkan tempoh pembayaran yuran telah diberikan. Mungkin pihak universiti masih boleh bertolak ansur jika mahasiswa tidak mampu membayar yuran bagi semester pendek berikutan pinjaman wang tidak diberikan untuk pengajian semester pendek. Namun masih ada juga mahasiswa yang tidak mampu membayar yuran bagi semester panjang sedangkan peruntukan wang telah diberikan.

"sesungguhnya manusia itu sangat ingkar dan tidak berterima kasih kepada Tuhannya"
(surah Al-Aadiyaat: Ayat 6)

Jika dilihat pada ayat di atas, memang lumarah kehidupan manusia itu mudah lupa dan alpa atas nikmat yang Allah kurniakan. Setiap rezeki yang Allah berikan jarang manusia mengucapkan rasa syukur kepada Penciptanya malahan apa yang Allah berikan juga telah digunakan dengan sia-sia. Kehidupan mahasiswa di universiti tidak pernah rasa cukup. Lantaran itu pelbagai agenda telah disusun sejurus sahaja pinjaman wang masuk di dalam akaun. Membeli-belah, melancong, menukar telefon bimbit dan sebagainya merupakan agenda yang paling menarik selepas menjadi orang kaya baru. Namun berapa ramaikah dikalangan mahasiswa yang memikirkan untuk menyumbang sedikit wang itu di rumah suci Allah.

Wang yang diberikan seharusnya mempunyai rancangan yang lebih baik dan teratur supaya tidak menghadapi masalah kelak. Sebagai anak, mahasiswa seharusnya memikirkan beban yang ditanggung oleh ibu bapa dan cuba sedaya upaya meringankannya. Ini berikutan, ibu bapa memberi harapan yang cukup tinggi kepada anak-anak mereka supaya mereka sempat melihat kejayaan anak-anak mereka di menara gading. Sehubungan dengan itu mahasiswa sendiri perlu bijak dalam merancang bajet mereka.

Selain daripada itu mahasiswa seharusnya bijak mengenalpasti keperluan peribadi mereka sendiri. Ini berikutan, wang yang diberikan bukan untuk perbelanjaan yamg tidak mendatangkan faedah tetapi perbelanjaan yang ada tujuan. Secara tidak langsung, cara ini dapat membantu mahasiswa merancang ekonomi mereka sendiri. Jika mahasiswa menggunakan penggiraan yang paling tepat dalam berbelanja, wang yang diberikan sebenarnya juga cukup membantu ibu bapa dalam perbelanjaan lain. Ada juga segelintir mahasiswa yang masih mampu membantu ibu bapa melalui pinjaman wang yang diperolehi.

Oleh sebab itu, mahasiswa seharusnya bijak dalam berbelanja dan meninggalkan sikap boros bagi membantu diri sendiri ketika dalam kesusahan bak kata pepatah 'sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tidak berguna' sebelum 'sudah terhantuk baru hendak terngadah'

Renungan :

Renungkanlah wahai teman.. "dalam hati ibu berkata: Pergilah anakku, belajarlah bersungguh-sungguh, jangan kau lemas dalam kebebasan yang ibu berikan.. Ibu tidak menghantar kamu ke sana melainkan ibu percaya kepada kamu".. "Dalam jiwa ayah pula berbisik: Anakku, ayah melepaskan kamu dengan sejuta doa moga kamu tidak pernah lupa nama yang kamu dihujung namamu..Hati ini penuh berharap agar kamu membawa piala kemenangan.. selamat berjuang", kenangilah mereka dalam setiap apa yang akan kita lakukan wahai teman....


JUNAIDAH ISMAIL

http://ruangceritahati.blogspot.com/

1 comment:

Anonymous said...

'infaq'...apa maksud infaq ini?? Rasulullah SAW bersabda dalam hadits yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim ada malaikat yang sentiasa berdo'a setiap pagi dan petang : "Ya Allah SWT berilah orang yang berinfak, gantinya. Dan berkata yang lain : "Ya Allah jadikanlah orang yang menahan infak, kehancuran".

Berbelanja berpada-pada dan seadanya.