Monday, June 01, 2009

WANITA DAN KECANTIKAN


Jelita, comel, manis, anggun, dan molek masing-masing membawa konotasi yang sama iaitu cantik. Kesemua perkataan tersebut amat sinonim dengan insan yang bergelar wanita. Justeru, wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan.

Kecantikan wanita terlalu subjektif untuk diungkap. Pada setiap diri wanita ada kecantikan tersendiri. Hanya mereka yang pandai menilai tahu di mana cantiknya wanita. Namun, ramai wanita beranggapan kecantikan sebenar terletak pada kesempurnaan dan keindahan fizikal luaran semata-mata. Perumpamaan Melayu seperti rambut bak ikal mayang mengurai, sinar mata bak bintang kejora bekerdipan, pipi bagai pauh dilayang, bibir ulas limau, pinggang bak semut kerengga, kulit seumpama telur rebus dikupas dan pelbagai lagi menggambarkan kecantikan lahiriah wanita yang sempurna. Kononnya.

Dasawarsa ini, media memainkan peranan dalam menentukan definisi cantik. Acap kali, media terutama televisyen memaparkan model-model yang tinggi lampai, putih melepak, kurus melidi, terdedah sana, terbuka sini untuk menggambarkan itulah kecantikan sebenar seseorang wanita. Disebabkan itu, ramai wanita terpengaruh dengan makna kecantikan sejati acuan media. Maka, berlumba-lumbalah wanita menghabiskan sejumlah wang yang banyak untuk tampil anggun dan cantik.

Dewasa ini, pelbagai produk kecantikan membanjiri pasaran serata dunia. Dari produk penjagaan diri luar dan dalam ke produk pelangsingan badan semuanya boleh didapati dengan mudah dan pelbagai di mana-mana pasaraya dan salon kecantikan. Harganya pula kekadang mencecah ribuan ringgit. Di Malaysia, mengikut statistik Kementerian Kesihatan, pada tahun 2001 terdapat lebih 60,000 produk kosmetik dan dandanan diri dalam pasaran tempatan yang bernilai RM 3 bilion dan jumlah itu kian meningkat dari semasa ke semasa. Namun, bagi wanita yang taksub dengan kecantikan, duit itu tidak menjadi masalah pada mereka. Pada pendapat mereka, ‘biar papa kedana, asal cantik rupawan’.

Suntikan Botox

Bukan sekadar produk kecantikan sahaja, malah seiring dengan kepesatan teknologi yang canggih, maka produk penjagaan diri juga semakin maju dan moden. Pembedahan plastik, suntikan botok, sedut lemak dan teknologi laser semakin diminati ramai wanita berduit. Hidung yang pesek boleh jadi mancung bak seludang, dagu yang berlapis dan bulat, boleh jadi runcing bak lebah tergantung malah kekadang umur yang lanjut 60-an pun boleh kelihatan muda remaja seperti 20-an. Sungguh ajaib! ;) walau sehebat mana teknologi terkini, namun masih ada yang berjumpa bomoh untuk memasang susuk. Tujuannya hanya mahu kelihatan cantik berseri.

Sesungguhnya, wanita dibebani dengan kecantikan. Ramai juga wanita beranggapan dengan kecantikan lahiriah mereka boleh bahagia dan boleh menggapai cita-cita dengan mudah. Betul ke? Disebabkan itu, mereka mengabaikan kecantikan pada sudut lain iaitu kecantikan dalaman, akhlak, dan intelek. Oleh itu, boleh dilihat sekarang ramai wanita yang mempunyai rupa paras dan bentuk badan menawan bak model terkenal, tetapi akhlak dan komitmen terhadap agama amat menyedihkan.:(

Sikap taksub yang melampau terhadap kecantikan telah menyebabkan ramai wanita sanggup mengenepikan agama. Halal dan haram diperkotak-katikkan. Pendedahan aurat, mengubah ciptaan Allah melalui pembedahan plastik, pemakaian susuk dan sebagainya dianggap perkara biasa bukan satu dosa dan dilaknat oleh Allah S.W.T.

Kecantikan intelek

Suatu ketika dahulu, dunia barat menggambarkan wanita cantik sebagai seorang yang dungu. Lihat sahaja filem Bonds yang terdahulu, gadis-gadis disamping Bond semuanya bodoh belaka walaupun seksi dan menggoda. Barat tidak menghargai wanita sangat. Disebabkan itu, mereka mengeksploitasi kaum Hawa ini demi kepentingan mereka. Buktinya, mereka bebas mengadakan seks dengan mana-mana wanita yang mereka suka tanpa sebarang ikatan sah perkahwinan. Filem-filem terbitan barat juga menayangkan adengan-adengan yang memanipulasi kaum wanita. Wanita ditindas dan dijadikan bahan seks dan diperlakukan seperti patung. Tetapi, lebih menyedihkan kaum wanita ini sendiri rela diperlakukan sedemikian rupa. Salah siapa?

Dalam dunia yang kian mencabar, rupa paras menarik tidak begitu penting. Realitinya, kecantikan intelek lebih diperlukan dalam mengharungi kehidupan. Islam begitu menitik beratkan budaya ilmu dikalangan penganutnya sama ada lelaki mahupun wanita. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi setiap orang Muslim.”Hadith ini jelas menunjukkan ilmu sangat penting dalam Islam. Islam tidak pula memisahkan ilmu dunia dan ilmu akhirat. Kedua-duanya bersatu dan membentuk satu integrasi ilmu acuan Islam dan natijahnya pembentukan personaliti seseorang lebih holistik dan lahirlah manusia Islam yang berilmu, beriman dan beramal soleh.

Kita selalu mendengar ungkapan, “tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia.” Wanita yang bergelar ibu bertanggungjawab besar dalam mendidik anak-anaknya seiring dengan landasan Islam. Integrasi ilmu dan kecantikan intelek kaum wanita mampu melahirkan satu generasi manusia yang bertamadun tinggi. Untuk menggilap minda seorang wanita Muslimah yang berjaya, aktiviti pembacaan bahan bacaan yang ilmiah dan berkualiti adalah kuncinya. Pembacaan ini harus disertai dengan akal fikiran yang kritis dan kreatif. Oleh itu, ia menggalakkan aktiviti berfikir yang akan menjadikan minda kita lebih tajam malah boleh menguatkan ingatan seseorang. Selain itu, kecantikan intelek wanita lebih terserlah bilamana dia berbicara, kata-katanya selalu bernas dan penuh hikmah. Pandangan hidup menjadi lebih luas dan luar dari kebiasaan dengan visi dan misi yang terarah. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawasanya kecantikan intelek para wanita yang menentukan dan mencorak satu generasi yang berjiwa dan berminda besar yang akhirnya menggoncangkan dunia dengan kelahiran dan kebangkitan Islam bagi menunaikan misi membawa keamanan dan kesejahteraan manusia sejagat.

Kecantikan akhlak dan budi.

Agama Islam menuntut penganutnnya supaya memberi komitmen yang tinggi terhadap ajaran Islam. Komitmen ini terpancar melalui nilai akhlak dan tingginya budi pekerti seseorang individu Muslim. Wanita muslimah yang solehah adalah perhiasan yang paling indah di alam ini. Sejuk mata memandang wanita yang berpakaian sopan menutup aurat, luhur hatinya, cantik budi bahasanya dan sopan gerak gerinya. Itulah kecantikan sebenar seseorang wanita Islam. Kecantikan abadi yang tiada luntur dimamah usia, malah kecantikan akhlak Islamiyyah ini akan disegani dan dihormati oleh ramai orang. Apalah makna cantik pada rupa dan fizikal tetapi buruk akhlaknya. Sifat-sifat mahmudah yang tertanam dalam diri wanita menjadikan wanita lebih cantik walau punya rupa paras sederhana.

Penjagaan rupa paras dan fizikal tidak pula dihalang dalam Islam. Diri kita adalah amanah dari Allah ysng harus dijaga sebaik mungkin. Secara peribadi, tidaklah salah kita menggunakan produk perawatan dan kesihatan diri selagi mana terjamin halalnya, bebas dari bahan-bahan yang mendatangkan mudarat, tidak pula mengubah ciptaan Allah dan tidak pula menyebabkan pembaziran yang melampau-lampau. Dengan persekitaran yang teruk tercemar dan pemanasan global, keadaan ini menuntut kita lebih melindungi dan menjaga diri dari kesannya yang bahaya. Kecantikan individu Muslimah akan lebih terserlah dengan mempunyai kesihatan tubuh badan yang baik dan cergas.

Kesimpulannya, wanita adalah makhluk yang tercantik dan sangat subjektif bagi setiap individu. Janganlah terlalu taksub dengan kecantikan zahir semata-mata. Hargailah diri anda seadanya kerana anda adalah anda dan kerana dirimu begitu berharga. Namun yang sangat pasti, kecantikan acuan Islam adalah yang terindah. Islam sangat menjaga kecantikan wanita. Disebabkan itu, kita disuruh menutup aurat selain ingin membezakan wanita muslimah dengan wanita bukan Islam. Kecantikan wanita Islam tidak perlu mengeluarkan wang beribu-ribu untuk kecantikan lahiriah. Cukup dengan mambasahi diri dengan berwuduk yang memberi sinar gemilang pada wajah. Kecantikan dalaman dengan hati yang ikhlas dan tenang tersirna dengan akhlak yang luhur. Minda yang positif dan cerdik pula menjadi perhiasan wanita. Natijahnya, kecantikan zahir dan batin wanita muslimah mampu membentuk satu generasi yang bertamadun tinggi dan berjiwa rabbaniy. Wallahu’alam.

Faridah bt. Mohd Tap

Aktivis Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

(Diterbitkan dalam Majalah-i keluaran Jun)


No comments: