Friday, December 15, 2006

Ibubapa Berperanan Tangani Gejala Sosial

SIARAN MEDIA
Khamis, 14 Disember 2006 (Berita Harian)

Komentar yang diberikan oleh Senator Datuk Syed Ali Abbas Alhabshee di Dewan Negara semalam menarik perhatian kami. Beliau menyatakan rasa tidak puas hati di kalangan senator wanita dan berkata bahawa keruntuhan nilai moral golongan muda berpunca daripada ibu moden yang gagal melaksanakan tanggung jawab mereka. Tambah beliau lagi, wanita terlalu khusyuk berlumba-lumba dengan kaum lelaki untuk mendirikan kerjaya masing-masing sehingga mengabaikan tanggung jawab di rumah.

Satu perkara yang tidak boleh dipandang enteng pada ketika ini ialah kebimbangan kita kepada kualiti generasi muda yang sering kita war warkan sebagai penerus kepimpinan mendatang. Generasi muda kita pada hari ini rata-ratanya telah mengalami krisis jati diri yang amat kritikal. Peningkatan jenayah juvana yang semakin menekan, terhakis akhlak dan budi bahasa yang sukar untuk di dapati pada generasi muda merupakan satu tugas kita bersama untuk mengembalikan semula kegemilangan dan kekuatan generasi muda mengikut acuan kita sendiri.

Penglibatan remaja dalam jenayah seperti bunuh, samun,peras ugut, curi kenderaan, kongsi gelap dan vandalism semakin meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 2001 sahaja telah mencatatkan sebanyak 2,735 kes manakala tahun 2002 meningkat sebanyak 2,955 kes. Penglibatan remaja dalam kes-kes trafik seperti lumba haram, samseng jalanan dan memandu tanpa lesen amat merisaukan kita di mana jumlah remaja yang terlibat dalam kemalangan maut pada tahun 2002 mencatat sebanyak 1,971 kes manakala kemalangan parah mencatatkan sebanyak 3,592 kes. Bagaimana pula penglibatan remaja dalam gejala sosial? Gejala ponteng sekolah, budaya lepak, menonton video lucah, merokok ,seks rambang dan terbaru menganggotai kumpilan mat rempit?

Pelbagai punca yang menyumbang ke arah kemiskinan nilai moral generasi muda. Adalah tidak bijak untuk kita hanya menyalahkan ibu moden semata-mata. Apakah bapa moden tidak mempunyai tanggung jawab untuk mendidik dan menanamkan akhlak dan peribadi yang mulia kepada generasi muda?

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang dianggotai oleh generasi muda berpandangan kita tidak seharusnya menyalahkan pihak lain yang dikatakan menjadi penyumbang kepada keruntuhan moral dan akhlak generasi muda. Seharusnya pada saat dan ketika ini kita telah merancang dan melaksanakan secara berterusan program-program yang membina dan mendidik generasi muda seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Program Tak Nak Rokok !, Rakan Muda dan seumpamanya.


PKPIM juga berpandangan ibu moden pada hari ini harus bijak mengimbangi peranan sebagai seorang ibu dan teknokrat negara. Untuk mengimbangi kedua-dua peranan ini, suami selaku bapa sepatutnya memberikan sokongan dan dorongan menjadi peneguh kepada kejayaan seorang wanita sebagai isteri, ibu dan ahli teknokrat negara. Peranan wanita sebagai pembentuk acuan didikan anak-anak disempurnakan dengan adanya peranan lelaki sebagai suami demi mengukuhkan sendi kepada kebahagian sesebuah institusi rumah tangga dan melahirkan generasi muda yang berkualiti.

PKPIM berpandangan suami,bapa dan ketua keluarga yang terbaik adalah mereka yang sanggup berkongsi tanggung jawab dalam menguruskan rumah tangga dan mendidik serta mengurus anak-anak biarpun terpaksa memasak, mencuci serta menyidai baju malah membersihkan rumah. Ia merupakan tanda terima kasih seorang suami kepada isteri yang melahirkan cahaya mata yang mengundang kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup.

PKPIM juga mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar meneruskan dengan kerap usaha mengadakan bengkel atau seminar yang banyak menjurus kepada pemantapan institusi perkahwinan dan keluarga di seluruh pelusok negeri dan daerah dan bukan sahaja tertumpu di kawasan lembah Klang semata-mata. Para peserta yang hadir seharusnya tidak hanya terdiri daripada ibu bapa yang mempunyai pendidikan tinggi dan terdiri daripada penjawat jawatan tinggi dan tinggal di kawasan bandar semata-mata.


Shamsiah Mahli
Naib Presiden Hal Ehwal Siswi (Hewi)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Suite 212, Kompleks Anjung Rahmat,
Batu 6, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur

03-61879520 (Tel)
03-61852570 (Faks)
013-5640209 (HP)
wassini1982@yahoo.com
spp@pkpim.net

No comments: