Friday, December 15, 2006

Gagal fahami tanggung jawab punca penceraian tinggi

Statistik penceraian dikalangan pasangan Islam yang dipaparkan di Berita Harian semalam mengundang kebimbangan kepada kita. Pada tahun 2005 sahaja seramai 16,500 pasangan yang bercerai berbanding dengan penceraian dikalangan pasangan bukan Islam yang mencatat sejumlah 3,000 pasangan yang bercerai.

Menurut Presiden Peguam Syariee Malaysia (PGSM), Zainur Rijal Abu Bakar berkata punca kebanyakan pasangan yang bercerai adalah kerana mereka gagal memahami dengan jelas hak dan tanggung jawab dalam perkahwinan, gagal berkomunikasi dengan baik dalam menyelesaikan masalah rumah tangga walaupun mereka telah lama bercinta. Akhirnya berpisah dipilih sebagai jalan untuk meleraikan ikatan yang telah dibina.

Perkahwinan itu sendiri disyariatkan dalam Islam bertujuan untuk mengembangkan zuriat manusia dengan cara yang halal sebagai penyambung keturunan untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Kebahagiaan sering terpancar di wajah pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Tatkala itu semua perkara yang berlaku merupakan peristiwa yang indah-indah belaka. Suami sangat menyantuni dan menghormati isteri dan begitu juga sebaliknya. Segala cabaran dan dugaan diharungi bersama-sama dan berjanji akan hidup semati.

Tidak dinafikan bahawa sesebuah perkahwinan itu akan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan hidup. Adakalanya pasangan suami isteri bertelagah pendapat, bertengkar, bermasam muka, tidak bertegur sapa malah ada yang sanggup memukul isterinya. Anak-anak pula mula tidak mendapat perhatian dan kasih-sayang daripada ibu bapa. Akhirnya pelajaran anak-anak merosot dan sikap mereka menjadi lebih agresif.

Apabila sudah tidak sefahaman, penceraian menjadi jalan pilihan. Isteri sudah tidak tahan tinggal bersama suami. Suami pula seolah-olah lupa tanggung jawab sebagai ketua keluarga. Apa yang pasti perkahwinan yang suatu ketika dahulu dibina atas dasar cinta terlerai begitu sahaja akibat perasaan benci dan marah. Persoalannya, adakah cukup cinta sahaja kukuh untuk mempertahankan sebuah perkahwinan?

Hampir setiap hari Jabatan Agama Islam dikunjungi oleh pasangan-pasangan yang bermasalah dan berhasrat untuk bercerai. Mahkamah Syariah pula tidak sunyi dengan permohonan penceraian oleh pasangan-pasangan. Pendek kata Majlis Sulh pun tidak mampu mendamaikan hati kedua-dua pihak. Dalam tempoh setahun sahaja ratusan kes penceraian dilaporkan di seluruh negeri di Malaysia. Apakah punca-punca yang mendorong kepada penceraian mereka? Bagaimana pula tuntutan yang dibuat oleh isteri-isteri selepas penceraian?


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ingin menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah kes penceraian dikalangan umat Islam di Malaysia. Ini kerana penceraian memberikan impak yang negatif kepada anak-anak generasi muda yang sering kita war-warkan sebagai penerus kepimpinan negara akan datang.

Justeru, PKPIM mencadangkan agar modul Kursus Pra Perkahwinan diperkukuhkan demi memberikan kesedaran kepada bakal pasangan suami isteri betapa perkahwinan itu bukanlah untuk sehari dua tetapi perkahwinan merupakan tanggung jawab seumur hidup. Kursus Pra Perkahwinan bukan sekadar syarat untuk membolehkan pasangan berkahwin tetapi sebagai ilmu pengetahuan yang bakal diaplikasikan dalam melayari kehidupan berumah tangga.

PKPIM memuji usaha Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kerana berjaya menganjurkan Seminar Mengenai Hak-Hak Wanita dalam perkahwinan dan selepas penceraian yang dilaksanakan pada pertengahan tahun ini. Seharusnya seminar seperti ini perlu diteruskan dan dilaksanakan di seluruh negeri agar wanita sebagai isteri memahami hak-hak serta tanggung jawab mereka di dalam perkahwinan. Usaha yang sama perlu dilaksanakan khas untuk suami agar mereka memahami tanggung jawab mereka sebagai suami dan bapa kepada anak-anak. Kebanyakan punca kepada sesebuah penceraian adalah kegagalan suami memberikan nafkah zahir kepada si isteri dan anak-anak. Ada segelintir suami yang menggunakan hukum agama untuk mencari kesalahan isteri. Mereka sering menuntut hak mereka sebagai suami namun jarang sekali hendak menunaikan tanggung jawab mereka.

PKPIM berpandangan media massa seharusnya tidak terlalu membuat liputan yang meluas mengenai pergolakan rumah tangga atau penceraian yang berlaku dikalangan artis sensasi di Malaysia. Apabila berita dan isu sensasi ini sering dipaparkan di media massa, lama kelamaan penceraian seolah-olah menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya dalam masyarakat kita. Adalah lebih baik sekiranya media massa menjadi satu wadah untuk masyarakat mendapat maklumat yang berguna, tayangan drama dokumentari yang mempunyai mesej nilai-nilai kemanusiaan untuk dijadikan contoh kepada generasi muda.


SHAMSIAH MAHLI
Naib Presiden Hal Ehwal Siswi (Hewi)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)


Suite 212, Kompleks Anjung Rahmat,
Batu 6, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur

03-61879520 (Tel)
03-61852570 (Faks)
013-5640209 (HP)
wassini1982@yahoo.com
spp@pkpim.net

No comments: