Thursday, November 30, 2006

Niat Dan Pembinaan Daya Tahan


Niat mempunyai kedudukan yang khusus dalam Islam. Rasulullah s.a.w mengajar umatnya agar memulakan sesuatu amal kebajikan dengan niat. Misalnya, dalam solat kita akan mulakan dengan niat. Dengan niat, barulah sesuatu amal dikira sebagai ibadah yang paling layak diterima oleh Allah s.w.t serta diberi ganjaran.

Tatacara niat dalam Islam dimulakan dengan ‘Nawaitu’memberikan impak yang besar dalam kehidupan seorang muslim. Ia mengambarkan amalan yang dilakukan berlandaskan kepada perasaan sukarela, meletakan dirinya dalam keadaan pasrah dan bersedia melakukan sesuatu dengan keazaman yang tinggi. Semangat ini akhirnya akan memberi kekuatun dalaman kepada individu untuk mengharungi segala cabaran dan dugaan yang mendatang kerana apa yang dilakukan merupakan pilhan terbaik yang telah dibuat. Amalan ini juga dapat mengatur kehidupan yang lebih beerti bagi seorang individu. Di samping dapat menyuntik semangat dan motivasi yang tinggi bagi mencapai matlamat.

Niat dapat membantu otak membina daya tumpuan. Otak dapat berfungsi secara maksimum apabila individu fokus terhadap apa yang ingin dilakukan. Matlamat merupakan satu inti pati utama dalam niat. Tindakan individu dianggap sebagai amal ibadah apabila matlamat pelaksanaannya ialah ‘kerana Allah’ (Lillah). Matlamat yang jelas ini seterusnya memberi kekuatan emosi da spiritual kepada individu untuk beramal secara bersungguh-sungguh dan istiqomah dengan mengejar matlamat yang satu. Sesungguhnya janji Allah itu benar dan tidak pernah dimungkiri.

Sekiranya dilihat dalam buku 7 tabiat orang yang amat berkesan penulisan Stephen R.Covey, tabiat kedua yang diberikan penekanan adalah mula dengan mengingat matlamat. Tabiat ini digunakan dalam kehidupan, penggunaan paling asas iaitu bermula pada hari ini dengan imej, gambar atau paradigma akhir hayat sebagai rangka rujukan. Mengingat matlamat bermaksud bermula dengan matlamat yang jelas tentang destinasi yang ingin dituju. Individu yang hidup tanpa matlamat yang jelas ibarat berjalan tanpa arah tujuan. Apabila berada dipersimpangan, buntu membuat pilihan. Pertimbangkan kata-kata Joseph Addison :

Bila saya perhatikan kubur orang yang terkenal, setiap emosi iri hati lesap daripada hati saya ; bila saya baca kata-kata kenangan orang rupawan, setiap keinginan saya yang tidak berpatutan terus hilang; bila saya menemui kesedihan ibu bapa yang tertulis di batu nisan, hati saya cair dengan belas kasihan; bila saya lihat kubur ibu bapa sendiri, saya teringat kesia-siaan bersedih untuk mereka yang mesti kita ikut tidak lama lagi; bila saya lihat raja berbaring di sisi mereka yang menggulingkannya, bila saya ingat pada orang bijak yang kini bersebelahan dengan saingannya, atau orang alim yang memecahbelahkan dunia dengan pertentangan dan pertengakaran mereka, saya bayangkan dengan sedih dan hairan perkelahian, pertelingkahan dan perdebatan manusia. Bila saya baca tarikh di kubur, mereka yang mati semalam, dan mereka yang mati enam ratus tahun sebelum ini, saya ingat pada Hari teragung bila kita semua akan menjadi orang sezaman dan memperlihatkan diri kita serentak.

Kata-kata ini mempunyai maksud yang mendalam bagi individu yang menghayati. Ia menyentuh nilai mendalam, asas individu. Justeru, jadikanlah niat sebagai senjata ampuh untuk membina daya tahan diri dalam menempuh dugaan. Amalan ini perlu diterjemahkan dalam setiap aktiviti yang dilakukan bagi mendapat redha dan pertolongan serta petunjuk Ilahi. Berikut diberikan tip meningkatkan daya tahan.

Niat / set target ke arah misi yang ingin dilakukan
Kosongkan minda, perasaan dan fokus kepada target yang ditentukan
Puasa minda, perasaan rohani dan jasmani melainkan kepada perlakuan (amal) yang perlu (pandu dalam track)
Bekerja sebagai satu pasukan (amal jamaiy)
Buat bersungguh-sungguh dan selebihnya serah kepada Alah s.w.t


Sumber rujukan : Artikel Niat dan pembinaan daya tahan, Dr Muhammad Jantan
Perunding Motivasi & Psikologi RMJ Holistic Solution
7 tabiat orang yang amat berkesan, Stephen R.Covey

No comments: