Thursday, March 30, 2006

:: Bila HEWI menulis ::


Assalamualaikum Muallimah sekalian,

Moga kita sentiasa dalam lindungan rahmat Illahi..
Pastinya masih terpapar di minda gambar karikatur yang dicipta barat bertujuan menghina Nabi Junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Begitu mudah mereka melakukannya dan kemudian meminta maaf. Begitu kerdilkah kita sehingga kita dijadikan boneka. Umat Islam di beberapa buah negara melakukan pelbagai cara untuk membalas serangan psikologi ini; antaranya melakukan demonstrasi, seperti yang berlaku di Ampang di mana seramai 40 orang berdemonstrasi di depan kedutaan Denmark dan tidak dilupakan seramai 10,000 rakyat Indonesia melakukan demonstrasi besar-besaran di Jakarta, selain itu Malaysia telah mengadakan dialog Islam-Barat di atas inisiatif Perdana Menteri, juga bantahan melalui cara yang sama iaitu melukis karikatur yang membidas semula serangan tersebut oleh persatuan dan NGO.

Bukti-bukti di atas menunjukkan Umat Islam masih peka terhadap isu yang menyentuh sensitiviti agama. Walaubagaimanapun sejauh manakah kita benar-benar memainkan peranan kita sebagai seorang Muslim bagi menangani isu ini? Setakat berdoa atau memeluk tubuh semata-mata tidak cukup. Saya tidak bermaksud untuk menuding jari kepada mana-mana pihak hatta saudara se-Islam, tetapi saya ingin berkongsi bersama tentang akibat umat Islam hari ini tidak peka terhadap isu karikatur ini. Apa yang ingin saya kongsikan ini adalah hasil perkongsian bersama forum yang dibentangkan oleh Ustad Maszlee Malik, Pensyarah UIA. Persoalan utama yang dibincangkan ialah ‘Kenapa Umat Islam di Malaysia tidak sensitif terhadap isu penghinaan ke atas Nabi S.A.W.’, Lihat saja realiti hari ini apabila ada pihak tertentu yang mencuba apatah lagi menghina artis pujaan mereka, peminat fanatik ini akan memulaukan pihak-pihak yang terbabit dan terus melabelkan mereka sebagai golongan jahat … Budaya label-melabel ini seperti sinonim pula dengan masyarakat Malaysia. Sebenarnya siapa yang lebih jahat? Mereka yang menghina artis pujaan atau mereka yang nyata-nyata menghina Nabi dan Islam itu sendiri!

Dalam forum berkenaan, beliau meringkaskan beberapa sebab mengapa Umat Islam tidak sensitif terhadap perkara seperti ini; antaranya :
Umat Islam tidak benar-benar mengenali perjuangan dan peribadi Baginda. Muda mudi hari ini misalnya lebih mengenali artis-artis pujaan dan lebih suka membaca majalah hiburan daripada membaca sirah Nabawiah.
Umat Islam yang tidak cintakan Nabi dan tidak tahu bagaimana hendak mencintai Nabi :
‘Tidak beriman seseorang sehingga kamu mencintai Nabi lebih daripada diri
kamu sendiri.’
Jikalau ada yang cinta pun, bagaimana mahu mengikut ajaran Nabi? Mudah saja,
caranya; mengikut Sunnah Nabi, Al-Quran tunggak utama, tapi bagaimana, ada
lagi
cara; sekurang-kurangnya kita memahami dan meneliti Hadith 40 dan sentiasa
memelihara diri daripada perkara-perkara bidaah.
Hiburan terlalu banyak, pendek kata Umat Islam hari ini mengalami sindrom Hedonisme. Hiburan tidak pernah ditegah dalam Islam, tetapi jangan sampai menjadi hamba kepada hiburan. Lihat saja di kaca-kaca televisyen, pelbagai rancangan realiti TV dan aktiviti-aktiviti yang melalaikan dianjurkan yang tidak langsung mengintelekkan umat Islam.
Pelaksanaan demokrasi yang memandulkan minda rakyat, misalnya AUKU, Akta Undang-undang Kolej Universiti yang menyekat kegiatan mahasiswa, kalau tidak kerana AUKU pasti ramai mahasiswa sekurang-kurangnya yang akan turut serta melakukan demonstrasi membidas penghinaan Nabi, bukan setakat bila timbul isu ini sahaja tetapi juga bilamana isu-isu lain tercetus.

Umat Islam di Malaysia tidak proaktif, seperti senario hari ini, di mana komik-komik atau kartun-kartun lebih memihak kepada kesenangan dunia semata-mata, di mana perginya jejak karikatur berunsur Islami, kalau adapun bilangannya masih terlalu sedikit jika dibandingkan dengan komik karya pelukis asing. Kalaupun ada yang berunsur Islami, lagu-lagu nasyid moden kini lebih berunsur cinta nafsu duniawi.
Tidak kurangnya dengan usaha sesetengah pihak yang mempunyai agenda tersendiri sengaja mahu Umat Islam di Malaysia dan pihak media massa supaya tidak menggembar-gemburkan isu ini. Mereka cuba sedaya upaya mengelakkan demonstrasi atau pemberontakan kerana mahu menjaga kepentingan ekonomi di negara ini. Dengan erti kata lain, mereka mahu ‘membuta-tulikan’ umat Islam untuk tidak memboikot barangan keluaran kilang-kilang besar mereka.
Sedarkah kita bahawa sikap kitalah yang menyebabkan begitu mudahnya agama kita dihina…dan kita jugalah yang bertanggungjawab memperbetulkan, memgelakkan serta memelihara kesucian agama Islam itu sendiri…Tidak perlu menoleh ke kanan ke kiri ke depan atau ke belakang, kitalah yang berdiri di sini yang perlu mangambil tindakan sewajarnya. Mari kita bersama-sama mengamalkan cara hidup Islam yang syumul ( menyeluruh ).
Mariati Roslan
HEWI PERKEPIS

No comments: