Thursday, September 10, 2009

JENAYAH DI KALANGAN PELAJAR WANITA MAKIN MEMBARAH

HARAKAH September 2009

Statistik dikalangan jenayah dikalangan pelajar perempuan amat membimbangkan sejak kebelakangan ini. Jika dahulu kita dikejutkan dengan perbuatan pelajar perempuan menendang guru, merokok, pergaulan bebas sehingga terjebak lebih jauh lagi kepada seks bebas atau berzina. Dan paling menyedihkan sehingga melahirkan anak luar nikah pada usia yang sangat muda.

Dan kini permasalahan jenayah serta salah laku pelajar perempuan semakin menghadapi tahap yang kronik yang kritikal di mana pelajar wanita sudah berani terlibat dengan penyalahgunaan dadah seperti yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia semalam. Di mana, seorang pelajar perempuan tingkatan satu adalah antara 15 yang ditahan kerana positif dadah dalam satu operasi bersepadu di Plaza Tol Jalan Duta malam semalam. Remaja berusia 13 tahun itu ditahan bersama-sama teman lelakinya yang berusia 20 tahun setelah ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu.

Apakah akar permasalahan remaja atau pelajar perempuan di Malaysia sekarang? Adakah sistem pendidikan kita tidak relevan atau rapuh dalam melahirkan pelajar perempuan yang beradab serta mempunyai jatidiri yang mulia dan disegani. Sebagai persatuan pelajar yang bersifat kebangsaan, Majlis HEWI PKPIM memandang perkara ini perlu ditangani dengan segera dan bijaksana. Kerjasama dari semua pihak, ibu bapa, guru-guru serta kementerian serta pertubuhan yang bertanggungjawab perlulah bersama-sama memainkan peranan masing-masing.

Pendidikan awal dari rumah khususnya membentuk peribadi pelajar ini perlulah dibentuk sebaiknya, pendidikan di sekolah, matrikulasi serta di peringkat universiti perlu diperkasakan dari segi penerapan nilai-nilai murni kehidupan insani. Falsafah pendidikan perlulah difahami serta dihadami oleh semua pihak secara maknawinya bukan hanya dari istilahinya. Pendidikan ini bukanlah mengajar atau memberi maklumat semata-mata tetapi mendidik, mengasuh dan memupuk seseorang itu sehingga benar-benar menjadi insan yang kamil. Benar, memanusiakan manusia atau menginsanikan insan bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Dengan itu, penelitian serta penambahbaikan sistem pendidikan kita khususnya pendidikan remaja perempuan dari pelbagai aspek. Antara aspek yang perlu ditekankan adalah dari segi emosi, intelek dan spiritual agar kita benar-benar mampu melainkan remaja wanita yang menjadi harapan negara, bangsa dan agama di masa akan datang seperti kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Sehubungan dengan itu, HEWI PKPIM berpendapat golongan generasi muda perlu dilibatkan bersama dalam menangani masalah yang melanda remaja perempuan ini. Berkemungkinan generasi sekarang memahami keperluan generasi sezamannya., jadi HEWI PKPIM merasakan perlunya penglibatan generasi muda dilibatkan bersama dalam memikirkan solusi yang terbaik bagi menangani permasalahan ini.

Selain itu, HEWI PKPIM berpendapat bahawa kita perlu memantapkan kembali institusi kekeluargaan yang kian rapuh serta makin luntur dari segi peranannya. Pendidikan kekeluargaan perlulah diterapkan sebelum perkahwinan lagi supaya pasangan yang bakal berkahwin dapat memahami tanggungjawab serta peranan mendidik anak-anak yang sebenarnya. Pemahaman serta ilmu kekeluargaan, menangani emosi dan masalah serta psikologi kanak-kanak dan remaja perlu manjadi teras-teras utama dalam pendidikan negara sama ada secara formal atau bukan formal.Pendidikan kekeluargaan ini bukan sahaja tertumpu pada wanita semata-mata tapi peranan lelaki juga perlu diperkasakan.


Justeru itu, HEWI PKPIM berpandangan sistem pendidikan kita sama ada secara formal atau tidak perlu diteliti semula serta diperkasakan dengan menitikberatkan soal-soal yang menjadi punca permasalahan pelajar sekarang terutamanya pelajar wanita.

Oleh,
Nor Akmariah Abdullah
Naib Presiden Hal Ehwal Siswi (HEWI)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

1 comment:

Anonymous said...

Berbicara soal sistem pendidikan, apakah aspek yang harus dimantapkan lagi? kita selalu ingin mengubah sistem, prosedur, tatacara dan sebagainya tetapi masih gagal mencapai matlamat yang diingini.

Bagi saya sistem pendidikan kita tidak perlu melalui perubahan besar tetapi tenaga pengajar perlu lah bertindak dengan bijak dan berhikmah. Guru yang biadap akan melahirkan anak murid yang biadap. Guru yang malas akan melahirkan anak murid yang malas. Kemudian ibu bapa yang bermasalah akan melahirkan anak yang bermasalah.

Apa yang penting di sini ialah utk menanam jati diri yang kuat (inner strength) semua yang disebut tadi adalah faktor luaran yang tidak boleh diubah, dibaiki, ditukar dengan mudah. Terpulang kepada pelajar/anak itu sendiri utk membuat pilihan hidupnya. Maka jati diri yang kuat, matlamat yang jelas, keimanan yang utuh dan pemikiran yang cerdas dapat membantu pelajar/anak tadi membuat pilihan yang betul dalam hidupnya.

Manusia tidak sempurna, tetapi selagi kita masih sedar siapa diri kita dan kedudukan kita, insyallah perahu hanyut pun boleh pulang semula ke tebing muara..