Friday, November 28, 2008

ISLAM LIBERAL


Bismillahirrahmanirrahim…


Apabila bercakap tentang liberalisasi, secara umumnya kita ketahui bahawa ia membawa kepada kebebasan tanpa batasan. Menurut pemahaman saya tentang islam liberal, ia memperjuangkan prinsip kebebasan dan menurut rasional akal tanpa batasan. Ia boleh menerima apa sahaja dengan batasan yang amat sedikit. Mungkin juga liberalisasi ini menyokong sedikit sebanyak sekularisme yang berlaku di negara-negara luar kerana bagi saya beza antara liberalisme dan sekularisme itu tidaklah jauh berbeza jika tidak di kawal dengan sebaik-baiknya.


Daripada apa yang telah diterangkan oleh pensyarah saya di dalam kuliah, dia menyatakan bahawa misi islam liberal yang sebenarnya adalah untuk menghadang atau lebih tepat lagi ialah menghancurkan gerakan islam fundamentalis. Di dalamnya juga terdapat 4 agenda utama:

1- Agenda politik. Menguruskan Negara adalah urusan dunia.

2- Membezakan politik dan agama. Orang politik tidak boleh bercakap tentang agama dan orang agama tidak dibenarkan mencampuri hal politik.

3- Emansipasi wanita.

4- Kebebasan berpendapat (secara mutlak).


Ramai masyarakat kini yang menyokong cara hidup islam liberal kerana kononnya islam liberal mengamalkan cara hidup yang besederhana dan sekaligus membangkang islam ortodoks yang dianggap berpandangan sempit. Di sini dapat kita lihat bahawa masyarakat kini terdedah dengan ancaman ideologi yang jelas bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah. Melalui aliran pemikiran moden yang mensinonimkan falsafah islam berpaksikan akal dengan pemikiran barat yang memesongkan akidah sudah menjadi ’pakaian’ dan ’sajian’ harian mereka.


Ancaman ini telah sampai ke peringkat yang serius kerana ia melibatkan secara menyeluruh disemua peringkat dan barisan kepimpinan dan pengurusan sama ada dalam politk, sosial, budaya, ekonomi dan agama itu sendiri hinggalah kepada individu. Manusiawi dan sikap kebendaan telah mengambil alih peranan dalam amalan dan budaya hidup ummah kini berbanding dengan al-Quran dan Sunnah sebagai pegangan untuk kekal mengesakan Allah s.w.t.


Contoh yang paling rapat dan dapat dilihat dengan jelas kesan daripada islam liberal ialah: pemakaian tudung bukan lagi disebabkan untuk menutup aurat, tetapi sekadar mengikut ’trend’ atau ’standard’ zaman ini. Larangan berkahwin bagi yang berbeza agama antara perempuan islam dan lelaki bukan islam juga sudah tidak relevan lagi.


Secara amnya, liberalisasi ini adalah pengaruh yang dibawa oleh barat. Mereka tahu bahawa Muslim itu tidak dapat dikalahkan selagi mereka berpegang pada al-Quran dan Sunnah.

Bagi pejuang liberalisasi ditahap kritikal, mereka beriman kepada sebahagian kandungan al-Quran dan meragukan kemudian menolak sebahagian yang lain. Mereka menolak paradigma keilmuan dan syarat-syarat ijtihad yang ada dalam islam kerana merasa rendah berhadapan dengan budaya barat. Maka mereka melihat islam dengan mata dan otak barat. Kemudian, mereka memecahbelahkan umat islam kerana gagasan mereka adalah bida’ah dan setiap bida’ah pasti memecah belah.


Kesimpulannya di sini, pembawakan islam liberal di dalam masyarakat kini boleh mengundang pelbagai kerosakan dan gejala negatif terutamanya dari segi akidah. Hal ini yang menyebabkan berlakunya banyak perkara syubhah di dalam kehidupan kita sehari-hari. Islam yang sedia ada ini sudah cukup syumul dan tidak perlulah diberi dengan pelbagai nama. Penambahan nama islam itu akan menyebabkan masyarakat islam itu sendiri keliru. Jika hendak memutuskan sesuatu, kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah. Itulah sebaik-baik rujukan.


Wallahua’lam.


SITI SAIDATUN NAFISAH BT AB HAMID


No comments: