Dalam perjalanan hidup makhluk yang bernama manusia, perihal IKHLAS tidak akan mampu lari dan dipisahkan. Dari segala tindak-tanduk, kata-kata yang dilafazkan di bibir hatta kata-kata hati sekalipun perlu kita selidiki semampu mana IKHLAS itu mencorak dan membentuk peribadi insan.
Ingin dikongsikan di sini, satu kisah pada zaman Baginda Rasulullah shalallahu alaihi wa salam yang telah diriwayatkan oleh Abu Umamah.
Suatu hari, seseorang telah menemui Rasulullah shalallahu alaihi wa salam dan bertanya:
“Bagaimana pendapatmu tentang seseorang yang berperang untuk mendapatkan upah dan pujian? Apakah ia mendapatkan pahala?” Rasulullah shalallahu alaihi wa sallam menjawab, “Ia tidak mendapatkan apa-apa.” Orang tadi mengulangi pertanyaannya tiga kali, dan Rasulullah shalallahu alaihi wa sallam pun tetap menjawab, “Ia tidak mendapatkan apa-apa.” Lalu beliau bersabda:
“Sesungguhnya Allah subhanahu wa taala tidak menerima suatu amal, kecuali jika dikerjakan murni kepadaNya dan mengharap wajahNya.”
(HR Abu Dawud dan an-Nasaiy dengan sanad jayyid).
Maka jelaslah bahawa IKHLAS itu adalah sesuatu yang kita kerjakan bukanlah untuk mengharapkan balasan, imbuhan ataupun pujian orang lain, sebaliknya orang-orang yang ikhlas (MUKHLISIN) meletakkan hati mereka kepada Allah subhanahu wa taala dalam melaksanakan pekerjaan itu.
Inilah ketaatan namanya. Menyantuni ketaatan ini akan menghampirkan diri kita pada ketaqwaan. Berbalik kepada makna IKLHLAS tadi, disimpulkan bahawa keikhlasan ialah memenuhi perintah Allah tanpa mempertimbangkan keuntungan peribadi atau apa-apa balasan. Seseorang yang ikhlas akan berpaling kepada Allah dengan hatinya dan hanya ingin mendapatkan redha-Nya dari setiap perbuatan, langkah, kata-kata, dan do’anya. Jadi, mereka benar-benar yakin kepada Allah dan ingin melakukan kebaikan semata-mata. Berfirman Allah:
“... Sesungguhnya, orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.” (al-Hujurat [49]: 13)
Sesungguhnya IKHLAS itu lahir daripada hati bukannya emosi. Kerana pabila emosi yang mengemudi, maka RIYA’ pula yang akan menguasai. Maka, jagalah hati kita baik-baik ketika mana dihamburkan dengan pujian. Halakan pujian itu kepada Pencipta kita kerna sesungguhnya akan tumbuh mekarlah rasa syukur dalam diri. Dan pada yang sama, gugurlah kuntuman-kuntuman riya’ daripada bercambah di dasar hati.
Namun, senang berbicara daripada melaksanakan. Selalu kita dengar dalam majlis-majlis ilmu, hakikat IKHLAS ini adalah ia memang sesuatu yang paling sukar untuk dipertahankan. Kadangkala, mungkin pada mulanya kita memang ikhlas, namun mungkin dalam keadaan-keadaan tertentu ditambah lagi dengan bisikan-bisikan syaitan, maka rasa ikhlas itu sedikit demi sedikit terkikis tanpa kita sedari. Jika lambat beristighfar, maka sia-sialah perkerjaan kita pada hari tersebut. Maka di sinilah konsep “refresh” niat memainkan peranan. Setiap saat dan ketika, andai sudah terasa di sudut hati ada yang tidak kena, andai sudah merasakan hati sudah lari dari tujuan asal, cepat-cepatlah kita amalkan konsep ini. Perbanyakkanlah istighfar dan amalkanlah doa agar dijauhkan dari penyakit-penyakit hati seperti bangga diri, riya’ dan sebagainya.
Siti Raufa Sufrina Abdul Raub
HEWI PERKEPISMA
No comments:
Post a Comment