Ilmu Sebagai Teras Kejayaan
Ilmu merupakan teras sistem nilai agama Islam dan menduduki tempat yang amat tinggi dari pandangan alam, syariah, akhlaq dan Tamadun Islam. Penekanan kepada ilmu amat jelas melalui sumber asas agama iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Malah, Allah swt memberikan pengiktirafan yang tinggi kepada orang yang berilmu serta merendahkan golongan yang jahil atau mereka yang mengikut-ngikut tanpa pemikiran yang bersandar kepada ilmu pengetahuan. Melalui surah al-Fatir ( 35:28 ), Allah menegaskan pula bahawa hanya orang yang berilmu berupaya untuk mentaati Allah dengan sebaik-baiknya. Ayat-ayat ini telah dipraktikkan oleh umat Islam silam dan hasilnya telah menyemai benih ilmu dan membuahkan keampuhan iman kepada Allah swt dan kemudian berakar menghasilkan Tamadun Islam yang agung dan sejagat.
Kebangkitan dan kejatuhan sesebuah tamadun seperti Turki Uthmaniah, Dinasti Ming di China, Jepun, Rusia dan negara-negara Eropah bukan sekadar terletak kepada kekuatan ekonomi dan ketenteraan bahkan menurut Professor Paul Kennedy dari University of Yale ia turut berpunca daripada sikap masyarakat yang cintakan ilmu dan penghayatan terhadap budaya ilmu.
Sebagai contoh Masyarakat Yunani di Athens berjaya menciptakan sebuah tamadun agung yang mencapai kegemilangannya lantaran ketinggian ilmu yang dimiliki ketika itu.
Tetapi sikap berpuas hati, jumud terhadap ilmu dan angkuh terhadap ilmuan di dalam kerajaan
Kekeliruan dan Penyelewengan Ilmu
Profesor Syed Naquib al-Attas menyebutkan fenomena ini di dalam bukunya “Islam and Secularism” sebagai “ kekeliruan dan penyelewengan dalam ilmu “. Kekeliruan dan penyelewengan ilmu inilah yang kita lihat semakin menular di kalangan pelajar tidak terkecuali mahasiswa di negara ini. Dikatakan demikian kerana ilmu itu mempunyai pelbagai keistimewaan yang tersendiri. Ilmu itu berpaksi kepada kebenaran. Ilmu adalah ketenteraman diri. Ilmu merupakan peringatan, gambaran akal, renungan dan pandangan batin. Ilmu adalah suatu sifat yang menghapuskan kejahilan, syak dan dugaan. Ilmu itu cahaya yang diletakkan Allah di dalam qalbu sehingga menjelma menjadi gambaran, rupa, cita, faham atau makna dalam fikiran.
Kefahaman ilmu yang sedemikianlah yang semakin terhakis dari diri kebanyakan pelajar masa kini. Sebaliknya ilmu kini diperalatkan oleh sebilangan individu untuk mencapai hajat yang diingini manakala pendidikan pula telah dijadikan komoditi untuk mengaut keuntungan. Manusia berinisiatif untuk belajar demi mengejar kedudukan, mempunyai nama di kalangan masyarakat, menambah wang pendapatan, mencapai status sosial, mempengaruhi atau menjatuhkan seseorang. Keadaan ini membenarkan istilah yang dipopularkan oleh Ronaid Dore sebagai “ diploma disease ” iaitu pengejaran yang tergesa-gesa untuk mendapatkan sijil bukan kerana nilai dalaman kependidikan tetapi kerana nilai ekonomi dan martabat sosial yang mungkin diperolehi darinya.
Hasilnya golongan ‘ilmuan’ yang lahir dari proses keilmuan masakini gagal untuk menjadi juru bicara umat sepertimana yang diharapkan di dalam falsafah pendidikan negara yang memberikan penekanan kepada pembentukan universal man. Malah mereka juga gagal menjadi pendamping masyarakat untuk bersama-sama menyelami kemelut permasalahan yang ternyata memerlukan pembelaan serta keterlibatan golongan ilmuan ini. Akhirnya signifikasi mahasiswa sebagai “ orang kuat ” yang menjadi tulang belakang bagi masyarakat suatu masa lalu hanya dapat dilihat di dalam rakaman sejarah semata-mata.
Kegagalan Sistem Pendidikan Membudayakan Ilmu
Dimanakah silapnya sistem pendidikan yang kita hadapi kini? Mengapa institusi pendidikan kini di lihat berlumba-lumba untuk mendapat prestij dengan menjadi institusi terbaik dari segi pencapaian akademik? Universiti juga tidak bersaing untuk melahirkan intelektual merentas bidang sebaliknya berhambat untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai universiti terbaik. Syed Hussain al-Attas pernah mengingatkan kita di dalam bukunya “Intellectuals in Developing Societies” bahawa tidak semestinya orang yang tidak mempunyai kelayakan akademik tidak mampu untuk menjadi seorang intelektual, bahkan sekiranya dia memanfaatkan kemampuan berfikirnya dan memahami pokok perbahasan yang diminatinya, maka dia juga mampu untuk menjadi seorang intelektual. Sebagai contoh kita melihat ahli falsafah Inggeris, Herbert Spencer yang merupakan seorang intelektual terkemuka pada zamannya walaupun tidak mempunyai kelayakan akademik. Begitu juga dengan tokoh ilmuan besar Islam, Abul Hasan al-Tamimi yang merupakan seorang buta yang mempelajari ilmu melalui pendengaran semata-mata namun berhasil menjadi ulama fikah Mazhab Syafi’i yang cukup terkenal.
Salah satu punca kegagalan pusat pengajian tempatan baik di peringkat rendah mahupun tinggi melahirkan golongan ilmuan ialah kerana ketiadaan pembudayaan ilmu yang bersifat holistik. Sistem pendidikan konvensional telah diamalkan dari bangku sekolah rendah dibawa sehingga ke universiti. Sistem pendidikan inilah yang sedikit sebanyak telah mendangkalkan pemikiran pelajar untuk mampu berfikir secara kritis atau analitikal apatah lagi menghasilkan idea yang matang dan kreatif.
Sistem pendidikan yang cenderung negatif lahir dari sistem keilmuan yang berorientasikan peperiksaan semata-mata. Budaya peperiksaan ini pula dilihat telah mencapai tahap eksploitasi di mana puluhan ribu buku panduan, majalah yang diterbitkan, seminar serta kursus yang dijalankan untuk memenuhi kehendak pelanggan yang tidak mahu gagal di dalam peperiksaan. Malah terdapat juga laporan yang mengatakan ada di kalangan guru yang mengadakan kelas tambahan berbayar kepada anak murid sendiri.
Penekanan kepada pendidikan berorientasikan peperiksaan ini amat membimbangkan terutamanya apabila kanak-kanak pra-sekolah juga telah dikehendaki untuk menduduki peperiksaan sebelum memasuki sekolah rendah. Sistem peperiksaan ini telah didoktrinkan ke dalam pemikiran pelajar dibangku sekolah lagi.
Pemberian insentif sebagai penghargaan kepada keberjayaan seseorang pelajar di dalam peperiksaan juga di lihat sebagai sesuatu yang memberikan impak negatif terhadap penghayatan budaya ilmu dikalangan pelajar. Meskipun penghargaan yang diberikan berkemungkinan efektif dalam jangka masa pendek, namun sistem insentif ini akan memfokuskan kepada penghargaan dan bukan pada tanggungjawab untuk menuntut serta membudaya ilmu. Setelah para pelajar memperoleh apa yang dihajati, mereka akan dengan segara melupakan apa yang dipelajari untuk menyiapkan diri dengan ujian berikutnya, nilai berikutnya dan menerima insentif seterusnya. Adalah membimbangkan apabila pemberian insentif ini mampu menghilangkan sikap hormat-kritis para pelajar terhadap ilmu pengetahuan.
Selain itu, budaya penghafalan yang semakin menular dikalangan pelajar juga menjadikan para pelajar kaku serta tidak mampu mengevaluasi idea dari pelbagai sumber. Malah, tidak sedikit pelajar yang sekadar menghafal namun tidak memahami apa yang di hafal dan mengapa mereka harus menghafal. Benarlah pendapat yang pernah diutarakan Profesor Diraja Ungku Aziz beberapa tahun lalu apabila beliau berpandangan bahawa sistem pendidikan kita menggalakkan penghafalan bukan pemikiran. Akhirnya, para pelajar gagal menjadi pemikir yang kritis dan ilmu atau maklumat yang di hafal itu sekadar terhenti di atas kertas jawapan semata-mata.
Sistem pendidikan sebegini bukan sahaja mengaburkan tujuan sebenar proses keilmuan bahkan mengundang situasi yang cukup menekan bagi para pelajar sehingga golongan ini dengan mudah terjebak dengan pelbagai masalah sosial sebagai jalan escapisme. Keadaan ini terbukti apabila kajian menunjukkan bahawa sebanyak 1875 buah sekolah di seluruh negara mengalamai masalah disiplin manakala 798 buah sekolah lagi mengalami masalah salah laku. Mahasiswa juga tidak terkecuali terlibat di dalam aktiviti yang tidak bermoral seperti salah laku seksual, penyalahgunaan dadah dan ponteng kelas. Oleh kerana itu, Paulo Freire melalui “ Pedagogy of the Oppressed ” sangat lantang mengetengahkan saranan mengenai keperluan reformasi sistem pendidikan yang telah sekian lama diamalkan supaya lebih bersifat keinsanan serta kondusif untuk menyokong suasana pembelajaran.
Memahami Hakikat Budaya Ilmu
Menurut Prof Wan Mohd Nor Wan Daud melalui karyanya “Penjelasan Budaya Ilmu” budaya ilmu bermaksud kewujudan suatu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam kegiatan yang merujuk kepada kewujudan suatu keadaan yang segala tindakan manusia baik ditahap individu mahupun masyarakat diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan melalui kajian ataupun syura.
Melalui budaya ilmu di peringkat individu mahupun masyarakat, kita tidak sama sekali mengiktiraf sifat jahil,bebal dan anti ilmu. Tetapi ciri-ciri bebalisme seperti yang diistilahkan oleh Syed Naquib al-Attas pasti tidak dapat dielakkan sekiranya sistem pendidikan kita terus menjadikan budaya peperiksaan sebagai teras keilmuan. Antara ciri-ciri bebalisme yang di sebut prof ialah ketidakupayaan pelajar untuk menghubungkaitkan sesuatu dalam konteks ruang dan waktu beserta dengan faktor lain, tidak berfikir dengan mendalam serta terpenjara dengan tabiat sendiri tanpa berfikir secara kritis tentang asas pemikirannya.
Sikap yang tidak mementingkan ilmu pengetahun di lihat tidak mampu untuk menobatkan ilmu sebagai kebaikan utama dan asas bagi segala kebaikan di kenal pasti sebagai kesan dari sistem peperiksaan. Jika ilmu diposisikan di tempat yang tertinggi, pastinya kehidupan seharian para pelajar tidak lekang dari aktiviti keilmuan. Tidak mustahil di lihat diskusi keilmuan akan tumbuh subur di mana-mana seperti yang diamalkan Imam Abu Hanifah. Walaupun beliau merupakan penjual kain tetapi di dalam masa yang sama acapkali berbincang tentang masalah perundangan dikedainya. Malah , budaya keilmuan akan terus menggauli kehidupan manusia dari awal sehingga ke akhir hayatnya sebagaimana yang berlaku kepada seorang bangsa Negro abdi yang lumpuh bernama al-Jahiz. Keghairahannya terhadap ilmu terbukti apabila beliau akhirnya ditemui mati tertindih buku-buku yang sentiasa berada disekelilingnya.
Khatimah
Jelas bahawa sistem pendidikan yang diamalkan kini tidak dapat memenuhi matlamat falsafah pendidikan negara yang berhasrat untuk melahirkan generasi ilmuan dan berakhlak mulia berteraskan kepercayaan kepada Tuhan. Di dalam sistem pendidikan ini, tidak keterlaluan jika dikatakan budaya peperiksaan telah mengambil tempat budaya ilmu kerana kriteria kecemerlangan institusi pendidikan, pelajar dan guru kini di ukur dengan tahap pencapaian peperiksaan. Bagaimana pula sekiranya kecemerlangan itu hasil dari kerja-kerja meniru di dalam peperiksaan?
Sekiranya budaya peperiksaan yang menggantikan budaya ilmu di setiap institusi pendidikan, barangkali tibalah masanya untuk kita mengintai pendidikan tanpa peperiksaan sebagai jalan alternatif yang lebih menjanjikan masa depan pemikiran dengan kesedaran teori dan praktikal dikalangan pelajar. Pendidikan alternatif yang tidak berstruktur kelihatan lebih mudah kerana tiada tugas formal yang dituntut, tiada jadual pembelajaran yang di atur dan tiada ujian untuk di nilai. Namun, pendidikan ini adalah lebih sukar dari sudut bahawa setiap orang harus sentiasa siap siaga untuk belajar. Disinilah motivasi internal pelajar akan bangun untuk menjadikan apa saja dan bila saja sebagai kegiatan belajar dan mendidik. Maka disinilah juga budaya ilmu akan benar-benar diberikan nyawa semula.
Allah Ta’ala A’lam…
Nadiah bt Yusof
Timb. Pengerusi Hewi 1
PKPIM
No comments:
Post a Comment