Wednesday, May 07, 2008

SIARAN MEDIA-HARAKAH DAILY

Derita Fazilah dapat perhatian PKPIM

Azamin Amin
Wed | May 07, 08 | 9:37:01 am MYT

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Hrkh) - Penderitaan yang dialami oleh Puan Fazilah Muhamad di Kuala Perlis yang kematian suaminya akibat dibelasah oleh sekumpulan 20 orang penduduk Kampung Belakang Kilang, Kangar mendapat perhatian serius Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

PKPIM dalam satu kenyataannya rasa kesal yang amat di atas tindakan tidak berperikemanusiaan penduduk kampung tersebut yang membelasah Allahyarham Hatib Leman sehingga mati di depan isteri dan anak-anaknya sendiri.

"Sikap dan perbuatan ala-pengganas seperti itu tidak ada tempatnya dalam budaya bangsa Melayu yang berteraskan nilai dan ajaran Islam yang mengajak kepada perdamaian dan kasih sayang.

"Kita berasa cukup sedih kerana tindakan 'pendek akal' segelintir penduduk kampung tersebut telah memberikan tekanan yang cukup hebat kepada Puan Fazilah Muhamad sekeluarga," kata Naib Presiden (Hal Ehwal Siswi) PKPIM Munirah Bahari.

Katanya PKPIM menyeru pihak berkuasa terutamanya pihak polis agar meneruskan siasatan dengan tegas dan adil agar pesalah yang berkenaan dapat dibawa ke muka pengadilan dan keadilan dapat ditegakkan buat Puan Fazilah sekeluarga.

Di samping itu, PKPIM menyeru penduduk kampung tersebut agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sebagai membantu Puan Fazilah sekeluarga.

"Nyatakanlah kebenaran sepertimana yang disebut dalam salah sebuah hadis Rasulullah s.a.w.: "Katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit," katanya

"Kejadian malang seperti ini seharusnya menjadi pengajaran buat kita semua agar tidak menjadikan nafsu serakah sebagai panduan dalam membuat keputusan," katanya.

No comments: