Pembangunan modal insan seharusnya bermula daripada peringkat akar umbi lagi. Justeru, dalam usaha ‘melentur buluh dari rebungnya’, tidak dapat dinafikan bahawa profesyen perguruan memainkan peranan yang amat penting. ‘Guru’ sama ertinya dengan ‘pengajar’ apabila melihatkan realiti profesyen perguruan pada hari ini rata-rata para guru, hanya menjalankan tugas sebagai tenaga pengajar, bukannya ‘pendidik’. Kurangnya kesedaran terhadap makna dan tugas sebenar seorang guru hanya akan merugikan generasi muda hari ini. Harus diperjelaskan bahawa tugas yang digalas oleh seorang pengajar dan pendidik adalah berbeza.
Bagi seorang pendidik, tugas mereka bukanlah hanya mengajar kurikulum yang telah disediakan. Selain daripada memastikan silibus pelajaran berjaya ditamatkan mengikut ketetapan masa yang dijadualkan, tanggungjawab untuk membimbing para pelajar dengan nilai-nilai murni tidak seharusnya diabaikan. Karisma seorang guru sememangnya mampu memberikan impak yang besar kepada pembangunan integriti anak didiknya. Seharusnya, bagi seorang guru yang berjiwa pendidik dan pengajar, tugas mencurahkan ilmu perlulah diperkasakan lagi dengan keazaman untuk memanusiakan pelajarnya dengan nilai-nilai murni yang menjadi teras di dalam kehidupan
Mendepani cabaran ‘memanusiakan manusia’ bukanlah suatu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi, kini hedonisme terus menerus menjajah minda dan pemikiran generasi muda. Justeru, para guru harus lebih peka dengan realiti pelajar hari ini serta membuat pendekatan yang bersifat kontemporer dan praktikal.
Keruntuhan akhlak generasi muda tidak seharusnya dipandang enteng. Perlulah difahami bahawa sekolah tidak sepatutnya bertindak sebagai gelanggang menyebar ilmu semata-mata, tetapi turut sama berperanan sebagai ‘tapak semaian’ adab sopan dan nilai murni di kalangan pelajar. Nilai pada dasarnya bertunjangkan kepada sumber keagamaan, kepercayaan, tradisi dan budaya. Menurut Profesor Dr.Sidek Baba di dalam bukunya yang bertajuk ‘Pendidikan Rabbani’, dalam proses pendidikan, nilai-nilai teras adalah sesuatu yang amat penting dididik kepada pelajar. Nilai-nilai seperti jujur, amanah, ikhlas, bijaksana, adil, telus adalah contoh asas bagaimana membentuk pemikiran, sikap dan amalan dalam hidup. Justeru, apabila nilai-nilai ini dijadikan pedoman ikutan, diserapkan ke dalam proses ilmu, kurikulum dan sukatan atau diolah dalam metodologi yang lebih kreatif, pasti akan mengukuhkan lagi jatidiri seseorang.
Jatidiri merupakan teras dan akhlak pula merupakan cerminan dan biasan daripada kejituan jatidiri itu tadi. Betapa beruntungnya Negara
Seperti mana yang didedahkan di dada-dada akhbar dewasa ini, krisis modal insan yang semakin luntur di kalangan para pelajar telah mengakibatkan masalah sosial yang serius seperti masalah pelacuran di kalangan pelajar perempuan, gejala buang bayi, kes pukul dan sebagainya. Desakan kehidupan yang penuh mehnah dan tribulasi adalah antara penyebab yang mendorong para pelajar melibatkan diri dalam fenomena tidak sihat ini. Oleh yang demikian, selain daripada ibu bapa, guru adalah individu yang paling rapat yang mampu memberi bimbingan dan dorongan kepada para pelajar.
Jika tugas pengajar hanya tertumpu kepada aspek kurikulum pelajaran semata-mata, pendidik pula perlulah bersedia dengan bidang ilmu yang pelbagai. Sebagai golongan cerdik pandai, para pendidik haruslah mencurahkan ilmu-ilmu mereka dengan segala kudrat yang ada di samping memberi bimbingan dengan penuh dedikasi dan kasih sayang. Kerana itulah, para guru seringkali dianggap sebagai lilin yang sentiasa membakar diri dengan nasihat dan tunjuk ajar penuh hikmah! Jelaslah, tugas guru bukan hanya pada pembangunan intelektual sahaja, tetapi juga pada aspek kerohanian dan keperibadian para pelajar.
Sebagai salah satu usaha untuk menyahut cabaran Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) yang mahukan pembangunan modal insan diberi penekanan serius, para guru haruslah bangkit dengan agenda dan strategi tersendiri dalam menaiktaraf peranan guru agar kerjaya murni mereka mampu melahirkan intelektual yang juga murni dalam aspek keperibadian dan sahsiah. Sesungguhnya, jiwa pengajar dan pendidik haruslah bersatu agar sentuhan daripada kedua-dua elemen ini berjaya membentuk jiwa pelajar menjadi kamil dan luhur budi pekerti. Akhir kata, selamat hari guru buat semua pengajar berjiwa pendidik!
Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa
No comments:
Post a Comment