Wednesday, March 22, 2006


Laporan Kem Aspirasi Ukhwah Sejati (AKU SEJATI ’06)

Penglibatan wanita dalam mengungguli sesebuah persatuan tidak dapat dinafikan lagi. Peranan wanita bukan sahaja sebagai pembantu dalam sesebuah organisasi malah turut sama menjadi jurubicara ummah bila mana wanita itu beraktiviti di dalam persatuan yang memerlukan komitmennya didalam pembangunan masyarakat. “Hidup Biar Berjasa” motto Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, yang mana, misi dan visi ini turut terpikul di bahu para ahli siswi PKPIM di seluruh Malaysia.

Justeru, dalam memimpin para siswi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia ini, Alhamdulillah, Majlis Hewi Pusat telah mengambil inisiatif yang proaktif menjalankan satu program khas untuk hewi iaitu Kem Aspirasi Ukhwah Sejati (AKU SEJATI ’06). Kem ini dilaksanakan dengan jayanya bermula 24 Feb 2006 hingga 26 Feb 2006 bertempat di Kompleks Mustika Embun, Johor Bharu. Program yang bertemakan “berfikir, bersuara dan bertindak bersama” ini dijayakan dengan kerjasama hewi PKPIM UTM, Kesatuan Pelajar Islam Johor, dan turut juga bersama-sama memberi sumbangan idea dan tenaga, semua hewi kampus dan badan gabungan negeri.

AKU SEJATI ‘06 menyajikan pelbagai slot yang bertujuan untuk mencungkil, menggarap serta mengasah bakat potensi kepimpinan hewi sekaligus menerapkan 4 isme yang telah dipersetujui bersama semasa induksi Majlis Hewi PKPIM. Majlis Hewi Pusat amat mengharapkan agar unsur spirtualisme, idealisme, intelektualisme, dan aktivisme mendarah daging dalam diri setiap hewi PKPIM.

Slot-slot yang dijalankan sinonim dengan pembangunan 4 isme, antaranya slot diskusi bersama mantan pimpinan hewi, slot Latihan Dalam Kumpulan, forum, ceramah dan tidak lupa juga, slot kembara, yang mana slot ini memberi peluang kepada hewi, untuk beradaptasi dengan alam ciptaan Yang Maha Agung ini.

Kehadiran wakil kampus dan badan gabungan negeri seramai 64 orang ini melahirkan satu resolusi bersama, untuk tindakan setelah kembali ke kampus atau negeri masing-masing. Resolusi ini telah dipersetujui bersama dan telah dibacakan ketika majlis penutup kem aspirasi ukhwah sejati. (AKU SEJATI ‘06). Jutaan terima kasih buat semua penggerak dan mereka yang membantu secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan kem ini. Sekian .

No comments: