Wednesday, June 09, 2010

Artis usah hilang pedoman hidup

ARTIS sering dijadikan idola dan ikon dalam masyarakat dan ke mana saja mereka pergi pasti menjadi tumpuan. Mereka menghiasi majalah, menjadi tajuk utama media dan menjadi tetamu serta peneraju siaran televisyen.

Persoalannya adakah mereka layak dijadikan ikon masyarakat? Seorang artis wanita pernah mengeluarkan kenyataan bahawa artis Malaysia tidak patut dicontohi dan beliau tidak membenarkan anak-anaknya menjadikan artis sebagai idola.
Pelbagai reaksi diberikan kepada kenyataan itu. Hakikatnya kata-kata itu ada kebenarannya. Lihat saja pada etika pemakaian artis Malaysia sama ada di majalah, surat khabar mahupun di televisyen, melebihi artis Hollywood atau Bollywood.

Menyoroti 2010 yang belum pun sampai setengah tahun, pelbagai isu, kontroversi dan berita berkaitan artis kita dengar. Daripada soal penyalahgunaan dadah, merompak dan mencuri, berpakaian tidak senonoh, memperlihatkan kehidupan manusia bermasalah.

Sememangnya diakui tidak semua artis begitu, tetapi pepatah Melayu ada mengatakan ‘kerana nila setitik habis susu sebelanga.’ Namun, permasalahan di sini bukanlah isu nila, susu atau belanga. Permasalahannya etika, peribadi, akhlak dan adab artis Malaysia yang majoritinya Melayu Islam yang terkenal dengan nilai ketimuran seperti budi pekerti luhur, sopan santun dan beradab.

Jika dilihat di majalah hiburan atau lain-lain majalah, malah surat khabar juga dihiasi gambar artis yang saya rasa kurang sopan dan tidak beretika. Saya merasakan masyarakat Melayu-Islam seperti sudah hilang malu dan pedoman dalam pergaulan dan tindakan.

Bergambar dengan aksi yang menggoda dan berpakaian tidak menutup aurat dikatakan masih dalam batasan? Berpegang dan berpelukan antara lelaki dan perempuan, berpakaian mencolok mata dan tidak menutup aurat, dikatakan sopan dan masih tidak melanggar batasan.
Seharusnya kita mencontohi dan mengambil pedoman Rasulullah SAW dan kitab tinggalan Baginda (al-Quran dan as-Sunnah). Idola atau ikon bukan hanya dicontohi dari sudut kejayaan, kegigihan dalam berusaha, tetapi lebih daripada itu.

Seorang idola atau ikon harus dicontohi dari cara hidupnya yang teratur, sihat, berakhlak dan beradab. Semestinya Rasulullah dan sahabat adalah contoh paling ideal. Sekiranya kita tidak mampu menjadi seperti mereka, seharusnya kita berusaha ke arah itu.

Adab bukanlah hanya terbatas pada berbudi bahasa, menghormati orang tua dan bersopan santun. Adab meliputi keseluruhan hidup manusia. Menurut seorang tokoh ilmuwan, Prof Naquib Al-Attas, adab ialah perlakuan yang tepat dan perilaku betul dalam sebarang keadaan.

Oleh itu, artis seharusnya bermuhasabah diri dan cuba mencari kebenaran di dalam kehidupan. Anda yang dilihat sebagai idola, model contoh oleh masyarakat, seharusnya memperlengkapkan diri dengan ilmu dan iman agar terus disokong dan memberi impak positif kepada pembangunan modal insan masyarakat Malaysia amnya.

Bersama kita bergerak ke arah masyarakat berintegriti. Paling utama, diharapkan artis Malaysia lebih bersopan dan beradab dalam pemakaian, percakapan, tindakan ketika penggambaran, sesi fotografi atau di mana saja.

FATIN NUR MAJDINA NORDIN,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

(Berita Harian (23/04/2010) Ruangan Surat Pembaca)

No comments: