Friday, April 16, 2010

REMAJA WANITA MASA KINI


Beberapa hari ini kita dipaparkan dengan berita-berita mengenai kes pembuangan bayi dan statistik kes yang cukup menggerunkan. Nampaknya pelbagai usaha sedang giat dijalankan oleh semua pihak untuk mengurangkan masalah ini. Factor-faktor yang mungkin menjadi sebab ialah hilangnya rasa malu dan gagal mengenali diri sendiri sebagai seorang remaja dan sebagai wanita khususnya menjadi punca kepada berlakunya permasalahan ini.



HILANGNYA FUNGSI MALU

Rasa malu sekarang menjadi sesuatu yang sangat mahal. Ramai orang yang sudah tidak punya rasa malu. Kalau dahulu, datang lewat ke pejabat ; malu, berpakaian seksi ; malu, bercumbu-cumbuan di khalayak ramai apatah lagi, malu bukan kepalang. Namun sekarang, perkara-perkara seperti ini dapat dilihat di mana-mana sahaja. Hatta, membuang bayi yang tidak berdosa juga bukan sesuatu perkara yang memalukan bagi mereka. Jika dilihat dalam kamus Inggeris, malu ialah ashame yang bermaksud feeling guilty atau merasa bersalah. Kita miskin tidak kaya seperti orang lain perlu ada rasa bersalah, maka jika sudah kaya tidak lagi perlu mempunyai rasa bersalah? Atau kita merosakkan harta benda awam tetapi kemudian benda awam tersebut di tukar ganti maka kita sudah tidak perlu rasa bersalah lagi? Apakah yang disandarkan kepada wujudnya perasaan ‘bersalah’ itu? Bersalahkah apabila kita berbeza daripada orang lain dari segala segi kebendaan? Secara mudahnya kita boleh fahami bahawa jika tidak punya rasa bersalah maka kita bukan golongan yang bermoral.

Dalam Islam, malu di perjelaskan dengan sangat luas, dari Ibnu Mas’ud Al-badari bahawa sesungguhnya Rasulullah saw pernah bersabda :

“Sesungguhnya di antara perkataan yang di dapatkan dari nubuwah yang pertama :

Apabila engkau tidak malu maka lakukanlah apa saja yang engkau kehendaki “

Hadis ini menunjukkan bahawa malu sebagai perisai bagi seseorang dari tindakan yang boleh memudaratkan agamanya atau merosakkan akhlaknya dan maruahnya. Jika terlepas sifat malu ini maka dia tidak akan menghiraukan apapun keburukan yang dilakukannya. Jelas di sini bahawa peningkatan gejala sosial adalah akibat hilangnya rasa malu yang langsung tidak bercambah di dalam hati.

KEREMAJAAN MENGELIRUKAN

Proses keremajaan juga amat mempengaruhi pembentukan sahsiah diri. Berdasarkan graf lengkung pertumbuhan manusia, umur 13-20 tahun merupakan usia yang paling singkat dan cepat untuk tempoh pertumbuhan remaja samada dari segi fizikal atau mental jika dibandingkan dengan fasa pertumbuhan peringkat kanak-kanak yang pada usia ini pertumbuhan mental belum mampu membuat kanak-kanak melakukan penilaian manakala fasa dewasa pula pertumbuhan fizikal orang dewasa adalah malar. Disebabkan singkatnya masa dan berlaku pula pelbagai perubahan yang ketara ini dikatakan menjadi penyebab kepada penglibatan remaja dengan kegiatan sosial. Kecenderungan terhadap perkara-perkara baru, kecenderungan terhadap jantina yang berbeza, ingin dihargai, ingin diiktiraf dan sebagainya adalah jiwa dan kehendak remaja yang perlu dipenuhi.

Selain itu, kes buang bayi sebenarnya merupakan result daripada segala gejala sosial yang sedia ada kini. Ini kerana ramai wanita sebenarnya gagal memahami siapakah diri mereka. Pada usia remaja ini, remaja wanita ada yang cenderung mahu setanding dengan lelaki, mahu dilihat maskulin. Mereka gagal menghargai diri mereka kerana mereka gagal memahami siapakah diri mereka yang sebenarnya. Akhirnya berlakulah gejala lesbian, pengkid, hanya kerana mereka tidak mahu bergantung kepada lelaki atau mahu setara dengan lelaki. Sikap escapism atau tidak berupaya menerima perubahan yang mengakibatkan perbezaan dengan orang sekeliling ini adalah akibat kekeliruan identiti dan jatidiri.

Saya sendiri pernah mengendalikan tiga siri bengkel dengan golongan remaja dan daripada 40 pelajar perempuan yang hadir, majoriti tidak dapat mengenalpasti ciri perbezaan utama antara lelaki dan wanita iaitu kebolehan mengandung dan kehadiran rahim dalam diri wanita itu sendiri. Majoriti daripada mereka hanya melihat perbezaan wanita dan lelaki dari segi fizikal dan perwatakan semata-mata.

DARI WANITA KEPADA WANITA

Pelbagai langkah telah diambil untuk membantu menyelesaikan masalah kes pembuangan bayi ini. Pelbagai usaha telah dilakukan, kelab rakan muda, rakan masjid, rumah perlindungan, kempen , seminar dan sebagainya dan terbaru kempen kami prihatin. Sebenarnya hanya wanita yang memahami wanita. Usaha untuk menyedarkan remaja tentang siapakah diri mereka amat penting agar mereka tidak keliru kerana pada usia inilah mereka mencari identiti dan jati diri. Pendedahan tentang kewanitaan, adab-adab pergaulan yang dapat menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa harus diperkenalkan. Bengkel Kesedaran tentang keselamatan atau kesejahteraan wanita perlu diperkenalkan di peringkat sekolah menengah lagi, metod pelaksanaan lebih bersifat keremajaan dan maklumat benar tentang wanita dikongsikan bersama, barulah remaja wanita akan mendapat ilmu selain kita dapat membuat profil tentang setiap peserta wanita yang hadir. Remaja yang benar-benar bermasalah pula akan mendapat tempat rujukan melalui fasilitator jika betul cara pendekatan. Namun, bukan bermakna pendekatan berkempen tidak membantu, tetapi hakikat remaja mahu dihargai dan diiktiraf harus diambil kira. Apabila kita mengiktiraf mereka sebagai remaja dan mengiktiraf pula kewujudan mereka sebagai wanita maka mudah untuk kita mendekati mereka.

Jika pendekatan berbentuk hiburan amat berjaya untuk menggalakkan pertembungan antara jantina yang amat dicenderungi remaja saat ini maka jika kita gagal memahami kehendak keremajaan ini daripada sisi yang betul akan menyebabkan kita sebagai mana-mana organisasi atau pertubuhan gagal untuk mendekati mereka. Gagalnya kita sebagai salah satu institusi masyarakat untuk memahami keadaan ini menyebabkan kita semakin jauh daripada mereka. Bukan sahaja jauh malah kita akan buntu untuk mencari jalan penyelesaian paling sesuai di kemudian hari. Dekatilah wanita, kerana hanya wanita yang sebenarnya mengenali wanita yang lain.


oleh :

Sdri Mariati Roslan

Mantan Bendahari PKPIM 2008/2009

No comments: