Oleh : Hanan Aqilah Bt Mohd. Yusoff
(Mantan Amirah Nilai)
Pada 16 Mac 2009 hingga 19 Mac 2009, Islamic Development Bank (IDB) telah mengadakan satu seminar bertajuk ‘How to Manage NGOs, Projects and Programmes. Seminar empat hari ini telah dijalankan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Seminar ini telah dihadiri oleh lebih lima NGO seluruh Asia. Antaranya ialah Jamiyah Singapore, Chinese Islamic Association (CIA), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Korea Muslim Federation (KMF) dan wakil-wakil NGO dari Negara Filipina, Myanmar, Pulau Fiji dan Cambodia. Kira-kira lebih 25 orang telah menghadiri seminar ini. Seminar ini bertujuan untuk memahami konsep ‘social services’ dalam Islam dan bagaimana membantu NGO Islam untuk memahami kemahiran mengurus projek, implementasi dan penilaian berdasarkan bantuan pengurusan projek oleh IDB dan untuk memperbaiki kemahiran mengurus program. Seminar ini juga membolehkan para peserta berkongsi pengalaman dan pemikiran sesama NGO-NGO yang hadir.
Seminar ini telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah IDB dan diteruskan dengan pembentangan tentang ‘How to Manage NGOs, Projects and Programmes’ oleh Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud. Kemudian disambung dengan pembentangan tentang ‘The Concept and History of Community Services in Islam’ oleh Prof. Zainy bin Osman dan ‘How to Identify, Assess and Meet Community Needs?’ oleh En. Mamoon iaitu wakil IDB.
Pada hari kedua pula, seminar telah dimulakan dengan pembentangan tentang ‘ How to Plan and Implement Community Project and Programmes’ oleh Puan Takako Izumi, wakil daripada MERCY Malaysia dan disambung dengan pembentangan tentang ‘ How to Plan and Implement IDB Projects’ oleh En. Maamoon (IDB). How to Evaluate Project and Programme Performance’ oleh Dr. Farazi bin Johari, wakil daripada INTAN, ‘How to Plan and Implement IDB Scholarship Programme’ oleh En. Mamoon (IDB) dan ‘Transformational Leadership in Islam’ oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadhil.
Pada hari yang ketiga pula, para peserta telah diberi penerangan tentang ‘Social Enterprise: What, Why and How’ yang dibentangkan oleh Dr. Hj. Abd. Malek Awang Kechil, wakil daripada YPEIM, ‘How to Manage Money for a Project or Programme’ oleh En. Mamoon (IDB), ‘How to Develop Creativity in NGO Work’ oleh Dato’ Dr. Mohd. Ghazali bin Mohd. Noor (IDB). Hari ketiga ini telah ditutup dengan pemberian sijil kepada para peserta.
Pada hari keempat dan terakhir, para peserta telah dibawa melawat ke MERCY Malaysia, Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang dan Kementerian Luar Negara, Putrajaya. Para peserta telah diterangkan dengan lebih lanjut tentang MERCY, ABIM dan telah berpeluang untuk berjumpa dengan Puan Nazirah Hussain iaitu Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Strategi Kementerian Luar Negeri.
Saya amat beruntung kerana dua orang muslimat dari Filipina sahaja wakil muslimat dalam seminar ini. Walaupun saya antara yang termuda menyertai seminar ini, namun keyakinan tidak luntur akibat keramahan dan perkongsian yang berlaku sesama peserta sepanjang program berlangsung. Saya sempat mengenali Dr. Potri yang menguruskan Yayasan Pembangunan Datu Palawan Disomimba, beliau seorang doktor dan sekarang sedang menerajui sebuah hospital yang bukan sahaja memberikan perkhidmatan kesihatan tetapi juga tempat untuk mereka yang kurang bernasib baik. Yang menariknya, apabila pesakit tidak berkemampuan untuk membayar kos perubatan; pihak hospital akan meminta waris pesakit untuk menjual apa sahaja jenis barangan (ala sistem barter) untuk menampung kos perubatan ahli keluarga mereka. Mereka boleh menjual produk tani atau kraftangan kepada pihak hospital. Wang hasil jualan akan dipotong untuk menampung kos dan kemudian bakinya diberikan kepada keluarga pesakit tadi. Sistem seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang Islam untuk mendapatkan peluang pekerjaan secara tidak langsung tetapi juga membantu ekonomi setempat dan membangunkan masyarakat Islam di sana. Sekarang Dr. Potri berusaha untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh keluarga yang tidak berkemampuan. Semoga segala usaha beliau berjaya. Selain itu, saya sempat berkenalan dengan Puan Zeneida yang mengusahakan Sarangbangun Learning Centre Newslane bersama suami beliau En. Edward Iblah Lim yang turut sama menghadiri seminar ini. Mereka sudah menganggap saya seperti anak kerana anak-anak mereka juga sebaya saya.
Sesi pembentangan daripada Dr, Siddiq mendapat sambutan yang positif daripada semua peserta. Definisi pemimpin menurut beliau ialah a leader is not only a human transformer but also a culture builder. Inilah kali pertama saya bersemuka dengan Dr. Siddiq yang saya hormati dan kagumi selain Prof. Wan Nor Wan Daud. Semoga mereka di beri kekuatan untuk terus berjuang. Pengalaman antabangsa pertama saya ini tidak akan saya lupakan. Terima kasih kepada En. Mohd. Shahran yang member peluang kepada saya untuk menjadi peserta program mewakili PKPIM.
No comments:
Post a Comment