Wednesday, April 08, 2009

HADITH DAN KEPENTINGANNYA KEPADA UMAT ISLAM


Pada hari Khamis, bertarikh 02 April 09 yang lepas, penulis berkesempatan mendengar siaran radio IKIM dalam sesi ‘Cabaran Pemikiran Islam’ yang telah membincangkan satu tajuk yang penting berkaitan Hadith; sebagai salah satu sumber rujukan bagi umat Islam kini menjadi keraguan, bahkan ditolak oleh segolongan manusia yang diibaratkan sebagai ‘anti hadith’.

 

Terdapat beberapa perkara penting yang disampaikan oleh Dr.Farid Shahran di dalam temubual tersebut antaranya bagaimana dan apakah hujah yang digunakan oleh golongan ‘anti hadith’ ini di dalam menyampaikan hujah mereka. Seterusnya, bagaimana pula respon  kita sebagai umat Islam yang menjadikan hadith sebagai salah satu sumber rujukan yang penting dalam kehidupan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w yang meninggalkan dua sumber rujukan penting bagi umat Islam iaitu al-Quran dan Sunnah.

 

Salah satu hujah yang disampaikan oleh golongan ini ialah al-Quran sudah cukup menjadi sumber rujukan agama tanpa  perlunya kepada hadith. Ini kerana, Nabi Muhammad s.a.w  diutuskan oleh Allah s.w.t. sebagai penyampai risalah. Risalah yang dibawa oleh baginda ialah al-Quran. Bahkan al-Quran itu sendiri adalah penjelas kepada sesuatu, malah ia sudah mencukupi sebagai rujukan. Maka, ini menunjukkan bahawa Hadith ini sebenarnya adalah al-Quran bukan kata-kata daripada Nabi Muhammad s.a.w.

 

Seterusnya,mereka menyatakan satu analogi yang mana Nabi Muhammad. s.a.w. diibaratkan sebagai posmen yang membawa surat kepada kita sebagai umatnya. Maka, kita sebagai orang yang menerima surat itu perlu menerima dan mengambil surat tersebut dan bukanlah menerima kata-kata daripada posmen tersebut. Tambahan lagi. Hadith yang ada sekarang mempunyai banyak masalah contohnya dari segi proses pengumpulan. Hadith tidak dikumpul dengan baik, bahkan pada zaman kehidupan Nabi Muhammad .sa.w., baginda meminta sahabat-sahabat r.a menulis wahyu atau al-Quran dan bukan menulis selain daripada itu.  

 

  Selain daripada itu, hadith-hadith ini juga bertentangan antara satu sama lain, malahan ada yang bertentangan dengan al-Quran, contohnya dari segi hukum berzina yang berbeza antara Hadith dan al-Quran. Kemudian, hujah yang terakhir yang disampaikan oleh mereka ialah; umat Islam menjadi jumud dan tidak ‘berkembang’ kerana mereka mengikut Hadith yang biasanya menerangkan sesuatu dengan mendalam sehingga umat Islam tidak boleh melakukan sesuatu yang kreatif dan lain daripada itu. Ini amat berlainan dengan al-Quran yang disampaikan secara umum, sudah tentu umat islam dapat berfikir dengan baik dan kreatif jika al-Quran satu-satunya rujukan bagi mereka.

 

Segala hujah tersebut antara hujah yang mampu mempengaruhi umat Islam untuk menyokong golongan ini.Jika dilihat kepada segala hujah yang dikemukakan, sekali pandang, hujah-hujah ini boleh diterima akal dan ada kebenaran. Namun, hujah-hujah ini amat merbahaya kepada seluruh umat Islam yang sememangnya menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan utama. Bagaimana tindakan kita selaku ‘golongan yang berpendidikan’ terutamanya ‘pelajar yang berpendidikan agama’ berhujah dengan pemikiran ini?? Bagaimana kita juga berhujah dalam menyakinkan diri kita akan kebenaran Hadith sebagai sumber rujukan, malahan dalam masa yang sama, bagaimana kita ingin meyakinkan masyarakat Islam di Malaysia ini yang terdedah dengan pemikiran ‘anti hadith’ ini?? Semuanya berbalik kepada kita. Sedar tak sedar, ilmu yang kita dalami masih lagi cetek dan semestinya kita perlu memaksa dan merelakan diri untuk menyintai ilmu dan membudayakan ilmu di dalam diri.

 

Dr.Farid Shahran juga memberikan  beberapa hujah dalam mematahkan dan menyangkal dakwaan golongan ‘anti hadith’ ini. Setiap nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah s.w.t mempunyai keistimewaan yang tersendiri terutamanya kepada kaum masing-masing. Seperti juga Nabi junjungan kita, Allah berselawat ke atas baginda s.a.w. Malah, Allah s.w.t. juga memuji akan akhlak baginda s.a.w di dalam pelbagai ayat al-Quran, contohnya; ‘wa innaka la àla khuluki àzhim’ (surah al-Qalam:4) dan Nabi Muhammad s.a.w. juga sebagai ‘uswah hasanah’ atau ‘role model’ kepada umatnya di dunia ini. Sama-sama kita renungkan dan fikirkan, seseorang yang diletakkan sebagai ‘contoh yang terbaik’ atau ‘uswah hasanah’ ini, semestinya kata-katanya juga penting untuk diikuti. Maka, ini menunjukkan betapa Nabi Muhammad sa.w. bukan sekadar manusia biasa yang hanya menyampaikan risalah kepada umatnya, malah baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak. Dalam kata lain, segala tunjuk ajar dan contoh yang disampaikan oleh baginda di dalam hadith adalah seiringan dengan apa yang disampaikan di dalam al-Quran.

 

Seterusnya, kita ambil analogi posmen yang digunakan dalam hujah oleh golongan ‘anti hadith’ yang menyatakan posmen hanya menyampaikan surat dan kita sebagai penerima surat hanya perlu menerima surat itu daripada posmen. Apa yang menyebabkan kita menerima surat itu daripada posmen?? Bagaimana kita boleh menerima surat tersebut tanpa ada kepercayaan kita kepada posmen tersebut?? Bagaimana  kita percaya bahawa surat yang dibawa posmen itu adalah surat untuk kita?? Jawapannya sudah pasti kita ketahuinya, tanpa ada rasa kepercayaan kita terhadap kata-kata posmen yang membawa surat itu,kita tidak akan menerimanya, bahkan kepercayaan kita kepada posmen itu memastikan bahawa surat yang diberikannya betul atau tidak. Di sini menjelaskan bahawa seandainya kita tidak mempercayai hadith yang disampaikan oleh Nabi s.a.w, maka kita tidak mempercayai juga al-Quran yang dibawa oleh baginda s.aw.

 

Mengenai hujah keraguan tentang proses pengumpulan hadith pula. Sememangnya pada peringkat awal, baginda s.aw. melarang para sahabat r.a menulis hadith, namun terdapat juga sahabat yang menulisnya untuk kegunaan diri sendiri. Malah, salah satu kelebihan orang Arab, mereka mempunyai ingatan yang kuat dan ilmu yang mereka dapat secara langsung daripada baginda s.a.w, mereka akan pastikan hadith itu disebarkan kepada yang lain juga. Jika dilihat, sekalipun proses penulisan hadith ini lewat, tetapi hakikatnya dari segi ingatan, ia terpelihara daripada awal. Tambahan lagi, dari segi proses pengumpulan hadith, ia mempunyai cara, kriteria dan disiplin yang tertentu.

 

Percanggahan yang ada di dalam hadith itu sebenarnya tidak menjadi masalah sehingga membawa keraguan kepada umat Islam. Contohnya hadith di mana seorang sahabat r.a bertanya kepada baginda berkenaan perkara mana yang paling baik yang boleh dia lakukan. Baginda s.a.w menjawab bahawa solat pada waktunya. Seterusnya, apabila ditanyakan lagi soalan yang sama oleh sahabat yang lain, baginda menjawab, berbuat baik kepada ibu bapa. Apabila ditanya oleh sahabat yang lain pula tentang soalan yang sama, baginda menjawab, berpuasa. Ketiga-tiga jawapan yang disampaikan adalah berbeza kerana baginda menjawab soalan itu berdasarkan situasi orang itu.

 

Sebagai kesimpulan yang dapat penulis ulaskan daripada perbincangan tersebut antaranya ialah semakin hari semakin banyak cabaran pemikiran ‘baru’ yang dibawa oleh golongan yang bernama Muslim sama ada idealogi yang berbentuk ‘extreme’ tentang Islam mahupun idealogi yang berbentuk ‘liberal’ atau longgar terhadap Islam. Tanpa disedari, ancaman dan serangan pemikiran ini tidak hanya daripada musuh Islam yang membawa hedoism ,pluralism dan sebagainya, tetapi daripada golongan yang keliru dengan hakikat Islam yang sebenar juga mengancam agama Islam. Justeru itu, perlulah kita mempersiapkan diri dengan ilmu di dalam menghadapi segala ancaman yang sudah ada mahupun yang bakal ada terutamanya di Malaysia.

 

Wallahuàlam

 

Aemy Elyani Mat Zain

 ANIS-PPIK

UIAM (Gombak)

No comments: