Assalamualaikum
Saya terpanggil untuk mengirimkan pandangan saya mengenai isu ‘Menangani Gangguan Seksual’ setelah membaca majalah MILENIA bil.75 yang lepas. Saya amat bersetuju dengan langkah-langkah untuk menghadapi ancaman jenayah seksual yang telah dikemukakan oleh saudari Nurul Aini. Di sini, saya ingin menambah satu perkara yang kebanyakan orang lupa atau memang tidak ambil peduli dengannya.
Saya mulakan dengan suatu kisah:
“
Pada setiap kali hendak pulang ke kampung, budak perempuan itu mesti terlebih dahulu menalifon ayahnya melalui jiran mereka di rumah dan memberitahu kepada ayahnya bahawa dia ingin pulang ke kampung. Maka selepas itu, ayahnya akan datang ke asrama dengan menaiki bas untuk menjemput anaknya pulang ke rumah. Begitulah juga ketika hendak kembali ke asrama, ayahnya akan menghantar anak perempuannya itu dengan menaiki bas sehinggalah sampai ke asrama, kemudian pulang semula ke rumah dengan menaiki bas”.
Persoalannya, apakah objektif yang diperolehi daripada kisah tersebut? Kisah itu pernah dikemukakan pada rakan-rakan saya di kelas. Kemudian, ditanya kepada mereka, apakah persepsi mereka mengenai budak perempuan itu. Ramai diantara mereka yang mengatakan bahawa budak perempuan itu adalah seorang anak yang manja, tidak pandai berdikari, menyusahkan ibu bapa, dan sebagainya…
Menerusi jawapan yang diberikan oleh rakan-rakan, dapatlah saya simpulkan bahawa pada zaman ini, ramai yang lupa dengan hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ‘tidaklah harus bagi seorang perempuan itu berjalan pada sepanjang siang dan sepanjang malam kecuali bersamanya suaminya atau bersama mahramnya’. Dan disebabkan keterlupaan mereka ini, maka ramai perempuan sekarang yang berani keluar seorang diri tanpa berteman dan bermahram.
Perlu diingati bahawa apa yang disampaikan dan dipesan oleh Rasulullah s.a.w adalah peringatan daripada Allah. Allah lebih mengetahui dunia ini dan seisinya kerana Dia yang menciptakan. Jika undang-undang yang ditetapkan Allah itu diabaikan, maka banyaklah berlaku kerosakan di muka bumi seperti sekarang ini. Buatlah apa saja langkah keselamatan. Belajarlah seni mempertahankan diri seperti silat dan taekwandoo, letaklah cctv dimerata tempat, dan apa sahaja. Tetap tidak akan selesai selagi peraturan Tuhan tidak dipatuhi.
Oleh itu, berfikirlah wahai kaum sejenisku. Jika rasa diri masih jahil, tuntutlah ilmu, belajarlah lagi. Akhir sekali, pesanan buat semua; ‘Sesungguhnya Allah itu menghampiri kamu dengan ilmu. Maka kamu dekatilah Ia dengan akal. Jadikanlah hukum Allah sebagai pedomanmu, maka terhindarlah dari akal yang dangkal’.
Siti Saidatun Nafisah bt Ab Hamid,
HEWI USIM.
(Diterbitkan dalam Milennia, keluaran Januari 2009)
No comments:
Post a Comment