Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengucapkan tahniah kepada calon–calon yang berjaya di dalam keputusan peperiksaan STPM dan SPM. Seramai 66,047 calon menduduki peperiksaan STPM manakala seramai 439,255 calon menduduki peperiksaan SPM dan 4,920 calon pula menduduki STAM bagi tahun 2007. Kejayaan yang dicapai semestinya adalah berkat usaha yang tidak jemu-jemu dan sokongan padu daripada kedua ibu bapa dan guru.
Bagi calon yang tidak mendapat keputusan cemerlang, janganlah berputus asa. Peluang dan ruang untuk memperbaiki keputusan masih terbuka luas. Negara kita menyediakan segala bantuan pendidikan dan prasarana untuk memastikan semua generasi muda mendapat hak pendidikan yang sewajarnya. Kegagalan mencapai keputusan yang cemerlang bukanlah bererti masa depan sudah gelap. Sebaliknya, insan yang cemerlang adalah mereka yang mampu bertindak secara positif terhadap kegagalan yang dihadapi. Ingatlah bahawa kegagalan itu adalah pengalaman yang sangat berharga yang boleh dilalui dalam proses pembelajaran. Bagi mereka yang mengambil keputusan untuk bekerja selepas ini, peluang pekerjaan sangat banyak untuk direbut. Tiada alasan untuk menganggur selagi diiringi azam yang tinggi untuk berjaya dalam hidup.
PKPIM berharap semua calon yang berjaya akan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam, swasta mahupun luar negara kelak. Generasi muda yang berilmu memainkan peranan penting meyumbangkan segala kemahiran untuk pembangunan agama, bangsa dan negara. Dalam hal ini, sokongan ibu bapa dan guru amat diperlukan. Kasih sayang dan tunjuk ajar berupaya melahirkan generasi muda berilmu, penyayang dan bertanggungjawab suatu hari kelak.
PKPIM sebagai sebuah persatuan pelajar peringkat kebangsaan amat menitik beratkan hal-hal pendidikan dan kebajikan generasi muda serta sentiasa bersedia memberikan bantuan berupa khidmat nasihat dan bimbingan khususnya yang berkaitan dengan masalah akademik. PKPIM berharap agar semua pelajar yang akan melanjutkan pelajaran nanti boleh memilih aliran yang tepat, sesuai dengan kapasiti ilmu dan kecenderungan masing-masing.
Selain itu, PKPIM ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada ibu bapa dan guru di semua sekolah seluruh Malaysia di atas kejayaan keputusan SPM, STPM dan STAM tahun ini. Peranan ibu bapa dan guru adalah sangat penting dalam proses pendidikan generasi muda. Pengorbanan ibu bapa dan guru wajar dihargai oleh seluruh masyarakat negara ini kerana tanpa mereka pincanglah usaha membangunkan generasi muda sebagai modal insan negara.
Penolong Setiausaha Agung 1 PKPIM
No comments:
Post a Comment