Monday, February 25, 2008

SIARAN MEDIA PKPIM (14 Februari 2008)

JANGAN RASA SELESA

Menyorot kisah lalu pada awal Mac 2005, Shabina Begum seorang remaja yang berusia 17 tahun akhirnya berjaya di dalam kes mempertahankan hijabnya walaupun ketika itu mendapat tentangan hebat daripada sekolahnya. Di London, pelajar muslimah pula telah dilarang untuk bersekolah hanya kerana memakai tudung! Kejadian seperti ini bukan sahaja berlaku di London namun berlaku juga di Perancis. Di Perancis pengharaman memakai tudung di sekolah awam mencetuskan demonstrasi besar- besaran di Eropah. Pada tahun 1936, Shah Iran memulakan polisi membuka tudung wanita dan memaksa mereka berpakaian cara Barat sehinggakan pada waktu tersebut pemandu teksi akan didenda jika membawa wanita yang bertudung. Namun, pengharaman ini makin lama semakin ditarik balik. Kita sungguh lega apabila pengharaman pemakaian tudung di Turki ditarik balik. Ini merupakan satu petanda awal masyarakat bukan Islam boleh menerima keadaan ini, namun kita sebagai Muslim jangan rasa begitu selesa kerana masih banyak lagi agenda yang belum dilaksanakan bagi melihat Islam itu hancur.

Nur Hidayah Muhd Hashim di ruangan agama Berita Harian ada menyentuh isu tudung dan sewajarnya kita mengambil iktibar di atas pembatalan pengharaman tudung di Turki. Wanita Muslim di Malaysia perlu bersyukur kerana di Malaysia tidak terdapat pengharaman secara besar- besaran tentang pemakaian tudung namun ada juga berlaku di beberapa tempat dan perkara ini jarang diketengahkan di dada-dada akhbar.

Pihak luar dan kerajaan perlu membuka mata atas kejadian yangg menimpa wanita muslim di tempat kerja. Golongan berkerjaya tidak dibenarkan memakai tudung oleh majikan. Pencabulan hak asasi manusia seperti ini berlaku akibat tiada kefahaman agama yang jelas dan rasa anti islam. Kecantikan wanita bukan terletak pada paras rupa dan rambut yang mengurai tetapi akhlak merupakan perkara utama.

NGO memainkan peranan yang amat penting dalam menangani isu tudung. Majlis HEWI PKPIM misalnya telah membuat kempen hijab dengan mengedarkan pamplet kesedaran berhijab selain bekerjasama dalam Forum Berhijab Gaya Hidupku dengan NGO lain seperti IMWU Malaysia, PERTIWI, PUM Nisa, HELWA ABIM dan Wanita JIM sempena Hari Solidariti Hijab Sedunia. Dakwah fardiyah juga diperlukan dalam setiap individu muslim. Asas pendidikan yang sebenar bermula di rumah. Penerapan kefahaman Islam bukan semata-mata di sekolah tetapi peranan ibu bapa yang utama ialah mendidik anak-anak.

Sudah tiba masanya kerajaan peka dan mengambil berat isu ini. Contohnya kakitangan syarikat penerbangan Malaysia tidak menutup aurat. Mungkin kita perlu meniru konsep di Brunei yang mewajibkan setiap kakitangan muslim menutup aurat.

Dengan itu harapan MAJLIS HEWI kempen kesedaran hijab ini diadakan secara berterusan dan meminta orang ramai menyambut baik kempen ini. Dakwah berterusan kepada mereka di luar sana amat perlu kerana ada sesetengah tidak tahu kenapa mereka perlu bertudung. Harapan HEWI juga moga penindasan ke atas golongan yang mahu bertudung dihapuskan.

MUNIRAH BINTI BAHARI
Naib Presiden HEWI ( Hal Ehwal Siswi )
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

2 comments:

Anonymous said...

See HERE

Anonymous said...

See Here or Here