Thursday, January 10, 2008

MENGAPA SAYA BERTUDUNG

Oleh : Farhanah Tajuruddin



Tatkala aku berjalan di dalam kerumunan manusia di Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil asyik mencuci mata , telingaku sempat menangkap butir-butir pekikan para penjual , “ yaa...kakak , adik , mak cik , puan mari beli tudung ! Macam-macam ada. Tudung bawal , tudung Wardina , tudung Mawi . Semuanya ada . Mari , mari ! ” Dalam keletihan berjalan , aku hanya tersenyum tawar melihat aksi dan gelagat para penjual yang rata-rata tidak mahu kalah antara satu sama lain . Semuanya bersungguh-sungguh dan menggunakan pelbagai taktik demi menarik perhatian pelanggan ke kedai mereka . Namun demikian , sedang aku asyik berjalan , tiba-tiba mataku tertarik untuk melihat gelagat sepasang anak dan ibu di sebuah kedai tudung ini . Si ibu berkata kepada anaknya, “ Angah pakai tudung ni ye nanti semasa di sekolah ,” kata si ibu . Lantas anak kecilnya membalas , “ kenapa kita kena pakai tudung ibu ? kawan-kawan angah semuanya tidak pakai tudung , ” . Tatkala mendengar kata-kata yang pantas meluncur dari mulut anak kecil itu , hatiku terpana seketika . Seolah –olah hatiku telah disambar petir atau diragut halilintar . Sebuah pertanyaan yang aku sendiri tidak pernah memikirkannya . Namun si ibu tadi hanya tersenyum lalu menjawab lembut dengan gaya yang penuh keibuan , “ kita perlu pakai tudung sebab Allah suruh sayang . Kalau kita tidak pakai tudung Allah murka , nanti kita dapat dosa , ” . Pulang ke rumah persoalan yang sama diajukan anak kecil itu tadi terus berlegar-legar di fikiranku . Mengapakah aku memakai tudung atau mungkin ayat yang lebih betul mengapakah kita sebagai wanita Islam memakai tudung ?

Sepertimana yang semua muslim dan muslimah sedia maklum , pemakaian tudung ini sememangnya dituntut di dalam agama Islam dan merupakan perintah Allah S.W.T . Namun demikian , mesti ada yang akan bertanya pula , mengapakah Allah S.W.T yang Maha Bijaksana dan Pengasih itu menetapkan kita supaya memakai tudung atau turut dikenali sebagai jilbab ? Sesungguhnya Allah S.W.T itu lebih mengetahui dan beliau tidak akan menetapkan sesuatu itu melainkan yang mendatangkan kemuslahatan kepada seluruh umat manusia . Dalam konteks ini , cuba kita semua bayangkan sekiranya ada dua orang wanita melintas di hadapan sekelompok lelaki . Seorang daripada mereka memakai pakaian yang menutup aurat sepertimana yang ditetapkan di dalam syariat Islam dan yang satu lagi berpakaian mencolok mata . Jika kita sebagai seorang lelaki yang berada dalam kalangan lelaki-lelaki tersebut , wanita yang mana satukah yang akan lebih menarik perhatian kita ? Sudah tentu yang berpakaian mencolok mata itu bukan ? Dan wanita yang mana satukah yang akan lebih terdedah kepada gangguan ? Adakah yang berpakaian menutup aurat ? Sudah tentunya tidak . Tidak lain dan tidak bukan wanita yang berpakaian ‘ seksi’ itu juga yang akan menjadi sasaran pelbagai gangguan . Sepertimana yang telah dijelaskan di dalam surah Al-Ahzab , ayat 59 :
“ Hai nabi , katakanlah kepada isteri-isterimu , anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin : hendaklah mereka mengulurkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka , yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal , kerana itu mereka tidak diganggu dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang , ” .
Ayat tersebut bak kata pepatah Melayu , sudah terang lagi bersuluh menunjukkan bahawa setiap perintah Allah S.W.T ke atas hambanya pasti ada tujuan yang sudah tentu bagi menjaga kebajikan umat sejagat . Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam ayat tersebut , jelas menunjukkan bahawa pemakaian tudung amat penting dalam melindungi diri wanita daripada pelbagai gangguan . Walau bagaimanapun banyak pihak terutamanya wanita yang masih kurang jelas akan perkara ini dan berterusan menuding jari ke arah kaum lelaki . Hakikatnya kaum wanita harus jelas bahawa kaum lelaki tidak akan bertindak sedemikian sekiranya kaum wanita berpakaian sebagaimana yang telah diperintahkan Allah .
Cara pemakaian tudung juga harus bertepatan dengan cara yang telah ditetapkan Allah S.W.T . Sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam surah An-Nur , ayat 31 :
“ Katakanlah kepada wanita yang beriman : hendaklah mereka menahan pandangannya , dan memelihara kemaluannya , dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang ( biasa ) nampak daripadanya . Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya , dan janganlah menampakkan perhiasannya , kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka ….”
Dalam ayat tersebut ada dinyatakan cara pemakaian tudung yang telah ditetapkan Allah S.W.T .Oleh itu , sekiranya kita memakai tudung namun tidak menepati tuntutan syarak , sudah tentu kita juga tidak akan terlepas daripada gangguan-gangguan yang telah dinyatakan tadi . Lantaran itu , tiada gunanya memakai tudung sekiranya kita gagal memenuhi tuntutan syarak iaitu pemakaian tudung sehingga ke paras dada .

Seterusnya , pemakaian tudung juga adalah bertujuan memelihara kehormatan wanita . Rambut merupakan mahkota bagi setiap wanita . Seringkali kita mendengar ungkapan tersebut . Namun ,mengapakah masih ramai wanita tidak memakai tudung sekiranya benar rambut itu mahkota bagi setiap mereka ? Bukankah jika benar rambut itu merupakan mahkota bagi setiap wanita , itu bermakna mahkota tersebut harus dilindungi dari panas mentari , basahan hujan dan tidak sewenang-wenangnya menjadi tatapan umum . Apa yang berlaku dewasa kini adalah sebaliknya . Wanita-wanita lebih senang membiarkan mahkota mereka itu terbakar di bawah sinaran cahaya matahari dan ditayangkan kepada umum . Bukankah sesuatu yang bernilai itu sepatutnya menjadi tatapan golongan tertentu dan yang berhak sahaja ? Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah bersabda , “ Wahai anakku Fatimah ! adapun perempuan –perempuan yang digantung rambutnya hingga mendidih otaknya di dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat lelaki yang bukan mahramnya , ” diriwayatkan Bukhari dan Muslim . Dalam hadis tersebut ada dinyatakan hukuman terhadap wanita yang enggan menutup rambutnya dan kepada siapakah mahkota wanita itu harus dilindung . Ini jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T telah meletakkan hukuman yang amat berat bagi wanita-wanita yang tidak memakai tudung .

Selain itu , pemakaian tudung juga dapat membezakan antara orang Islam dan yang bukan Islam . Oleh itu , bagi muslimat yang tidak memakai tudung sebenarnya mereka telah menyerupai golongan bukan Islam dan menyerupai mereka bermakna wanita-wanita yang tidak bertudung itu telah termasuk dalam golongan orang bukan Islam . Hal ini telah dinyatakan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan imam At-Tirmidzi :
"Bukanlah termasuk golongan kami orang yang menyerupai selain kami. Maka janganlah kalian menyerupai kaum Yahudi dan Nasrani."
Dalam riwayat lain berbunyi:
"Barangsiapa menyerupai suatu kaum maka ia termasuk golongan mereka." (H.R Imam Ahmad)

Larangan bagi umat Islam daripada bertasyabuh ( menyerupai ) orang-orang kafir , baik dalam perkara ibadah , menyambut perayaan atau cara berpakaian telah dinyatakan dalam surah Al-Hadid ayat 16 , sebagaimana firman Allah S.W.T :
“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.”
Kesemua dalil-dalil di atas jelas menunjukkan larangan menyerupai golongan kafir . Lantaran itu , tanpa jilbab , muslimah-muslimah telah menyerupai golongan –golongan bukan Islam .

Pemakaian tudung juga menjadi simbol kesopanan wanita-wanita Islam . Kesopanan dalam konteks ini tidak merangkumi kesopanan dalam tutur kata dan tingkah laku sahaja . Kesopanan secara hakikinya meliputi aspek berpakaian . Dengan berpakaian sopan , kita sebenarnya dapat menzahirkan rasa hormat kepada diri kita dan individu-individu di sekeliling kita . Cuba kita bayangkan , apakah perasaan orang- orang mukmin tatkala melihat wanita-wanita yang berpakaian kurang sopan iaitu tidak menutup aurat , adakah mereka akan berasa senang dan selesa dalam situasi tersebut ? Tanpa tudung juga, wanita juga dalam sedar atau tidak telah mempamerkan sebahagian daripada tubuh mereka kepada golongan bukan mahram . Apabila ini terjadi , bagaimanakah individu di sekeliling mereka akan menilai mereka ? Sudah tentu mereka akan dinilai dari sudut daya tarikan dan rupa .Walhal sudah tentu ramai wanita yang mengharapkan supaya mereka dinilai dari sudut kemahiran atau kebijaksanaan yang mereka miliki . Hal ini berbeza sekiranya wanita-wanita tersebut memakai tudung sebagaimana yang telah disyariatkan dalam Islam . Salah seorang pelajar muslimah di Iran yang bertudung pernah berkata , ” Kami mahu menghentikan golongan lelaki daripada melayan kami seperti objek seks sepertimana yang mereka sering lakukan . Kami mahu mereka melihat personaliti dan idea-idea kami dan sudah tentu bukannya rupa kami ...” . Pelajar-pelajar muslimah di Iran juga juga berasa bangga kerana pemakaian tudung menjadi identiti keislaman mereka.

Selain itu , pemakaian tudung juga menjadi simbol kekuatan umat Islam . Bukan mudah bagi seseorang wanita Islam untuk memakai tudung dalam komuniti bukan Islam . Pada kebiasaannya seperti yang terjadi hari ini , kaum wanita yang bertudung dilarang memakai tudung . Begitu juga juga kebebasan mereka dalam beragama , kesemuanya telah disekat . Agama mereka telah dijadikan faktor diskriminasi ke atas mereka . Sebagai contoh yang berlaku di Amerika Syarikat dan Britain . Pelajar –pelajar Islam yang bertudung telah disekat kebebasan mereka untuk menuntut di pusat-pusat pengajian . Di Turki pula iaitu sebuah negara yang mengamalkan dasar sekularisme , pemakaian tudung telah diharamkan di pejabat-pejabat dan sekolah-sekolah kerajaan . Namun demikian , di sebalik pengharaman tersebut , lebih daripada 50 % muslimah-muslimah di Turki masih mengenakan tudung mereka . Hal ini menunjukkan bahawa muslimah-muslimah tersebut memiliki kekuatan rohani yang belum tentu dimiliki golongan bukan Islam . Disebalik penghinaan dan cercaan yang dilemparkan terhadap muslimah-muslimah tersebut , mereka tetap rasa bangga untuk mengenakan tudung . Kekuatan dalam konteks ini bukan sahaja terhadap cercaan , diskriminasi mahupun layanan yang buruk tetapi hakikatnya merangkumi kekuatan dalam menahan diri iaitu semasa cuaca panas . Bayangkan bagaimanakah rasanya sewaktu cuaca panas terik . Bahangnya menyengat terus ke kulit . Manakala air peluh menitis seolah-olah enggan berhenti dan terus membasahi diri . Sudah tentu muslimah-muslimah yang bertudung tidak akan berasa selesa bukan ? Maka dalam situasi itulah kekuatan rohani dan mental mereka akan turut diuji . Walau bagaimanapun , sebagai mentaati syariat Allah S.W.T , mereka tetap cekal . Hal ini demikian kerana mereka tahu bahawa sesungguhnya api neraka itu berkali-kali ganda lebih panas daripada bahangnya mentari di dunia ini .

Pemakaian tudung juga merupakan antara kaedah berdakwah . Sudah menjadi tanggungjawab setiap muslimin dan muslimat untuk menyampaikan mesej dakwah kepada seluruh umat manusia . Dalam surah Yusuf , ayat 108 , sesungguhnya Allah S.WT telah berfirman mengenai tuntutan berdakwah :
” Katakanlah inilah jalan ( agama ) ku , aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak ( kamu ) kepada Allah dengan hujah yang nyata , Maha Suci Allah , dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik , ”

Ayat di atas jelas menunjukkan tuntutan berdakwah iaitu mengajak kepada kebaikan . Oleh itu , telah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk terus berdakwah sehingga datangnya Hari Kiamat . Dakwah tidak semestinya disebarkan melalui ceramah , rancangan televisyen mahupun penulisan dalam kitab-kitab . Dakwah juga boleh dilaksanakan melalui tingkah laku , tutur kata dan cara berpakaian yang sopan dan bertepatan dengan syariat Islam . Tatkala individu-individu bukan Islam melihat muslimah-muslimah begitu manis mengenakan tudung , sudah tentu akan terdetik di dalam hati kecil mereka mengapakah Allah S.W.T mensyariatkan pemakaian tudung ? Lalu tatkala mereka menanyakan perkara tersebut kepada muslimah-muslimah yang dilihat , muslimah-muslimah tersebut dapat menunjukkan kepada golongan bukan Islam tersebut akan apakah Islam itu sebenarnya dan keindahan yang tersembunyi di sebaliknya. Dengan cara itu , mereka akan lebih jelas mengenai bagaimanakah Islam itu sebenarnya .

Secara tuntasnya , Tudung yang dipakai seharusnya dapat menimbulkan rasa penghambaan dan pengabdian diri kepada Allah S.W.T . Pemakaian tudung sepatutnya menjadikan diri kita ini semakin dekat dengan dengan tuhan dan semua ini wujud apabila kita benar-benar menghayati perintah Allah S.W.T . Ada sesetengah wanita yang memakai tudung namun masih melakukan perkara-perkara maksiat seperti berduan-duaan antara lelaki dan wanita . Tudung yang dipakai seharusnya menjadi benteng diri mereka daripada melakukan maksiat . Namun demikian kerana kurangnya penghayatan , tudung yang dipakai sekadar menjadi perhiasan dan tidak mampu menjauhkan diri mereka daripada perbuatan maksiat . Situasi sebeginilah yang mencemarkan nilai-nilai Islam yang terdapat pada pemakaian tudung . Golongan yang menjadikan tudung sekadar perhiasan ini sebenarnya telah menyebabkan golongan bukan Islam memiliki satu persepsi buruk terhadap umat Islam . Mereka dapat melihat bahawa tiada bezanya antara bertudung dengan tidak bertudung . Kedua-duanya sama melakukan maksiat . Hal ini menyebabkan mereka tawar hati untuk lebih mengenali Islam dan memasuki Islam ekoran sikap umat Islam sendiri yang tidak menjaga kemurnian hukum hakam Islam . Walaupun bertudung , namun golongan ini tidak ubah seperti orang-orang bukan Islam . Lantaran itu , orang-ornang bukan Islan ini gagal melihat perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Seterusnya tarbiah Islam juga akan gagal dilaksanakan sepertimana yang telah diperintahkan Alla S.W.T .



* Esei yang dihantar sempena hari Hijab Antarabangsa anjuran IMWU, PERTIWI. Adik Farhana mewakili PKPIM. Kita doakan agar adik Farhana berjaya, Insya'Allah.














No comments: