Tuesday, October 30, 2007

MEMBENTUK PERIBADI DAKWAH

“Dialah yang telah mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”.
(QS 62:2)

Membangun dan membina merupakan aktiviti positif yang seirama dengan peningkatan kualiti daya manusia. Namun kadangkala ada pembinaan yang tidak menjurus kepada perubahan kearah kebaikan, bahkan kontraproduktif. Hal ini bukan beerti ada ketidakselarasan antara pembinaan dan keberhasilan tetapi kerana adanya kesilapan di dalam proses perlaksanaan yang dijalankan.

Pembinaan adalah proses menjadikan, mencetak atau mengadakan. Ianya bukanlah sekadar tranformasi ilmu semata-mata. Di dalam surah Ali-Imran Allah mengkhabarkan : “Dan haruslah dibentuk di antara kalian…” Pola akhir pembentukannya adalah ummat iaitu sekelompok manusia yang siap siaga mengikuti dan memperjuangkan syariat. Tugas ummat tersebut adalah mengajak kepada Islam, menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang munkar.

Seperti yang cukup kita maklumi, proses pembentukan bukanlah proses sesaat, seperti halnya dengan proses untuk mengubah kayu menjadi meja yang memerlukan serangkaian gerak kerja yang sulit serta memerlukan waktu yang lama ( menggergaji, memahat, mengukir, mengecat dan sebagainya) bahkan proses membentuk manusia itu lebih kompleks sifatnya. Ianya bukan sahaja merupakan rangkaian gerak kerja bahkan merupakan mujahadah membentuk kekuatan kesabaran sebagai nilai tambah untuk tetap dalam kebenaran. Kesabaran untuk menjauhi maksiat, sabar menghadapi musibah dan kesempitan serta sabar di dalam usaha memperbaiki diri serta mutarabbi.

Sekiranya kita meneliti proses pembinaan ini, terdapat 3 metodologi yang dapat kita aplikasikan. Pertama ialah yang menyentuh persoalan praktikaliti. Sesuatu yang disebut sebagai praktikal itu bukanlah pemberian teori atau aliran informasi semata-mata. Ianya ialah proses untuk memberikan keteladanan dan mengikutsertakan. Contohnya seperti yang ditunjukkan oleh Hasan dan Husin semasa memperlihatkan cara untuk mengambil wuduk yang tepat kepada seorang tua dengan cara yang bijaksana serta sarat hikmah. Begitu juga dengan dakwah Rasulullah saw yang sekiranya kita cermati, begitu banyak diterjemahkan secara praktikal. Maka itu, kita katakan bahawa di dalam proses tarbiyah, ternyata pola pembinaan yang dijalankan perlu lebih bersifat amaliyah (praktikal).

Kedua, pemantauan/pemerhatian yang merupakan kesinambungan dari kaedah berbentuk praktikal. Para mad’u yang sudah diberi pengarahan dan diikutsertakan secara praktikal (yang telah menjadi suatu kebiasaan) kemudian akan diikuti perkembanganya melalui pemantauan serta evaluasi yang berterusan. Evaluasi ini amat bermanfaat untuk mencapai cita-cita pembentukan sumberdaya manusia yang berkualiti tinggi. Mad’u juga harus dibiasakan untuk berinteraksi dengan realiti masyarakat. Mereka akan belajar dari kegagalan dan keberhasilan dalam interaksi yang luas dengan masyarakat heterogen. Para mad’u juga harus dibiasakan dengan kelompok yang bervariasi agar mereka lebih dewasa (tidak over reaktif, tidak juga keterlaluan pasif) didalam menyikapi kondisi-kondisi tertentu yang berlaku disekeliling yang memerlukan kefungsian mereka sebagai khalifah.

Ketiga, doa. Harus kita akui bahawa kadangkala proses pembentukan yang kita jalankan tidak membawa hasil yang memuaskan. Sekian lama kita membina sejumlah individu, namun tidak terlihat perkembangan sepertimana yang kita ingini. Pelatihan demi pelatihan disertai dengan sorotan penilaian yang berterusan ternyata belum cukup untuk mengubah jati diri mereka. Maka dalam kondisi ini, sudah selayaknya kita mengerahkan segenap upaya dengan memperbanyakkan doa. Tentu sahaja kita sedar bahawa Allahlah yang berhak untuk memberi hidayah kepada manusia.

“Sesungguhnya engkau tidak boleh memberi hidayah kepada orang yang kau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada orang-orang yang dikehendakinya dan Allah lebih mengetahui siapa yang mahu menerima hidayah.”(28:56).

Maka tetaplah berharap kepada Allah dalam pembentukan para mad’u kita. Mohonlah terus kebaikan dan keistiqamahan bagi mereka.
“…dan berdoalah, sesungguhnya doamu bagi mereka akan mententeramkan mereka”(9:103).

Bagi yang dibina (tentu sahaja diri kita juga termasuk di dalam kelompok ini) haruslah sentiasa sedar bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum apabila mereka sendiri tidak mahu mengubahnya. Kerana itulah perlu ada sifat interaktif iaitu kemampuan menyesuaikan diri dengan tuntutan luar. Bersedia untuk mengikuti pelatihan serta menjalankan perbaikan diri dengan amal ibadah seperti melakukan solat sunat, berpuasa sunat, bertadarus serta tadabbur quran dan melakukan qiyamullail. Sudah tentu ianya dilakukan bukan hanya kerana kita merasa mahu melakukannya ketika kerajinan menjelma, tetapi aktiviti itu seharusnya membudaya di dalam diri, menjadi kelaziman yang selalu dirai. Sesungguhnya, Mad’u seperti inilah yang nantinya akan mampu untuk beradaptasi dengan realiti masyarakat dalam berbagai kondisi. Namun, untuk dapat mencapai itu semua tentu saja kita harus melalui proses panjang pembentukan. Kesungguhan dan keikhlasan para pembina, disiplin dan interaktifnya mad’u, disertai pelatihan, pemantau serta doa, insyaAllah akan memunculkan peribadi-peribadi dakwah yang sesungguhnya berkualiti.

“bekerjalah kamu, nanti Allah, Rasul dan orang-orang beriman akan melihat hasil kerja kamu…..”(9:105).

NADIAH BT YUSOF
TIMBALAN PENGERUSI HEWI 1
www.jendelabashirah.blogspot.com

No comments: