Monday, October 01, 2007

MAHASISWA SEBAGAI ILMUAN SEJATI

Keagungan Ilmuan Islam Era Pertengahan.

Dalam perspektif sejarah, abad-abad pertengahan menyaksikan tempoh yang dinamis dan ideal bagi umat Islam dan ianya merupakan abad yang gelap bagi Eropah. Guistave Le Bon dalam “The World of Islamic Civilization” menulis : “ Jika menakluki sebuah kota, yang pertama mereka (muslim) lakukan adalah mendirikan masjid dan sekolah”. Dua bangunan ini melambangkan bahawa betapa generasi awal itu telah berfikir jauh kehadapan –ke arah dunia abstrak yang diwujudkan dalam bentuk bangunan konkrit iaitu masjid sebagai symbol dari dzikir, sedangkan sekolah adalah lambang kepada aktiviti berfikir. Dzikir dan Fikir adalah merupakan dua bentuk peradaban yang kedua-duanya adalah melambangkan kewujudan iman seorang muslim. Umat yang mengutamankannya disebut di dalam al-quran sebagai ulul albab. Mereka mampu mengintegrasikan kekuatan berfikir dan kekuatan berdzikir dan mampu pula mengembangkan kearifan yang menuntut islam dinilai sebagai “khairan kathiran”.

Tempoh kreatif dan dinamis itu berlangsung sekitar lima abad, telah berhasil pula mengembangkan kaedah yang efektif dalam mendekati gejala alam. Disamping mengembangkan kaedah induktif, sarjana-sarjana muslim pada ketika ini juga telah jauh mengembara ke wilayah kajian yang spekulatif. Karya-karya agong adalah buah dari pengembaraan spekulatif itu. Deretan nama besar seperti al-Kindi, Al-Farabi, IbnuSina adalah antara nama-nama yang selalu terakam di dalam sejarah mahupun yang sentiasa meniti di bibir jemaah manusia. Karya-karya mereka yang kini telah menjadi klasik itu tetap bernilai tinggi serta releven dari zaman ke zaman.

Sikap apresiatif terhadap karya-karya klasik ini baru bermula di nusantara. Namun, usaha ini masih mencakup di ruangan yang amat terbatas. Kelemahan di dalam menguasai bahasa dan kurangnya sikap kritis merupakan halangan utama mengapa karya klasik ini tidak pernah menyentuh lapisan umat secara meluas. Akibatnya, umat tidak dapat merentas kemampuan inteklektual islam yang telah berkembang suatu masa dahulu.

Tamadun Baru Buat Ummat

Al-Quran telah menyifatkan beberapa tamadun sebagai melampau dan membawa kerosakan kerana ia terdiri di atas asas dan perlambangan materialisme, juga bermegah dengan pembangunan fizikalnya yang hebat. Ini jelas digambarkan oleh Allah swt melalui firmannya yang bermaksdu :

”Dan sungguh kami telah membinasakan umat-umat sebelum kamu, kerana mereka telah berbuat zalim, padahal para rasul mereka telah datang membawa keterangan-keterangan yang (nyata), tetapi mereka sama sekali tidak mahu beriman. Demikianlah kami memberi balasan kepada orang yang berbuat dosa”

( Yunus : 13 )

Manusia moden pada hari ini memerlukan tamadun baru dan falsafah yang berbeza dengan falsafah yang datang dari barat. Umat manusia juga mengharapkan suatu tamadun yang memberikan agama, tetapi tidak kehilangan ilmu pengetahuan, yang dapat memberikan keimanan tetapi tidak melenyapkan akal, yang memberikan roh (jiwa) tetapi tidak menghalang material, yang memberikan akhirat tetapi tidak menghalang ia dari dunia, yang memberikan akhlak tetapi tidak merampas kebebasan. Dunia sekarang sangat berhajat kepada satu tamadun yang dapat menghubungkan antara langit dan bumi di mana nilai-nilai rabbani serta kepentingan kemanusiaan saling bersangkutan, antara akal fikiran dan hati yang beriman serta saling melengkapi di dalamnya. Lantas umat manusia melangkah maju di dalamnya dengan pelita wahyu Ilahi dan cahaya akal manusia.

Mahasiswa Sebagai Agen Muslih Intelektualisme Sejagat.

Kelompok mahasiswa harus memposisikan diri sebagai cendiakiawan muslim iaitu mereka yang mampu menyatukan kekuatan dzikir dan fikir (refleksi dan halacara bertindak) di samping mempunyai kebijaksanaan menyelesaikan masalah dunia dan kemanusiaan. Untuk itu, para mahasiswa harus menelusuri perjalanan tokoh yang benar-benar mengabdikan diri ke arah pembangunan spiritualisme dan intelektualisme sejagat tidak kira tokoh luar mahupun tokoh di segenap nusantara. Perjalanan kehambaan tokoh-tokoh besar ini mampu merencanakan suatu persegaran baru kearah intelektualisme muslim sejati di kalangan mahasiswa. Kegersangan ilmu yang menyergap di kalangan mahasiswa kini mampu dikikis secara berdikit-dikit melalui pemahaman yang jelas dengan kesedaran kritis tentang perjalanan panjang keilmuan islam yang semakin menghilang hari demi hari sehingga membawa kepada kehancuran bangsa serta agama yang kita cintai.

Terdapat ramai tokoh pilihan yang wajar dijadikan contoh, antaranya ialah al-Ghazali yang muncul sebagai pengasas kekuatan-kekuatan spiritual pada abad ke 11, yang mana ketika itu abad ini ditandai oleh kebingungan spiritual. Sebagai seorang yang dikurniakan dengan hati nurani yang peka dan tajam, Al-Ghazali telah berdialog dengan zamannya secara intensif dan berani. Walaupun Al-Ghazali merupakan seorang sufi dan teologis, beliau bagaimanapun telah mengusai pelbagai disiplin ilmu terutamanya ilmu astronomi. Dalam menggarap berbagai macam kecenderungan intelektual, al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin dengan cantik sekali telah menulis :

” Sesungguhnya ilmu itu adalah kehidupan hati

yang membebaskan diri dari kegelapan, kekuatan fizikal

(yang membebaskan diri) dari kelemahan..”

Mahasiswa juga seharusnya berusaha untuk mengkaji pergerakan islam yang pernah dan masih wujud sehingga kita benar-benar terpanggil serta terasuh untuk mencintai Islam sebagai budaya hidup serta sentiasa berusaha menterjemahkan keunggulan islam di dalam kehidupan seharian. Hinggakan kita mampu mewariskan keyakinan beragama secara hikmah kepada generasi penerus serta sanggup berkorban nyawa demi kelangsungan sebuah keyakinan agama yang suci ini. Menerusi perasaan halus yang berkehendak kepada agama serta memahami keperluan untuk meneruskan misi nubuwwah ini, mahasiswa akan lahir sebagai manusia muslim seperti Muhammad Iqbal yang memasukkan dirinya kedalam gelombang sejarah pada saat dunia Islam sedang bergelut dengan kehinaan yang terlalu parah. Umat Islam diseluruh dunia yang ketika itu sedang menjadi mainan sejarah menerima kelahiran seorang tokoh yang meneruskan misi Jamalaudin al-Afghani. Beliau bangkit dan mengisytiharkan dirinya sebagai ”Adam dunia baru” yang mengejutkan umat ini dengan bait-bait puisi yang inspiratif dan mengharukan sehingga pesanan-pesanan keramat itu dapat menembusi lapisan umat yang tidak terdidik.

Sesungguhnya terdapat ratusan tokoh yang harus dikaji oleh insan bernama mahasiswa bagi melengkapkan diri sebagai penganut, pengembang dan penerus generasi para anbiya’. Tanpa memahami tokoh-tokoh terdahulu serta menghadami gerak kerja mereka di dalam rangka melestarikan keagungan Islam ini, amat payah untuk kita mengembalikan kegemilangan ilmuan Islam sejati dalam arus dan dimensi globalisasi. Darjah kesukaran itu bertambah pada abad ke 21. Sebagai makhluk yang tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menguasai ruang dan waktu yang semakin meninggalkan kita, seharusnya kita mencari jalan serta memainkan peranan untuk meredakan dan mencari jalan keluar bagi krisis-krisis yang lahir dari perut globalisasi ini. Islam hanya akan berperanan apabila umat Islam berjaya tampil sebagai umat yang berwibawa, bermoral, intelek serta mengagungkan Al-Quran sebagai panduan di dalam kehidupan. Sesungguhnya, wibawa ini akan menjadi kenyataan apabila umat Islam menunjukkan kualiti sebagai manusia teladan. Oleh itu, amat besar harapan yang tergalas di bahu mahasiswa sebagai ikon intelektual untuk membuihkan riak-riak kesedaran yang tinggi untuk umat Islam sejagat sehingga ianya membentuk gelombang yang akan menyaksikan perubahan ke arah dunia Islam dinamis sebagaimana yang kita impikan.

Nadiah bt Yusof,

Timbalan Pengerusi HEWI 1

PKPIM

No comments: