“ Di dalam gerak tangis kita mulai membuka mata. Di dalam bedungan ibu kita menggerakkan badan melepaskan ikatan bedung. Lepas dari asuhan ibu, kita merangkak, kita angsur tegak dan kita jatuh, lalu kita tegak lagi dan jatuh lagi. Kemudian tegak terus untuk pergi berjuang ke medan permainan, lalu ke medan hidup, lalu ke perjuangan dalam batin kita sendiri, menegakkan yang baik dan melawan yang buruk. Selama hidup kita kerjakan sedemekian, menjalankan titah perintah Tuhan Yang Maha Esa. Berapa pun yang dapat kita kerjakan, harus kita syukuri. Setiap hari atau masa kita hitunglah laba dan rugi. Sampai kelak datang panggilan. Panggilan yang tidak dapat ditakkhirkan walau satu saat dan tidak dapat pula ditaqdimkan walau satu saat. Panggilan yang tidak dapat dielakkan oleh setiap yang bernyawa. Maka terbukalah pintu kubur. Maknanya pindahlah kita dari hidup fana kepada hidup baqa’, dari hidup dunia kepada hidup akhirat. Demekianlah kita menempuh hidup: lahir, berjuang dan akhirnya mati. “(Prof. Dr. Hamka, Falsafah Hidup)
Alhamdulillah, setinggi-tinggi tadahan syukur kehadrat Allah S.W.T di atas limpahan nikmat Iman dan Islam yang masih lagi kita kecapi pada waktu dan saat ini. Tanpa rasa penat mulut kita kumat kamit melafazkan zikir, kalbu kita tanpa rasa jemu mengingati nikmatNYA dan gerak geri kita sentiasa ihsan dengan Allah S.W.T. Bersyukurlah kita kepadaNYA kerana kita merupakan insan yang terpilih untuk meneruskan tugas risalah nubuwwah di akhir zaman ini. Biarpun jalan dakwah ini menjanjikan seribu macam mehnah dan tribulasi yang kadangkala menguji kekuatan kita untuk terus istiqamah berada di jalan para duat ini.
Pertemuan kita di tamrin qiady kali ini bukanlah hanya untuk memenuhi taqwim jemaah kita semata-mata namun tamrin kali ini merupakan medan untuk kita bermuhasabah diri, menilai semula niat, perancangan dan strategi yang telah kita susun selama hampir separuh penggal bergelar pimpinan. Walaupun kita dihambat dengan pelbagai masalah, kekangan dan tekanan dari dalam dan luar, janganlah kita mudah melatah, berasa lemah dan gundah gulana. Jadikanlah tamrin ini sebagai uzlah untuk kita mengumpulkan kembali kekuatan kita, menajamkan kembali kefahaman kita tentang gerakan dan memperkasa ukhwah dikalangan kita. Apabila kekuatan itu kembali bergabung, pasakkan kesungguhan dan ketekunan untuk merangka strategi yang praktikal dan sesuai dengan keadaan semasa. Akhirnya, barulah penyerahan diri kepada Illahi menjadi sandaran kita.
SIAPAKAH KITA: OFFICER OF GOD
Marilah kita mengutip semula roh kekuatan kita melalui Firman Allah Taala di di dalam Surah Az Zariyat ayat 56 yang bermaksud;
“ Aku tidak menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah padaKu “
Kita adalah hamba kepada Allah Taala. Allah adalah Tuhan kita yang Esa. Kita bersaksi bahawa Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah dan kekasih Allah. Rasulullah s.a.w adalah suri tauladan pada kita. Islam adalah agama anutan kita yang hidup dalam kehidupan kita. Islam adalah addinul hayah. Menjadi hamba kepada Allah bukan hanya terbatas kepada kewajipan menunaikan solat 5 waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat fitrah dan menunaikan haji. Namun hamba Allah juga adalah khalifah Allah di muka bumi. Officer of God! Pegawai Allah pentadbir harta Allah seisi lautan dan bumi. Penjaga keamanan dan keharmonian bumi. Memastikan Islam tetap subur di muka bumi Allah. Mengajak diri dan orang lain kepada yang perbuatan yang ma’ruf dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar walaupun pada masa yang sama kita mempunyai pelbagai peranan sebagai mahasiswa, anak, abang, kakak, adik, kawan, sahabat, jiran dan ahli masyarakat. Walau apapun peranan yang kita mainkan tidak pernah menganggu tugas utama kita sebagai hamba dan khalifah. Malahan peranan yang kita mainkan merupakan wasilah untuk kita menjalankan amanah sebagai Officer of God !
KETANDUSAN PENDAKWAH WANITA
Wanita memainkan peranan yang cukup signifikan dalam pembentukan sesebuah keluarga. Adakalanya wanita berperanan sebagai seorang anak kepada ibu dan bapanya, menjadi seorang isteri kepada suaminya dan menjadi seorang ibu kepada anak-anaknya. Wanita juga merupakan penggerak yang komited dalam menjalankan kerja-kerja di pejabat dan ‘boss’ yang cukup teliti dengan hasil kerja kakitangannya. Golongan wanita dwikerjaya di negara kita semakin meningkat dan golongan ini menghadapi banyak kekangan dan cabaran. Di antaranya ialah kesibukan bekerja, kesuntukan masa bersama keluarga dan gejala sosial yang melanda generasi muda dan serta budaya hendonisme yang berleluasa.Firman Allah Taala yang bermaksud : “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh kepada berbuat kebaikan; dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNYA. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah, Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah At-Taubah:71)
Penghayatan wanita Islam sebagai pendakwah untuk memastikan Islam itu terus menjadi pegangan hidup setiap ahli keluarga dan masyarakat perlu digali dan digilap. Wanita Islam dikurniakan pelbagai kekuatan seperti kecerdikan minda, keupayaan psikologi, kemahiran pujuk dan rayu serta ketulinan jiwa sebagai ‘murabbiy’. Kekuatan ini mampu menggegarkan jiwa setiap orang yang mendampinginya. Sekiranya keistimewaan ini digunakan di dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah pasti ia akan meninggalkan impak yang positif.
Jumlah wanita Islam yang begitu ramai di Malaysia mengundang kita untuk sama-sama memikirkan kaedah yang terbaik bagi menggerakkan potensi wanita di dalam melaksanakan obligasi dakwah yang mulia ini. Masyarakat Islam di Malaysia hanya bertanggapan bahawa kerja dakwah ini hanya dilakukan oleh golongan-golongan tertentu sahaja seperti ustaz,ustazah, tok imam, tok kadi dan pertubuhan-pertubuhan Islam seperti ABIM, JIM dan YADIM. Bukankah mengajak ahli keluarga untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup juga merupakan satu dakwah? Atau adakah mendidik anak-anak supaya kenal Islam adalah tanggung jawab ustaz dan ustazah?
CABARAN PENDAKWAH WANITA
Dewasa ini, peranan wanita untuk turut aktif dalam melaksanakan tanggung jawab dakwah amat didambakan. Pelbagai golongan wanita yang membawa fahaman anti kepada penghayatan Islam sebenarnya mampu ditangani oleh wanita itu sendiri. Golongan wanita yang memperjuangkan hak persamaan dengan kaum lelaki, menuntut kebebasan dan pelbagai pendekatan yang melambangkan kepada kejahilan di dalam menghayati ajaran Islam yang sebenar. Ditambah pula dengan Isu-isu wanita diperingkat antarabangsa. Isu Feminisme yang tidak pernah berpenghujung. Baru-baru ini Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sewaktu menyambut Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu telah mengadakan satu Seminar dan akhirnya mengeluarkan satu resolusi yang bertemakan ”Penghapusan Semua Problematika Kekerasan Terhadap anak Perempuan”. Resolusi ini telah menimbulkan kontroversi sehingga Pertubuhan Islam Antarabangsa yang dianggotai oleh 103 buah Negara Islam menentang akan penerimaan resolusi ini. Di antara resolusi yang dikemukakan ialah anak perempuan yang berusia 18 tahun berhak untuk menentukan jantina sendiri dan hak menetukan pasangan hidup sama ada lelaki atau perempuan. Terang lagi bersuluh, ia benar-benar mencabar nilai dan etika kita sebagai wanita muslimah yang belandaskan kepada kesyumulan Islam.
Pemikiran dan gerakan feminisme telah berjaya membawa satu dogma bahawa “tidak ada apa yang membezakan antara lelaki dan wanita, sekalipun secara semulajadi”. Kehebatan dan keberanian tokoh-tokoh wanita feminisme seperti Fatimah Mernisi (Maghribi), Aminah Wadud (Amerika Syarikat), Nawal Sa’adi (Mesir), Rifaa’t Hasan (Pakistan), Zainah Anwar (Malaysia) sebenarnya berupaya mempengaruhi wanita Islam di wilayah pengaruh mereka. Tanpa kita sedari, ideologi gerakan pembebasan wanita (woman’s Liberation) di negara barat telah menular masuk secara halusnya di dalam pemikiran masyarakat kita. Penonjolan konsep emansipasi yang dibawa oleh suara lantang wanita-wanita barat ini memperlihatkan kepada kita sudah terdapat ada golongan wanita asia yang cukup komited terhadap kehidupan bebas dan merdeka. Penolakan terhadap nilai-nilai dalam agama mahupun adat resam sesuatu masyarakat dianggap mengongkong perkembangan potensi diri wanita dan pemupukan hasrat ingin mendapat hak dan peluang yang sama rata dengan lelaki di dalam segenap aspek kehidupan merupakan misi yang ingin dicapai.
Ditambah pula dengan generasi muda yang semakin terhakis nilai jati diri mereka akibat manipulasi globalisasi yang menghambat, ahli keluarga yang berantakan akibat tekanan permintaan dalam hidup yang semakin tinggi. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), terdapat peningkatan dalam jenayah indeks 2005-2006 yang melibatkan kes jenayah kekerasan seperti rogol, mencabul kehormatan, samun, peras ugut dan bunuh. Mengambil contoh, kes jenayah yang melibatkan rogol meningkat dari 1,887 kepada 2,435 kes. Manakala kes yang dilaporkan melibatkan pencabulan kehormatan pula adalah sebanyak 1,646 kes pada tahun 2006. Jika dilihat kepada statistik ini, kes-kes yang melibatkan jenayah kekerasan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Bagi kes rogol dan mencabul kehormatan, mangsanya pastilah wanita. Daripada kajian dan kes-kes yang dilaporkan, mangsa yang terlibat adalah daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Eksploitasi kaum wanita di media-media massa juga masih ditakuk yang lama sementara tanggapan bahawa adegan atau babak yang mempunyai unsur-unsur lucah dan cabul di dalam filem atau drama menggambarkan satu nilai kerja seni yang dibanggakan oleh sesetengah pihak. Pemaparan nilai-nilai bangsat negara Barat telah menodai adat-adat ketimuran masyarakat Malaysia terutamanya orang Islam itu sendiri. Ditambah pula rancangan-rancangan televisyen yang tidak melalui proses tapisan dan saringan oleh pihak berauthoriti akan mengakibatkan golongan muda, teruna dan dara akan menjadikan pergaulan bebas, bersekedudukan dan seks bebas sebagai kiblat mereka. Maka lahirlah generasi anak luar nikah dan wanita yang mengalami jangkitan kelamin dan HIV AIDS.
KHULASAH
Maka, di sinilah wanita berperanan bersama lelaki saling melengkapi di antara satu sama lain agar masalah-masalah yang disebutkan di atas dapat di atasi dengan mengembalikan semula Islam sebagai pegangan hidup. Unsur-unsur negatif yang menular dalam masyarakat kita hari ini telah membawa impak yang cukup buruk terhadap usaha murni memartabatkan wanita dan keluarga. Banyak isu yang berkaitan jenayah dan keganasan terhadap wanita seperti pemerkosaan, penderaan, pencabulan dan sumbang mahram masih berleluasa meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan. Maka jumlah pendakwah wanita perlu diperkasakan. PKPIM sebagai sebuah gerakan dakwah yang dianggotai oleh pelajar Islam berperanan sebagai satu pangkalan untuk menghasilkan pendakwah-pendakwah wanita yang bukan sahaja mampu bekerja di belakang tabir semata-mata, tetapi mereka mempunyai idealisme dan intelektualisme yang kukuh dan mantap. Negara kekurangan pakar rujuk dalam pelbagai bidang dari golongan wanita. Bilangan wanita yang pakar dalam isu-isu wanita dan kekeluargaan serta memahami ajaran Islam yang sebenar boleh dibilang dengan jari. Wanita Islam di Malaysia khususnya memerlukan pakar-pakar rujuk terutamanya dalam membentuk sebarang dasar mahupun polisi yang melibatkan hal ehwal wanita. Sudah tiba masanya untuk kita tidak membiarkan kerusi-kerusi penggubal dasar wanita tidak dikuasai oleh orang–orang yang bekerja atas dasar keuntungan dan kerja semata-mata. Kita mahu wanita-wanita Islam yang memahami bahawa mereka berperanan dalam mendidik ummah duduk di kerusi ini.Justeru, untuk melahirkan wanita yang mampu menghadapi dan menentang arus feminisme dan gejala sosial generasi muda, PKPIM perlu bertindak sekarang!. Berikan ruang dan peluang untuk wanita mengembangkan potensi mereka agar mampu menjadi pemimpin wanita Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya!. Demi meneruskan tanggungjawab meratakan Islam di muka bumi dan melahirkan khaira Ummah, ayuh kita bermula dari sekarang!
Shamsiah Hj Mahli
Pengerusi HEWI PKPIM
No comments:
Post a Comment