Wednesday, May 16, 2007

Respon Isu : Ruang Solat Wanita Perlu Lebih Selesa

Tanpa kita sedari, kesedaran dikalangan wanita Islam untuk menunaikan solat lima waktu semakin memberangsangkan. Ini terbukti apabila setiap kali masuk waktu solat, surau dan masjid didatangi oleh wanita-wanita yang singgah untuk menunaikan solat. Lihat sahaja semasa Pesta Buku Antarabangsa yang di adakan di PWTC baru-baru ini, surau di tingkat atas penuh dengan ribuan manusia untuk menunaikan solat termasuk juga dikalangan wanita. Namun apa yang menyedihkan, ruang solat untuk wanita di kebanyakan surau dan masjid agak sempit dan tidak memberikan keselesaan kepada wanita-wanita yang menunaikan solat. Walaupun wanita tidak dituntut untuk solat di masjid dan surau, adalah tidak adil menempatkan jemaah wanita di ceruk-ceruk bangunan surau dan masjid. Begitu juga dengan surau yang disediakan di Kompleks Membeli belah, Stesen Minyak dan Tempat Persinggahan R& R di Lebuh Raya.

Justeru, Majlis Hal Ehwal Siswi (HEWI), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memandang serius isu ini dan mencadangkan agar pihak yang berkenaan memberikan ruang yang lebih luas dan selesa untuk jemaah wanita menunaikan solat di surau, masjid dan tempat-tempat awam seperti Kompleks Membeli Belah, Stesen Minyak dan Tempat Persinggahan R&R di Lebuh Raya. Ini sekaligus menimbulkan rasa selesa dan seronok untuk menunaikan solat di masjid dan surau. Begitu juga di Kompleks Membeli Belah misalnya, ruang surau yang sempit menyebabkan ramai wanita yang tidak selesa menunaikan solat, tambahan pula dengan keadaan yang agak kotor, panas dan pili air yang tidak berfungsi dengan baik. Begitu juga dengan kemudahan sejadah dan telekung yang tidak mencukupi dan tidak mampu menampung jumlah jemaah wanita yang datang ke sana. Majlis HEWI PKPIM kesal kerana kebanyakan masjid tidak menyediakan ruang untuk jemaah wanita menunaikan solat jumaat. Perlu diketahui bahawa adalah tidak menjadi satu kesalahan untuk jemaah wanita menunaikan solat jumaat di masjid.

Bagi menyambut hasrat Kerajaan untuk menjana modal insan dan merealisasikan prinsip Islam Hadhari, sewajarnya cadangan ini perlu diberi perhatian serius oleh setiap pihak yang berkaitan. Ini kerana ia melibatkan hal kebajikan rakyat keseluruhannya umat Islam khususnya.


Shamsiah Mahli
Naib Presiden HEWI
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Kompleks Anjung Rahmat,
Batu 6, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur
Tel: 03-61879520 / 013-5640209
Faks: 03-61842570

1 comment:

Anonymous said...

selesa??
cuba bayangkan kalo tak de surau??
kadang kita seperti kurang bersyukur atas nikmat yang ada..
tak ada, mintak!
dah ada, tambah!

gunakanlah apa yang ada..
jangan plak kata surau kecik tak selesa nak solat plak..
sbb kita dah biasa dengan selesa, tu yang tak biasa bila tak selesa kan??