SIARAN MEDIA& SURAT PEMBACA 10 APRIL 2007/ 22 RABIULAWAL 1428H
TANGANI MASALAH KESELAMATAN SISWA& SISWI UNIVERSITI
Baru-baru ini, negara telah digemparkan dengan peristiwa cubaan merogol dan menculik dua orang siswi di salah sebuah IPTA di Lembah Klang. Namun cubaan terbabit gagal hasil daripada sikap prihatin orang awam dan kecekapan pihak polis dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Justeru itu, dikesempatan ini pihak Majlis HEWI (Hal Ehwal Wanita) PKPIM ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada individu dan pihak polis terbabit yang berjaya menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa rogol yang seterusnya.
Kejadian yang berlaku merupakan salah satu isu dalam pembangunan manusia. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), terdapat peningkatan dalam jenayah indeks 2005-2006 yang melibatkan kes jenayah kekerasan seperti rogol, mencabul kehormatan, samun, peras ugut dan bunuh. Mengambil contoh, kes jenayah yang melibatkan rogol meningkat dari 1,887 kepada 2,435 kes. Manakala kes yang dilaporkan melibatkan pencabulan kehormatan pula adalah sebanyak 1,646 kes pada tahun 2006. Jika dilihat kepada statistik ini, kes-kes yang melibatkan jenayah kekerasan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Bagi kes rogol dan mencabul kehormatan, mangsanya pastilah wanita. Daripada kajian dan kes-kes yang dilaporkan, mangsa yang terlibat adalah daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Berita menegenai dua orang siswi ini telah mendapat liputan yang luas dari pihak media dan turut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai. Pelbagai respon yang diutarakan dan dibincangkan. Jika dilihat dari sudut positif, respon pihak terbabit menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia masih lagi mempunyai sikap prihatin terhadap apa yang berlaku di negara ini. Namun begitu, komen-komen liar dari pihak tertentu bukan saja boleh menimbulkan salah faham umum bahkan tidak dapat menyelesaikan masalah yang melanda. Menunding jari antara satu sama lain bukanlah satu cara yang terbaik dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Mencari punca dan seterusnya penyelesaian yang menyeluruh ke atas permasalahan ini adalah satu tindakan yang perlu diberi perhatian, dikaji dan seterusnya dilaksanakan oleh semua pihak yang terbabit.
Jika dilihat kepada punca bagaimana kejadian ini berlaku, mungkin ada pihak yang menyalahkan pihak pentadbiran universiti yang dikatakan cuai dalam aspek keselamatan mahasiswa. Kekurangan bas di universiti-universi ti sehingga terpaksa menyewa bas luar juga dikatakan salah satu puncanya. Ekoran dari kejadian ini, orang ramai telah mempertikaikan kredibiliti pihak Universiti dalam menjaga keselamatan para pelajarnya. Ibu bapa pula bertambah bimbang terhadap aspek keselamatan anak-anak mereka yang belajar jauh dari mata mereka.
Isu ini boleh memberi pengajaran dan membuka mata kepada semua pihak terutamanya pihak pentadbiran universiti, para pelajar, ibu bapa, pihak berkuasa dan juga masyarakat bahawa kita seharusnya perlu berhati-hati terhadap persekitaran sekeliling kita kerana kita tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku. Bagi pandangan Majlis HEWI PKPIM, tanggungjawab terhadap keselamatan pelajar bukannya hanya terletak kepada bahu pihak pentadbiran universiti sahaja malahan juga para mahasiswa sendiri yang perlu sentiasa berhati-hati walau di mana jua mereka berada. Ibu bapa juga tidak boleh seratus peratus meletakkan tanggungjawab ini di bahu pihak pentadbiran Universiti. Ibu bapa perlulah sentiasa mengambil berat mengenai anak mereka dan mengetahui di mana mereka berada. Anak adalah amanah Allah, maka tidak seharusnya meletakkan beban terbabit ke atas pihak yang lain. Kerjasama antara ibu bapa dan pihak Universiti boleh membendung kejadian ini daripada berulang kembali. Jika perkara ini diambil berat, maka tidak akan timbul perasaan takut untuk menghantar anak-anak belajar jauh. Perlu diingatkan, ‘malang tidak berbau’, maka kita perlu sentiasa berhati-hati dan bersikap ambil tahu terhadap persekitaran sekeliling.
Majlis HEWI PKPIM ingin mengusulkan beberapa cadangan dan nasihat bagi mengelak perkara ini berulang kembali. Pertama, kami ingin menyarankan supaya pihak pentadbiran keselamatan universiti mengkaji, memperhalusi dan seterusnya memperbaiki sistem keselamatan yang ada sekarang terutamanya di kolej-kolej kediaman pelajar. Mengenal pasti dan mengawal kemasukan pelawat luar yang tiada hubung kait dengan pelajar perlu dilakukan supaya keselamatan pelajar terjamin. Justeru itu, pihak pengurusan universiti perlulah sentiasa menjalinkan hubungan kerjasama dengan pihak polis dalam mempertingkatkan kawalan keselamatan. Kejadian yang berlaku boleh dijadikan panduan dan iktibar kepada pihak keselamatan Universiti yang lain terhadap keberkesanan sistem keselamatan yang mereka ada sekarang.
Kedua, MHP ingin menyarankan supaya semua wanita, tidak kira peringkat umur supaya melengkapkan diri dengan ilmu tentang aspek keselamatan dan mempertahankan diri. Sebagai wanita yang sering terdedah kepada ancaman jenayah rogol dan cabul kehormatan, pengetahuan mengenai ini amat penting sekali sebagai salah satu cara menghadapi ancaman ini. Kejadian ini dan beberapa kejadian yang seumpamanya membuktikan kepentingan aspek keselamatan diri yang perlu ada dalam diri wanita. Pihak kerajaan dan NGO perlu berganding bahu dalam mengadakan bengkel-bengkel keselamatan dan mempertahankan diri khusus untuk wanita. Bengkel-bengkel ini perlu diadakan dan diperluaskan ke segenap lapisan umur terutamanya kepada para pelajar sekolah dan remaja di luar sana yang di mana mengikut laporan pihak polis mangsa majoritinya adalah dari kalangan remaja. HEWI PKPIM sendiri telah melaksanakan bengkel Keselamatan Remaja yang melibatkan remaja sekolah. Dalam bengkel ini, para peserta didedahkan dengan ilmu dan tips kesedaran dalam menjaga diri dan berani menyatakan tidak kepada sebarang gangguan keselamatan. Bengkel-bengkel seumpama ini amat penting dan perlu diadakan ke segenap negara bagi menyedarkan orang ramai betapa pentingnya aspek keselamatan diri selain meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai cara mempertahankan diri.
Ketiga, Majlis HEWI PKPIM mencadangkan agar mahasiswa/siswi mewujudkan kembali budaya berbasikal di kawasan kampus. Selain memberikan impak positif dari sudut kesihatan mental dan fizikal, budaya berbasikal dapat mengurangkan serba sedikit masalah pengangkutan yang dialami khususnya oleh mahasiswa/siswi yang tinggal di dalam kampus.
Akhir sekali, kerjasama antara semua pihak amatlah perlu bagi mengelakkan perkara sebegini berulang kembali. Jika semua pihak berganding bahu dan tidak salah menyalahi antara satu sama lain maka bukan perkara ini boleh sahaja yang boleh diselesaikan tetapi masalah-masalah lain juga dapat diselesaikan. Kepentingan kerjasama antara semua pihak dapat mewujudkan masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab bagi mencapai keharmonian negara. Pihak kerajaan dan NGO juga perlu bersifat terbuka dan telus dalam menyelesaikan sesuatu isu dalam masyarakat bagi kepentingan dan keharmonian Negara Malaysia yang tercinta.
Shamsiah Hj. Mahli
Naib Presiden (HEWI),
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sekretariat PKPIM,
Anjung Rahmat,
Batu 6, Gombak,
53100, Kuala Lumpur
Telefon: 03- 61879520/ 013-5640209
Faks : 03-61842570
E-mel : shamsiah@pkpim. net
Laman sawang: www.pkpim.net
No comments:
Post a Comment