Alhamdulillah, kita berkesempatan bertemu dengan Tahun Baru Islam 1428, yang dinamakan sebagai Awal Muharam atau Ma’al Hijrah. Nama ini dipilih sempena dengan penghijrahan Nabi Muhammad Sallahu’alaihi Wasalam dari kota Mekah ke Madinah. Sesungguhnya peristiwa hijrah Baginad SAW bersama para sahabat ini telah merakam satu detik yang bersejarah dalam tamadun Islam.Sejak Hijrah Baginda SAW itulah agama Islam terus berkembang maju dan mendapat sokongan daripada penduduk Arab ketika itu. Hijrah Baginda SAW merupakan titik tolak kepada bermula kalendar rasmi bagi umat Islam. Malah yang paling penting ialah Hijrah Baginda SAW itu telah menandakan bermulanya satu tamadun wahyu yang akan memimpin umat akhir zaman. Baginda SAW yang diutus bersama Al- Quran Karim merupakan dua mukjizat umat akhir zaman.
Mukjizat umat ini menjadi pedoman untuk umat akhir zaman, bersandarkan Hadis Baginda Saw, “Aku tinggalkan kamu dua perkara, jika kamu berpegang dengannya, nescaya kamu tidak akan sesat selamanya, iaitu Al- Qur’an dan Sunnah”. Tahun ini juga merupakan tahun permulaan kepada tiga dasar strategik negara. Yang pertama ialah Malaysia akan menyambut tahun kemerdekaan kali ke- 50. Usia 50 tahun bukan usia yang mentah lagi. Jika dibuat perbandingan dengan seorang manusia, sudah hampir setengah abad dan sememangnya sudah matang. Negara kita juga telah membuat pelbagai persiapan untuk menjayakan tahun kemerdekaan ke- 50 ini supaya menjadi tahun yang dikenangi dan bersejarah, Malah tahun ini juga telah dilancarkan Tahun Melawat Malaysia 2007Keduanya, pada tahun ini juga merupakan tahun kedua bagi merencanakan Rancangan Malaysia Kesembilan. RMK- 9 yang dibentangkan tahun lepas mempunyai hasrat besar iaitu ingin melengkapkan puzzle supaya menjadikan Malaysia ke arah negara yang maju menjelang 2020.
Setakat ini, RMK- 9 merupakan kesinambungan Rancangan- Rancangan Malaysia yang lain.Ketiganya, telah dilancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006- 2010, yang disifatkan komprehensif dan bersepadu mensasarkan selama lima tahun, bermula 2006 sehingga 2010 mempunyai sebuah cita- cita yang besar bagi rakyat Malaysia. Enam teras Pelan yang dilancarkan ialah membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasa sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan kerjaya perguruan dan melonjak kecemerlangan institusi pendidikan.Tahun Hijrah yang kita tempuhi ini bertepatan dengan tiga program strategik negara. Kesemuanya ingin mencapai ke arah pembangunan modal insan yang cemerlang. Seiringan dengan itu juga, kita perlu mempersiapkan diri kita dengan segala persiapan yang meyakinkan dan berdaya saing supaya dapat menjadi pemain global kelak.
Apakah kita belum meyakinkan dan berdaya saing?Menurut Ibn Khaldun, bangsa yang dijajah cenderung untuk meniru bangsa yang menjajah. Sesebuah bangsa yang dijajah bukanlah sangat kerana faktor kuatnya penjajah, akan tetapi menurut Malek Ben Nabi ialah kerana sifat kebolehjajahan (colonializability) yang ada dalam jiwa kita. Bangsa yang terjajah adalah kerana membenarkan diri mereka dijajah. Apabila dijajah selama beratus tahun, kesannya ialah kita dilanda dengan penyakit berjiwa hamba. Kita sukar untuk bangkit mengenal makna diri sendiri. Minda kita terbelenggu dengan kemodenan dan kecanggihan yang dicanang oleh pihak Barat walhal semuanya datang dari zaman ketamadunan Islam sendiri.Tahun Hijrah yang kita tempuhi ini sepatutnya membuka ruang dimensi yang baru untuk kita berubah. Sejarah Baginda berhijrah bersama para Sahabat ke Madinah bukan perlu dilihat dalam konteks hijrah fizikal Baginda sahaja, iaitu dengan menaiki unta, melalui padang pasir, berhadapan dengan pelbagai rintangan dan berhari- hari musafirnya. Malah penghijrahan Baginda juga bukan dilihat dalam konteks pensejarahan.
Umat Islam harus membuka minda dan menjadikan semangat Hijrah Baginda SAW sesuai dengan zaman kita hari ini. Kerana itulah semangat zaman (zeitgist) amat penting bagi kita. ‘Semangat zaman’ bermaksud kita harus menghayati semangat perjuangan Baginda SAW dalam berhijrah, dan pada masa yang sama mengolah Hijrah yang sesuai untuk zaman kita ini.Perkara pokok yang perlu dilakukan bersempena dengan Hijrah 1428 ini ialah penghijrahan yang membangunkan minda. Umur kemerdekaan negara kita 50 tahun bukan ukuran kepada semua rakyat kita sudah merdeka sepenuhnya. Malah, 50 tahun juga bukan gambaran negara kita sudah bebas dari ancaman penjajah.Realiti hari ini, kita merdeka dari sudut luaran sahaja, hakikatnya minda dan jiwa kita masih dijajah. Banyak progam dan gaya hidup kita masih tidak boleh lari daripada ikutan ‘our master colonial’. Semua sudut kehidupan masih mengekalkan legasi Barat.
Dari sudut penggunaan bahasa sehinggalah jenis pemakaian. Dari cara berfikir sehinggalah nama sesuatu tempat, semuanya tidak ubah menunjukkan minda masih terjajah.Oleh itu, bersempena dengan Awal Muharam, dan juga tiga dasar strategik negara, kita harus mengambil kesempatan untuk membuat perubahan minda dan sikap. Jadikan semangat Hijrah Baginda SAW sebagai inspirasi untuk melakukan Hijrah yang Membangunkan Minda.Membangunkan minda berkait rapat dengan konsep karamah insaniah (kemuliaan insan). Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan yang mulia lagi merdeka. Tidak ada makhluk yang boleh menguasai dan menjajah manusia, walau selemah mana atau semiskin mana pun manusia itu. Hakikatnya hanya Allah swt sahaja yang berhak menjadi ‘Tuan’ dan Tuhan kepada manusia. Jika ada makluk yang menjajah manusia, ibaratnya ia telah melangkaui tugas Tuhan, hakikatnya memang ia tidak berkuasa dan berkemampuan.Membangunkan minda memerlukan ilmu. Ilmu diraih bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, akan tetapi dengan ilmu dapat mencerahkan akal kita mengenal Tuhan. Budaya ilmu perlu dijadikan prinsip asas untuk masyarakat kita yang mencapai kemerdekaan ke- 50 ini.
Ukuran masyarakat yang merdeka tidak terlihat pada berapa lama ia mencapai kemerdekaan, akan tetapi berdasarkan sejauh mana mereka boleh bermandiri dengan ilmu yang hakiki, tanpa bergantung kepada kuasa lain.Keghairahan dan budaya ilmu boleh diwujudkan sekiranya ada iltizam dan semangat daripada setiap pemimpin masyarakat, tidak kira peringkat kerajaan, masyarakat atau keluarga. Mereka perlu memainkan peranan dalam wilayah pengaruh masing- masing untuk membangkitkan ghairah ilmu. Dengan cara ini sahajalah budaya ilmu dapat disemai dan akhirnya menjadi amalan bersama masyarakat.Kesimpulannya, kita harus belajar dari sejarah. Muhammad Iqbal pun ada mengatakan, “Untuk maju ke hadapan, kita perlu menoleh ke belakang”.
Sejarah mengajar kita bahawa dengan ilmu dan pengalaman sahaja yang dapat membangkitkan rasa karamah insaniah di kalangan kita. Setengah abad yang lalu biarkan pergi walaupun sedikit perubahan yang dilakukan. Jadikan permulaan setengah abad lagi ini untuk membuat anjakan perubahan dari segi minda dan jiwa.Tahun Hijrah ini juga patut menjadian kita lebih bersemangat juang dan memperbaiki diri kita. Hijrah yang hakiki ialah hijrah yang sememangnya mampu membawa manfaat kepada diri sendiri, dan seterusnya kepada alam keseluruhannya.
MOHD HILMI RAMLI
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
MOHD HILMI RAMLI
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment