Saturday, January 07, 2006

PERUTUSAN TAHUN BARU 2006
NAIB PRESIDEN HAL EHWAL SISWI (HEWI) PKPIM

“Dengan perjuangan yg tidak mengenal erti susah payah, tidak mengenal erti sakit dan senang, dapat memuliakan diri seseorang. Gagal dalam kemuliaan lebih baik dari menang dalam kehinaan. Hidup ertinya berjuang, kalau tidak berjuang bukan beerti hidup. Dunia ini adalah medan pengujian, manakah manusia yang sejati dan manakah yang palsu, Hanya orang yang tabah dan ikhlas akan mendapat kemenangan…”

Assalamualaikum w.b.t dan salam ukhwah buat pembaca budiman,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi tadahan syukur kehadrat Allah S.W.T di atas limpahan nikmat Iman dan Islam yang masih lagi kita kecapi pada waktu dan saat ini. Tanpa rasa penat mulut kita kumat kamit melafazkan zikir, kalbu kita tanpa rasa jemu mengingati nikmatNYA dan gerak geri kita sentiasa ihsan dengan Allah S.W.T. Bersyukurlah kita kepadaNYA kerana kita merupakan insan yang terpilih untuk meneruskan tugas risalah nubuwwah di akhir zaman ini. Biarpun jalan dakwah ini menjanjikan seribu macam mehnah dan tribulasi yang kadangkala menguji kekuatan kita untuk terus istiqamah berada di jalan para duat ini.
Rasanya belum terlambat lagi untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2006 buat rakan dan teman keluarga besar PKPIM yang tercinta ini. Semoga tahun 2006 masihi ini menjadikan kita lebih bersedia untuk merancang gerak kerja secara sistematik dan meningkatkan prestasi amal Islami di tahap yang lebih baik dari apa yang pernah kita usahakan dahulu. Di kesempatan inilah untuk kita bermuhasabah kembali gerak kerja sepanjang tahun 2005. Pastinya tercoret segala peristiwa suka dan duka buat pendokong gerakan Islam seperti kita. Jadikanlah peristiwa yang duka itu sebagai landasan untuk kita mengharungi cabaran di tahun baru. Kita kutip pengalaman-pengalaman lalu untuk kita jadikan mutiara-mutiara yang berharga dan janganlah kita melakukan kesilapan yang sama yang pernah kita lakukan sebelum ini. Sekiranya pada tahun lalu kita telah mencipta sejarah yang cemerlang, kekalkanlah tradisi kecemerlangan itu dan sentiasa beriltizam mencipta kecemerlangan yang lebih baik.
Menutup tirai 2005 telah menyaksikan transisi kepimpinan yang berlaku di dalam ABIM dan PKPIM. Sudah tiba masanya PKPIM dipimpin oleh generasi muda seperti kita. Generasi muda lebih memahami kehendak dan keperluan generasi muda. Generasi muda harus diberi ruang dan peluang yang seluas-luasnya untuk memimpin rakan seusia mereka dan memandu mereka ke arah halatuju hidup yang berlandaskan agama Islam. Peranan ABIM sebagai abang dan kakak kepada PKPIM memang tidak dapat dinafikan. Merekalah tempat kita merujuk, berkongsi pandangan dan pendapat, berkongsi masalah malah mereka inilah yang banyak membantu kita, berjalan seiring dengan kita di jalan dakwah ini.
Firman Allah Taala yang bermaksud : “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh kepada berbuat kebaikan; dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNYA. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah, Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah At-Taubah:71)

Penghayatan wanita Islam sebagai pendakwah untuk memastikan Islam itu terus menjadi pegangan hidup setiap ahli keluarga dan masyarakat perlu digali dan digilap. Wanita Islam dikurniakan pelbagai kekuatan seperti kecerdikan minda, keupayaan psikologi, kemahiran pujuk dan rayu serta ketulinan jiwa sebagai ‘murabbiy’. Kekuatan ini mampu menggegarkan jiwa setiap orang yang mendampinginya. Sekiranya keistimewaan ini digunakan di dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah pasti ia akan meninggalkan impak yang positif.
Jumlah wanita Islam yang begitu ramai di Malaysia mengundang kita untuk sama-sama memikirkan kaedah yang terbaik bagi menggerakkan potensi wanita di dalam melaksanakan obligasi dakwah yang mulia ini. Masyarakat Islam di Malaysia hanya bertanggapan bahawa kerja dakwah ini hanya dilakukan oleh golongan-golongan tertentu sahaja seperti ustaz,ustazah, tok imam, tok kadi dan pertubuhan-pertubuhan Islam seperti ABIM, JIM dan YADIM. Bukankah mengajak ahli keluarga untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup juga merupakan satu dakwah? Atau adakah mendidik anak-anak supaya kenal Islam adalah tanggung jawab ustaz dan ustazah?
Dewasa ini peranan wanita untuk turut aktif dalam melaksanakan tanggung jawab dakwah amat didambakan. Pelbagai golongan wanita yang membawa fahaman anti kepada penghayatan Islam sebenarnya mampu ditangani oleh wanita itu sendiri. Golongan wanita yang memperjuangkan hak persamaan dengan kaum lelaki, menuntut kebebasan dan pelbagai pendekatan yang melambangkan kepada kejahilan di dalam menghayati ajaran Islam yang sebenar. Ditambah pula dengan generasi muda yang semakin terhakis nilai jati diri mereka akibat manipulasi globalisasi yang menghambat, ahli keluarga yang berantakan akibat tekanan permintaan dalam hidup yang semakin tinggi.
Maka, di sinilah wanita berperanan bersama lelaki saling melengkapi di antara satu sama lain agar masalah-masalah yang disebutkan d atas dapat di atasi dengan mengembalikan semula Islam sebagai pegangan hidup. Unsur-unsur negatif yang menular dalam masyarakat kita hari ini telah membawa impak yang cukup buruk terhadap usaha murni memartabatkan wanita dan keluarga. Banyak isu yang berkaitan jenayah dan keganasan terhadap wanita seperti pemerkosaan, penderaan, pencabulan dan sumbang mahram masih berleluasa meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan.
Eksploitasi kaum wanita di media-media massa juga masih ditakuk yang lama sementara tanggapan bahawa adegan atau babak yang mempunyai unsur-unsur lucah dan cabul di dalam filem atau drama menggambarkan satu nilai kerja seni yang dibanggakan oleh sesetengah pihak. Pemaparan nilai-nilai bangsat negara Barat telah menodai adat-adat ketimuran masyarakat Malaysia terutamanya orang Islam itu sendiri. Ditambah pula rancangan-rancangan televisyen yang tidak melalui proses tapisan dan saringan oleh pihak berauthoriti akan mengakibatkan golongan muda, teruna dan dara akan menjadikan pergaulan bebas, bersekedudukan dan seks bebas sebagai kiblat mereka. Maka lahirlah generasi anak luar nikah dan wanita yang mengalami jangkitan kelamin dan HIV AIDS.
Atas rasa kesedaran dan tanggung jawab, saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli PKPIM terutamanya HEWI PKPIM untuk bersama-sama meneruskan perjuangan melahirkan generasi muda yang punyai daya saring dan daya saing yang tinggi. HEWI PKPIM harus bersama-sama menjadi pemikir dan penggerak utama program-program PKPIM baik diperingkat Badan Gabungan Negeri PKPIM. Semoga tahun 2006 ini menyaksikan potensi HEWI PKPIM dapat dijana demi membina Generasi Rabbaniy !

BERILMU, BERFIKIR, BERSUARA & BERTINDAK BERSAMA

SHAMSIAH HJ MAHLI
NAIB PRESIDEN HEWI PKPIM

No comments: